Tuesday, September 20, 2011

Kim Swee "Larang" Media Jepun




KUALA LUMPUR - Sejak tiba di Jepun Ahad lalu, jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee mengamalkan dasar 'tutup pintu' apabila tidak membenarkan media Jepun membuat sebarang liputan pada sesi latihan pasukan kebangsaan.

Bukan mahu merahsiakan kekuatan dan strategi yang akan digunakan pada perlawanan Kelayakan Olimpik esok, Kim Swee menegaskan dia bertindak demi memastikan anak-anak buahnya tidak terganggu menjelang pertemuan dengan Samurai Biru.

"Memang saya tidak memberi ruang kepada media di sini membuat liputan sesi latihan kami. Saya lebih menekankan fokus pemain supaya tidak terganggu.

"Mungkin esok (hari ini) baru saya akan berikan kelonggaran buat media Jepun buat liputan sesi latihan terakhir, iaitu sehari sebelum perlawanan.

"Buat masa ini, saya tidak mendengar apa-apa pandangan Jepun terhadap pasukan Malaysia.

"Itu tidak penting kerana saya hanya menumpukan perhatian kepada kekuatan sendiri, " katanya yang dihubungi, semalam.

Malaysia memulakan langkah pertama saingan Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 berdepan Jepun, yang diletakkan sebagai pilihan utama untuk menempah tiket ke London di Stadium Tosu esok, pukul 6.45 petang waktu tanah air.

Menyentuh persiapan skuad negara, Kim Swee berkata, pemain tidak menghadapi masalah besar menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang sedikit berangin dan lembap di Wilayah Saga.

"Suhu ketika latihan adalah sekitar 20 ke 23 darjah celsius. Dijangkakan pada hari perlawanan nanti, suhu akan mencecah bawah 20 darjah celsius.

"Ia tidak menjadi masalah besar buat pemain yang pernah mendapat pendedahan di Slovakia, yang hampir sama dengan cuaca di sini, malah cuaca di Slovakia lebih sejuk," katanya.

Namun, skuad Olimpik mendapat perkhabaran kurang menggembirakan apabila dua tonggak tengah, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Noor masih dibelenggu kecederaan.

Kim Swee mengakui masalah itu mampu menjejaskan rentak pasukan.

"Jika mereka tidak dapat diturunkan, memang ia boleh mengurangkan kualiti bahagian tengah, tetapi saya ada perancangan lain kerana pengganti mereka mampu menjalankan peranan jika diturunkan.

"Namun saya optimis mereka boleh beraksi," katanya.






0 comments: