Tuesday, September 6, 2011

Sentuhan Roney Terbaik



LONDON - Kapten England, John Terry percaya Wayne Rooney kini berada dalam prestasi terbaik bagi membantu skuad Three Lions melangkah ke pusingan akhir Euro 2012.

Skuad kendalian Fabio Capello itu hanya perlu mencatatkan kemenangan ke atas Wales pada aksi kelayakan peringkat Kumpulan G di Stadium Wembley awal pagi esok bagi mengesahkan slot ke pusingan akhir yang bakal berlangsung di Poland dan Ukraine.

Justeru, sentuhan berbisa Rooney pastinya sekali lagi ditagih selepas dia tampil bergaya apabila meledak dua gol ketika membantu England menewaskan Bulgaria 3-0, Sabtu lalu.

Dua jaringan tersebut sekali gus telah menamatkan kemarau gol yang dialami Rooney di pentas antarabangsa dalam 15 perlawanan.

Terry yang ternyata gembira dengan persembahan yang dipamerkan Rooney menyuarakan keyakinannya bahawa penyerang Manchester United itu akan terus menjadi senjata utama England untuk tempoh 10 tahun lagi.

"Rooney kini telah kembali menemui rentaknya semula. Dia telah mempemerkan aksi cukup cemerlang dalam tempoh seminggu ini dan membuktikan yang sentuhan penyudahnya masih berbisa.

"Semua orang ketika ini sibuk bercakap mengenai pemain muda dan pemain senior. Namun, Rooney tidak termasuk dalam dua kategori tersebut kerana dia masih ada banyak yang akan disumbangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Dia telah mempamerkan aksi cemerlang bersama United dan meneruskannya bersama England," kata Terry.

Atas kertas, skuad Three Lions hanya memerlukan empat mata dalam dua perlawanan terakhir bagi mengakhiri kempen kelayakan selaku juara Kumpulan G.

Dalam pada itu, Capello dijangka sekali lagi mempertaruhkan kepercayaan terhadap barisan kesebelasan utama yang diturunkannya ketika menewaskan Bulgaria pada aksi berdepan Wales nanti.

Keputusan tersebut bakal menyaksikan perancang Chelsea, Frank Lampard akan sekali lagi memanaskan bangku simpanan. - AFP

0 comments: