Saturday, September 10, 2011

Skuad Elit Takraw dicemaskan oleh Korea Selatan

KUALA LUMPUR - Skuad elit negara terpaksa berhempas pulas sehingga lima set sebelum mampu menjinakkan Korea Selatan 3-2, kelmarin tetapi mungkin bertemu kembali musuh barunya itu dalam separuh akhir Siri Super I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), hari ini.

Regu Syazwan Husin (Noor Azman Hamid), Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman menang perit 15-13, 4-15, 13-15, 15-12, 15-3 sebelum turut menumpaskan Laos 3-0 (15-10, 15-9, 15-8) sekali gus menjuarai Kumpulan B di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.

Kejayaan 'mahal' ini turut membawa mereka yang dibimbing buat sementara oleh Ahmad Jais Baharun ke suku akhir dengan menentang naib juara Kumpulan C, Indonesia sementara Korea Selatan bertemu juara kumpulan sama, Myanmar dalam kedua-dua perlawanan sebelah pagi.

Jika Noor Azman begitu hambar dalam perlawanan akhir Piala Dunia, Julai lalu, tekong utama Syazwan pula kali ini didapati mengecewakan sehingga terpaksa digantikan rakannya itu pada penghujung set kedua menentang Korea Selatan.

Musuh ketat kita, Thailand yang juga juara Piala Dunia di Kuala Lumpur, mendapat laluan percuma selaku tuan rumah dari peringkat Kumpulan A dan hanya akan menunggu naib juara Kumpulan D, Filipina dalam suku akhir, pukul 12 tengah hari waktu Malaysia.

Pasukan Gajah Putih yang diterajui jurulatih berpengalaman sejak 1995, Kamol Tankimhong juga dikatakan kekal dengan barisan juara dunianya iaitu Kriangkrai Kaewmian, Siriwat Sakha, Anuwat Chaichana, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee.

Dibimbing Md. Fikri Md. Nor, skuad wanita negara pula mempamerkan semangat juang dan peningkatan permainan yang luar biasa sebelum hanya menyerah dengan lima set, 2-3 kepada Jepun (kelmarin) dan Myanmar (pagi semalam) dalam perlawanan Kumpulan A Siri Super I.

Gandingan Noor Fairuz Azizan, Rahilah Harun (Nurrashidah Rashid) dan Siti Norzubaidah Wahab disekat Jepun 14-16, 8-15, 15-12, 17-16, 8-15 manakala Fairuz, Nurul Shahera Mukhtar dan Norzubaidah dihampakan Myanmar 10-15, 15-13, 15-11, 9-15, 11-15.

Dua kekalahan itu menyekat laluan Malaysia ke separuh akhir sementara Myanmar mengiringi tuan rumah yang juga juara dunia dan mendapat laluan percuma untuk bertemu sama ada Vietnam atau Korea Selatan dari Kumpulan A.

0 comments: