TANGKAS... Cruyff melepasi kawalan dua pemain Jerman Barat, Berti Vogts dan Ulie Hoeness pada perlawanan akhir Piala Dunia 1974.
SELAMA ini, pertikaian mengenai siapakah pemain bola sepak terulung sepanjang zaman sering mengaitkan Pele dan Maradona, jadi jelas kedua-dua lagenda Brazil dan Argentina itu menguasai dua tempat teratas, cuma pingat ‘emas’ dan ‘perak’ menjadi milik siapa akan terus menjadi persoalan.
Kalau begitu, siapa pula pemenang pingat gangsanya? Maka timbullah beberapa lagi nama lagenda seperti Michel Platini (Perancis), Franz Beckenbauer (Jerman) dan Johan Cruyff (Belanda).
Tanyalah sesiapa saja yang hidup dalam era itu dan pernah menyaksikan kesemua tiga pemain hebat terbabit, mereka akan memilih Cruyff.
Sama seperti kebanyakan anak muda kelahiran Amsterdam, akademi remaja Ajax - salah sebuah akademi terbaik dunia - menjadi pilihan utama dan Cruyff tidak terkecuali.
Cruyff mula menyarung jersi kelab itu pada 1957 iaitu pada usia 10 tahun. Selama tujuh tahun dia berlatih di bawah sistem pembangunan remaja Ajax, Cruyff tergolong dalam sekumpulan pemain paling menyerlah dalam generasinya itu.
Pada 1964, dia diserap masuk ke dalam skuad utama dan tidak menunggu lama sebelum diberi peluang membuat penampilan sulung dalam divisyen pertama Belanda. Cruyff membalas kepercayaan jurulatihnya dengan menjaringkan satu gol (meskipun Ajax tewas kepada GVAV 1-3 dalam perlawanan itu).
Gol sulung pada penampilan pertama bagaimanapun tidak membawa sebarang makna. Cruyff jarang diturunkan dalam kesebelasan utama sehinggalah tibanya musim 1965/66, apabila persembahannya mula menarik perhatian media dan staf pasukan kebangsaan.
Dia meledak 25 gol dalam 23 perlawanan pada musim itu dan muncul penjaring terbanyak liga - satu pencapaian mengejutkan memandangkan usianya masih muda.
Tetapi, musim terbaik yang dinikmati Cryuff di Ajax adalah pada tahun berikutnya, apabila dia sekali lagi membuktikan bisanya di depan gawang dengan 33 gol dan lebih manis kehebatannya itu menjulang Ajax meraih kejuaraan berganda liga dan piala.
Musim 1969-1970 adalah musim yang mahu dilupakan Cruyff apabila malang menimpanya. Dia dihantui masalah kecederaan serius dan terpaksa diketepikan untuk satu tempoh yang lama.
Sepanjang sembilan tahun pertama bersama kelab Belanda itu, Cruyff sudah dipuja sebagai lagenda. Enam gelaran liga, empat kejuaraan Piala Belanda dan tiga Piala Eropah (bersamaan Liga Juara-Juara hari ini) menceritakan segala-galanya.
Jasanya membantu Ajax mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah sebanyak dua kali iaitu 1971 dan 1973.
Pada musim panas 1973, Cruyff membuat keputusan mengejut meninggalkan Ajax. Namun, dia mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian kerana telah memenangi segala-galanya bersama Ajax dan merasakan sudah tiba masanya untuk mencari cabaran baru.
Cruyff menerima tawaran gergasi Sepanyol, Barcelona yang mengintai khidmatnya sejak tiga tahun sebelumnya. Berhijrah ke Catalan sebagai seorang pemain berwibawa menyebabkan jangkaan tinggi diletakkan ke atasnya.
Namun, Cruyff menanganinya dengan sempurna. Dia mula menambat hati peminat-peminat Barca dengan berkata dia memilih Barcelona daripada Real Madrid kerana dia tidak akan beraksi untuk sebuah kelab yang ada kaitan dengan pemimpin ekstremis Sepanyol, Franco.
Kepercayaan peminat Barca terhadapnya semakin meningkat selepas dia menamakan anaknya Jordi, yang berunsurkan budaya Catalan. Dan di padang, dia memberikan impak segera kepada pasukan barunya membantu mereka menjulang kejuaraan Liga Diviysen Primera buat kali pertama selepas sekian lama termasuk kemenangan besar 5-0 di laman sendiri pada musim itu.
