Wednesday, May 30, 2012

HOKI : Keputusan Malaysia vs Pakistan



KEPUTUSAN PENUH PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 MALAYSIA VS PAKISTAN :

MALAYSIA 3 - 2 PAKISTAN
Umar Bhutta 4' (PAK)
Shafqat 12' (PAK)

Amir Farid 35' (MAS)
Faisal Saari 48' (MAS)
Mohd Razie 69' (MAS)

Tahniah pasukan hoki Malaysia yang bangkit dari ketinggalan 2-0 kepada pakistan .

Gaji Nazmi sebulan RM300,000 ?



JIKA Safee Sali menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan, wonderkid Malaysia yang baru sahaja mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, Beira-Mar, Nazmi Faiz pula dikhabarkan bakal menerima gaji bulanan sebanyak RM 300,000.

Mencetus fenomena dalam bola sepak negara selepas terpilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu Portugal sehingga Jun 2015 nanti, gaji pemain tengah Harimau Muda itu kini menjadi topik perbualan hangat penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan.

Meskipun khabar angin mengenai gaji yang bakal diterima oleh Nazmi masih belum dapat disahkan, namun, sekiranya benar, pemain muda yang bakal mencecah 18 tahun 16 Ogos nanti akan bergelar pemain termuda Malaysia berstatus jutawan selain Safee Sali.

Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes, mengakui jumlah gaji yang bakal ditawarkan kepada tonggak skuad bawah 22 tahun itu adalah sangat lumayan bagi seorang pemain muda dari Asia Tenggara, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang akan diterima oleh anak buah Ong Kim Swee itu.

"Terpulang kepadanya (Nazmi) sama ada untuk mendedahkannya atau tidak, katanya.

Dalam perkembangan lain, akan mula menyertai latihan bersama Beira-Mar selepas pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang akan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai nanti, Nazmi akan turut ditemani pengendali Harimau Muda, Ong kim Swee.

Selain menguruskan soal kontrak dengan kelab tersebut, Kim Swee yang berada di sana selama seminggu akan turut membantu anak buahnya menyesuaikan diri sebagai pemain professional di kelab Eropah itu.

*******************

Tahniah diucapkan kepada Nazmi..!!

Monday, May 28, 2012

Skandal Rasuah Kembali..!!



BERBAKI kurang 10 perlawanan dalam saingan Liga 2012, negara sekali lagi digemparkan dengan insiden 'jijik' bola sepak tempatan melibatkan rasuah yang kali ini membabitkan pengadil perlawanan.

Enggan menuding jari mana-mana pihak, ia turut pernah membelenggu pemain negara pada tahun lalu membabitkan pasukan Piala Presiden, Negeri Sembilan dan T-Team yang digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.

Namun apa yang lebih mengejutkan kini, sebuah pasukan bola sepak negeri di utara Semenanjung berkemungkinan mengalami mimpi ngeri sama apabila dilihat dengan sengaja tewas dalam perlawanan meskipun dibarisi pemain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa.

Menurut sumber terdekat yang enggan didedahkan namanya, bagaikan ada 'kuasa' tertentu yang mengawal pemain sehingga menyekat mereka untuk memastikan kemenangan buat pasukan.

"Prestasi mereka begitu mudah terjejas hanya dalam masa dua hari, dan ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana pemain setakat ini.

"Malah pemain asyik melakukan kesilapan yang sama meskipun ada antaranya pernah beraksi mewakili negara dalam aksi bola sepak antarabangsa," katanya yang mengakui pasukan masih terumbang-ambing dalam mencari rentak permainan.

Gusar dengan pasukan yang kini berada di zon penyingkiran, beliau bertegas akan melakukan 'bedah siasat' mengenai perkara tersebut bagi memastikan momentum pasukan kembali ke landasan sebenar.

Thursday, May 24, 2012

Morais: Nazmi mampu menyinar

 
JURULATIH kelab Liga Premiera Portugal, S.C. Beira-Mar, Ulisses Morais percaya Muhamad Nazmi Faiz Mansor mampu mencipta nama di bumi Portugal selepas ini.

Nazmi yang beraksi bersama skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura musim ini, mengikat kontrak yang tidak didedahkan selama tiga tahun sehingga Jun 2015.

“Nazmi merupakan pemain muda yang cukup berkebolehan. Tapi, dia masih memerlukan banyak masa dan bimbingan teratur.

“Perjalanan karier Nazmi masih jauh, tetapi ini permulaan baik untuk dirinya,” katanya.

Nama Nazmi mula meniti di bibir peminat tempatan apabila dipanggil menyertai skuad Sukan Sea tahun lalu pada saat akhir bagi menggantikan Gary Steven Robbat yang cedera.

Perjudian Ong Kim Swee memanggil pemain Harimau Muda B itu berbaloi apabila mempamerkan permainan cemerlang ketika diturunkan menentang
Vietnam.

Malah, paling diingati, percubaan jarak jauhnya berjaya menerjah jaring Bahrain pada pertemuan kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu hanya boleh membuat aksi sulung bersama Beira-Mar tahun depan kerana mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), pemain perlu berusia 18 tahun ke atas bagi meneruskan karier sebagai pemain profesional.

****************

Tahniah diucapkan kepada Nazmi..!!





Wednesday, May 23, 2012

Nazmi perlu manfaatkan peluang di EROPAH



PETALING JAYA - Pemain tengah skuad Harimau Muda A Mohd Nazmi Faiz Mansor dinasihatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang bermain dengan kelab bola sepak di Portugal.

Bekas pemain Selangor dan Negeri Sembilan K.Gunalan berkata kejayaan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu untuk bermain di benua Eropah, yang sememangnya terkenal dengan sukan bola sepak, menunjukkan Malaysia mampu melahirkan pemain yang mencapai standard antarabangsa.

"Seperti yang kita tahu, bukan senang untuk diterima bermain dengan kelab di Eropah memandangkan mereka sudah mempunyai satu standard permainan bola sepak yang tinggi.

"Selain itu, peluang untuk bermain dengan kelab itu juga merupakan penghormatan buat negara kerana ia datang hanya sekali seumur hidup," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kem Bolasepak Remaja Allianz Malaysia Berhad di sini, hari ini.

Gunalan kini berkhidmat sebagai Ketua Penyelidik Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor.

Akhbar hari ini melaporkan, Mohd Nazmi, 17, telah menandatangi kontrak tiga tahun sehingga Jun 2015 dengan kelab bola sepak Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar, yang berpangkalan di bandar Aveiro.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Shahrin Majid menyifatkan peluang itu membuktikan Malaysia mampu melahirkan pemain-pemain muda yang berbakat.

"Semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia harus memberi sokongan moral kepada Mohd Nazmi kerana saya melihat beliau merupakan pemain yang berpotensi untuk menyerlah pada masa depan," katanya.

Menyifatkan Mohd Nazmi sebagai 'legenda dalam pembikinan', Shahrin yang pernah menjulang beberapa kejuaraan liga bersama Selangor pada era 90-an berkata pihak terlibat sewajarnya mengiktiraf kejayaan pemain muda tersebut.

"Sebelum ini, kita asyik sebut pasal (legenda bola sepak kebangsaan) Allahyarham Mokhtar Dahari dan Azizul Abu Hanifah pada era 90-an yang menampilkan aksi cemerlang ketika zaman kegemilangan masing-masing namun kini muncul seorang pemain muda yang berbakat.

"Saya yakin sekiranya bakat beliau mampu menonjolkan diri dalam pasukan, beliau mungkin menjadi pemain legenda negara pada masa akan datang," katanya yang kini berkhidmat sebagai penolong jurulatih bola sepak Angkatan Tentera Malaysia. - Bernama

PIALA AFC : Terengganu ,Kelantan buat perhitungan

Khairul Fahmi (dua,kanan) bersalaman dengan Mohd Sharbinee
Allawee (dua,kiri) dalam sidang media kedua-dua pasukan
sempena perlawanan pusingan kedua Piala AFC


DUA musuh tradisi, Kelantan dan Terengganu masing-masing bakal membuat perhitungan tersendiri apabila berentap dalam pusingan kedua kalah mati kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2012 (Piala AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Dengan salah satu tempat bagi wakil negara secara automatik terjamin di suku akhir, pertemuan kedua ‘East Coast Derby’ sepanjang musim ini disifatkan cukup menarik apabila menemukan pengendali lama Kelantan, Peter Butler dengan Bojan Hodak selaku jurulatih baru The Red Warriors itu.

Di kem Kelantan, Hodak mengakui pasukannya berdepan tugas berat dalam meneruskan momentum cemerlang meski pun baharu sahaja merangkul kejuaraan pertama Piala FA menewaskan Sime Darby FC 1-0 Sabtu lalu.

“Seperti yang saya katakan­ sebelum ini, kami tidak meletakkan sasaran tinggi dalam kempen Piala AFC sehinggalah mara ke peringkat (pusingan kedua) ini. Apabila berada di peringkat ini, sudah pasti kami mahu menang untuk mengetuk pintu suku akhir.

“Saya yakin kita boleh menang malam ini. Saya tidak bersedia menamatkan perlawanan­ ini sehingga masa tambahan mahu pun penentuan sepakan­ penalti. Kalau boleh biarlah ia berakhir dalam tempoh 90 minit sahaja. Kita ada tugas lain menentang Johor FC dalam saingan Liga Super Sabtu ini.

“Tiada apa yang perlu dibimbangi mengenai pasukan­ Terengganu. Mereka pun seperti kita dan saya tetap menghormati Peter Butler. Beliau mungkin mengetahui kekuatan­ dan kelemahan Kelantan tetapi itu bukan perkara yang perlu saya fikirkan pada masa sekarang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perlawanan Piala AFC di Kota Bharu semalam. Hadir sama rakan sejawatannya yang merupakan pengendali baharu Terengganu, Peter Butler selain penjaga gol kedua-dua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Dalam pada itu, Butler yang baru dilantik sebagai jurulatih menggantikan Mohd Zan Mat Aris enggan me­ngu­las lanjut ketika ditanya pihak media menjelang pertemuan menentang bekas pasukan­ yang pernah dibimbingnya pada awal musim ini.

Tuesday, May 22, 2012

Nazmi sah sertai SC Beira Mar(Potugal)




KUALA LUMPUR - Teka-teki mengenai nasib Mohd. Nazmi Faiz akhirnya terjawab apabila pemain muda sensasi negara itu berjaya mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab bola sepak Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar sehingga Jun 2015.

Nazmi dalam akaun laman Twitternya berkata seperti sukar mempercayai peluang yang diraih itu dan rasa bersyukur dengan kejayaan berkenaan.

‘‘Sukar untuk perjelaskan perasaan saya, ini adalah peluang besar dalam karier saya.

‘‘Bermain di Eropah adalah impian terbesar saya dan saya ucapkan terima kasih kepada keluarga serta peminat selama ini," katanya.

Nazmi sebelum ini telah meraih perhatian pihak ejen dari Singapura, Marco Guimaeres dan telah menawarkan tempat untuk menjalani pemilihan selama seminggu mulai 13 hingga 20 Mei lalu.

Nazmi memulakan latihan pertamanya bersama kelab yang terkenal dengan gelaran emas dan hitam itu, Khamis lalu bersama beberapa lagi pemain dari negara lain bagi mencari tempat beraksi di Portugal.

“Setiap ujian yang dilakukan oleh Nazmi dilalui dengan baik sekali, walaupun cuaca di sini agak sejuk berbanding di Malaysia tetapi dia mampu berlari di atas padang dalam tempoh yang lama, dia mempunyai stamina yang tinggi.

“Nazmi juga berpeluang untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang pasukan simpanan kelab tersebut yang rata-ratanya dibarisi pemain muda, dia berjaya membantu skuad utama menang 2-1," ujarnya.