Cruyff menghabiskan lima musim di situ dengan tambahan satu trofi iaitu Piala Sepanyol pada 1978, nyata tidak setanding apa yang dimenanginya bersama Ajax.
Pada usia 32 tahun, persaraan mula membayangi Cruyff dan dia menerima kontrak lumayan berhijrah ke Amerika Syarikat untuk beraksi bersama Los Angeles Aztecs. Meskipun dimamah usia, dia masih mampu mengekalkan prestasinya. Hasilnya, dia dinobatkan selaku pemain terbaik Liga Bola Sepak Amerika Utara.
Dia meneruskan satu musim lagi di Amerika, berpindah ke pasukan Washington Diplomats sebelum membuat kepulangan sensasi ke kelab asalnya, Ajax pada tahun berikutnya.
Menjelang penghujung musim 1983, Cruyff tidak ditawarkan lanjutan kontrak kerana Ajax merasakan dia terlalu tua untuk pasukan itu. Berang dengan tindakan Ajax, Cruyff berpaling tadah ke pasukan yang merupakan musuh seteru, Feyenoord Rotterdam.
Di Feyenoord, Cruyff beraksi untuk musim terakhir dalam kariernya dan Ajax pasti kesal kerana enggan mengekalkan lagenda mereka itu. Ini kerana 11 gol yang diledak Cruyff dalam 33 perlawanan membantu Feyenoord mencapai kejuaraan berganda, sekaligus menamatkan kariernya dengan gilang gemilang.
Di peringkat antarabangsa, Cruyff pernah mewakili Belanda sebanyak 48 kali dan menyumbang 33 gol. Satu fakta menarik ialah pasukan kebangsaan Oranje tidak pernah kecundang dalam setiap perlawanan yang Cruyff ada jaringkan gol.
Salah satu pencapaian terbaik ialah Cruyff memimpin Belanda mencapai naib juara Piala Dunia 1974 dan dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan. Dengan menggunapakai taktik menghiburkan ‘Total Football’, Belanda mengejutkan Argentina 4-0, Jerman Timur 2-0 diikuti juara bertahan Brazil yang menjadi mangsa seterusnya 2-0.
Cruyff sendiri tidak ketinggalan meledak tiga jaringan, dua membolosi Argentina dan satu ketika menyingkirkan Brazil pada separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir bertemu tuan rumah, Jerman.
Oranje bermula penuh menakjubkan dalam final itu. Cruyff melakukan sepak mula dan bertukar hantaran sebanyak 13 kali sebelum ia kembali ke kaki Cruyff yang kemudiannya cuba meluru ke dalam kotak dan dijatuhkan. Rakan sepasukan, Johan Neskeens menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Belanda 1-0 di depan dan Jerman belum sempat pun menyentuh bola. Belanda bagaimanapun tewas 1-2 pada perlawanan itu.
Cruyff bersara daripada bola sepak antarabangsa pada Oktober 1977, selepas membantu Belanda layak ke Piala Dunia 1978. Tanpanya, Oranje masih mampu pergi jauh dan muncul naib juara. Dia memberikan alasan enggan ke Piala Dunia yang ketika itu dianjurkan di Argentina kerana negara tersebut dikuasai pemerintahan diktator ketenteraan.
Kehidupan Cruyff memasuki fasa kedua, beralih karier sebagai jurulatih serta pengurus dan perjalanannya bermula di Ajax. Tetapi kemuncak pencapaiannya adalah semasa mengendalikan Barcelona dari 1988 sehingga 1996, sekaligus menjadikannya sebagai antara pengurus paling disegani di Eropah.
Malah, corak permainan menghiburkan ‘Tiki-Taka’ yang diamalkan juara Eropah Barcelona dan juara dunia, pasukan kebangsaan Sepanyol sekarang, dikatakan berakar-umbi dari zaman Cruyff sebagai pengendali.
Maka tidak hairanlah kenapa lelaki Belanda itu digelar sebagai ‘Dutch Wonders’ (Keajaiban Belanda) dan ada juga yang memanggilnya sebagai ‘Phytagoras Berkasut Bola’.
0 comments:
Post a Comment