Pemain yang berusia 17 tahun dan beraksi di posisi tengah itu mula menunjukkan kehebatannya ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 London.

Namanya mula meniti di bibir peminat tempatan dan juga luar negara selepas berjaya melakukan jaringan cantik dari luar kawasan penalti ketika bertemu Bahrain, November tahun lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu tewas 2-3.

Nazmi kini menjadi pemain Asia Tenggara pertama bermain di Portugal dan berpeluang untuk mencipta nama di Eropah.

********************

Tahniah diucapkan kepada Nazmi..!!



Sekian

Tuesday, May 15, 2012

Nazmi janji yang terbaik di Portugal


 SEPANG - Bintang muda bola sepak negara Muhammad Nazmi Faiz Mansor berjanji akan melakukan yang terbaik pada sesi pemilihan kelab Divisyen 1 Portugal, S.C Beira-Mar, minggu ini.

Dia yang telah berlepas ke Portugal berkata, jika terpilih menyertai kelab tersebut, ia bakal menjadi inspirasi kepada sukan bola sepak negara.

Namun tegasnya, sesi pemilihan tersebut pastinya mencabar selain perlu mempamer kesemua kemahiran dimiliki termasuk tahap kecergasan yang tinggi.

"Saya sangat bersedia untuk melalui semua cabaran di sana dan akan berikan seratus-peratus pada sesi pemilihan. Ini juga satu penghormatan buat saya kerana terpilih.

"Pada masa ini saya juga sudah dapat mengatasi masalah tidak dapat beraksi sepanjang 90 minit selepas mendapat rawatan di Institut Sukan Negara baru-baru ini," kata Nazmi.

Sementara itu, bapa Nazmi, Mansor Mustapha yang mengiringi anaknya ke Portugal, Mansor Mustapha berharap Nazmi mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di negara Eropah sepanjang proses pemilihan.

"Saya harap pemilihan ini bakal membuka peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi di liga Eropah.

"Saya nampak peluang untuk terpilih ada, cuma Nazmi perlu lebih kuat menghadapi cabaran di sana kerana proses pemilihan lebih sukar," kata Mansor.

********************

Sunday, May 13, 2012

NAZMI boleh jadi jutawan



Bintang remaja negara, Mohd. Nazmi Faiz berpotensi menjadi jutawan bola sepak kedua Malaysia selepas Safee Sali jika berjaya mendapat tempat dalam kelab Divisyen 1 Portugal, S.C Beira-Mar pada sesi percubaan dari 13-21 Mei ini.

Sekiranya itu menjadi kenyataan, pemain berusia 17 tahun itu bakal menjadi inspirasi buat semua rakyat Malaysia dan mengangkat bola sepak negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagaimanapun Ahmad Shabery berkata, terdapat satu halangan besar yang perlu dilepasi pemain tengah skuad Harimau Muda A itu sebelum mampu mencipta nama di luar negara, iaitu menyesuaikan diri dengan kehidupan dan budaya asing di Eropah, yang sebelum ini sering menjadi penghalang terbesar atlet kita untuk berjaya.

"Tahniah kepada Nazmi kerana berjaya mencuri tumpuan kelab Divisyen 1 Portugal untuk diuji dalam sesi percubaan, kalau dia berjaya, Nazmi akan menjadi kebanggaan Malaysia.

"Malah, Nazmi juga mampu bergelar jutawan bola sepak kedua Malaysia selepas Safee Sali dan ini pasti menjadi inspirasi kepada semua anak muda di negara ini untuk menjadikan bola sepak sebagai karier.

"Bagaimanapun ada beberapa halangan yang perlu diatasi Nazmi sebelum boleh berjaya di luar negara. Portugal adalah sebuah negara yang asing buat Malaysia daripada segi cuaca mahupun budaya, maka ini akan menjadi cabaran pertamanya.

"Seperti kita tahu, atlet kita agak sensitif dalam soal pemakanan. Bagaimana kalau dia dapat menangani keadaan itu, ia akan memainkan peranan besar, tetapi kalau dia mahu menjadi pemain bertaraf antarabangsa, maka dia harus mengatasi semuanya,'' kata Ahad Shabery pada majlis kempen Road to London 100PLUS dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Damansara,




Sekian

Thursday, May 10, 2012

NAZMI sah ke PORTUGAL




Mohd Nazmi Faiz, yang akan bertolak ke Portugal Ahad ini bersama bapanya Mansor Mustapha, berkata beliau tidak mahu mempersia-siakan peluang bermain di benua Eropah meskipun bakal berhadapan dengan cabaran seperti gaya permainan ala
Samba yang banyak digunakan pemain dalam liga berkenaan dan keadaan cuaca.

"Saya akan mempamerkan aksi terbaik saya sepanjang berada di sana untuk memastikan saya menjadi pemain pertama negara yang mewakili kelab Eropah," katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau dimaklumkan Mohd Nazmi Faiz mendapat tawaran itu setelah seorang ejen bebas bola sepak dari Portugal tertarik melihat aksi pemain berusia 17 tahun dalam satu perlawanan membabitkan skuad Harimau Muda A di Liga Singapura baru-baru ini.

Ong berkata Mohd Nazmi Faiz berpeluang ditawarkan kontrak untuk bermain dengan kelab yang berpangkalan di bandar Aveiro, Portugal itu sekiranya beliau mampu memikat pengurusan kelab tersebut sewaktu sesi latihan itu.

"Semuanya (terma-terma kontrak) akan diketahui selepas berakhirnya sesi latihan itu," katanya.

Mohd Nazmi Faiz yang masih menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil merupakan pemain ketiga negara yang terpilih menjalani latihan di luar negara selepas pemain Pelita Jaya Mohd Safee Sali dan pemain Selangor Mohd Safiq Rahim mencuba nasib menjalani latihan selama dua minggu di Kelab Kejuaraan Divisyen satu Liga Inggeris, Cardiff City pada tahun lepas.

Harapan untuk menyaksikan kedua-dua pemain itu untuk beraksi dalam kelab yang dimiliki bersama oleh ahli perniagaan dari Malaysia Datuk Chan Tien Ghee dan Tan Sri Vincent Tan itu bagaimanapun tidak kesampaian selepas peraturan negara tersebut yang mensyaratkan pemain dari ranking bawah 70 dunia sahaja yang boleh beraksi dalam liga bola sepak negara itu.

"Pemilihan pemain kita untuk menjalani latihan dengan kelab bola sepak luar negara sejak kebelakangan ini jelas membuktikan bahawa bakat pemain negara kita semakin dihargai oleh pasukan luar," kata Ong.



Sekian.

Tuesday, May 8, 2012

HOKI : malaysia jumpa India di Separuh Akhir

MELAKA - Skuad hoki negara mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mudah membenam Jepun 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Kejohanan Piala Remaja Asia 2012 di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini, semalam.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu selepas membelasah Iran 6-1 dan Korea Selatan 6-3, membolehkan skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj bertemu naib juara Kumpulan B, India dalam saingan separuh akhir Khamis ini.

Dalam perlawanan separuh akhir yang lain juara Kumpulan B, Pakistan akan berdepan naib juara Kumpulan A, Korea Selatan.

Aksi skuad 2013 negara dibantu oleh kehadiran kira-kira 5,000 penyokong mengibarkan Jalur Gemilang dan paluan gendang nyata menyemarakkan semangat pemain negara.

Di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan pemain negara mempamerkan aksi paling ampuh berdepan dengan semangat kental pemain negara matahari terbit itu.

Begitupun, skuad Malaysia dikejutkan dengan jaringan seawal minit keempat apabila pemain Jepun, Suguru Hoshi mudah menolak masuk gol pembukaan menewaskan penjaga gol, Mohammad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.

Tersentak dengan jaringan awal itu skuad 2013 negara terus menggandakan asakan menerusi dua pukulan sudut penalti yang diperolehi pada minit kesembilan dan ke-13, namun gagal disudahi dengan jaringan penyamaan.

Namun, peluang hadir pada minit ke-14 apabila ketua pasukan hoki negara, Muhammad Noor Faeez Ibrahim mudah menolak masuk pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol Jepun, Kusano Daisuke bagi mengikat kedudukan 1-1.

Jaringan penyamaan itu menjadikan permainan semakin rancak dengan serangan bertali arus di atur kedua-dua pasukan namun kedudukan seri 1-1 menamatkan saingan separuh masa pertama.

Pada minit ke-46, Malaysia mempunyai peluang untuk mencipta jaringan, namun pukulan kencang Rosli Muhamad Ramadhan sekadar mengenai tiang gol sebelah kiri ketika penjaga gol Jepun sudah tertewas ketika itu.

Bagaimanapun, Jepun memperolehi jaringan kedua pada minit ke-49 melalui pukulan sudut penalti tetapi dibatalkan pengadil.

Pada minit ke-57, Malaysia memecah kebuntuan apabila memperoleh gol kedua jaringan Mohamad Syamin Mohd. Yusof menerusi tolakan mudah dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan.

Gol ketiga skuad negara dijaringkan oleh Faizal Saari tiga minit sebelum tamat.

Sementara itu, dalam perlawanan terdahulu, Pakistan muncul juara Kumpulan B selepas membelasah Sri Lanka 14-0 manakala India muncul naib juara selepas menewaskan China 2-1.

Kedua pasukan terikat dengan tujuh mata selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan, namun Pakistan mempunyai kelebihan jaringan berbanding India untuk muncul juara Kumpulan B.

Friday, May 4, 2012

Tambat Lions - Badri

KOTA BHARU - Selepas mempamerkan kebangkitan menyingkirkan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Selasa lalu, kejaguhan Kelantan bakal teruji apabila melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Lions XII di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Bertemu skuad bimbingan V. Sudramorty, The Red Warriors tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan pada perlawanan untuk merapatkan jurang mata bagi mencerahkan peluang merebut kejuaraan liga musim ini.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh kapten pasukan, Mohd. Badri Radzi yang menegaskan, tiga mata perlu diraih oleh pasukannya pada perlawanan itu seandainya mahu meneruskan tekanan kepada wakil Singapura yang mendahului carta liga ketika ini.

"Harapan kita untuk perlawanan ini ialah mencatatkan kemenangan bagi merapatkan jurang mata. Walaupun mereka lebih tiga perlawanan, namun kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin pada pertemuan ini.

"Pertemuan ini menjanjikan aksi sengit, mereka pasti mahu menang di sini untuk menjarakkan kedudukan dengan kita. Begitupun saya dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah buat mereka dan memastikan kemenangan menjadi milik Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambah Mohd. Badri, dia mahu rakan sepasukan memberikan komitmen sepenuhnya pada perlawanan tersebut.

Sementara itu, pengendali Kelantan Bojan Hodak berkata, meskipun bakal turun tanpa beberapa tonggak yang menjalani penggantungan seperti Daudsu Jamaluddin dan Mohammad Ghaddar, beliau tetap mempertaruhkan barisan terbaik pada perlawanan itu.

"Berkemungkinan saya akan mempertaruhkan gandingan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Nor Farhan Mohammad untuk mengetuai jentera serangan Kelantan," tegasnya.

HOKI : Malaysia garang belasah Iran 6-1

PEMAIN Malaysia, Faiz Helmi Jali diasak pemain Iran, Shayan Bororgzadeh pada Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 di Melaka, malam tadi.


MELAKA - Malaysia mempamerkan aksi garang pada pembukaan Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 apabila membelasah Iran 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, semalam.

Aksi lincah anak buah Muhammad Dhaarma Raj membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim seawal minit keenam.

Benteng pertahanan Iran sekali lagi bocor pada minit ke-15 menerusi Muhammad Noor Faeez sebelum gawang lawan sekali lagi digegarkan dengan jaringan ketiga daripada Amir Farid Ahmad Fuzi pada minit ke-18.

Namun, lawan yang tidak panik kembali mengatur langkah dan berjaya memperdayakan pasukan negara pada minit ke-20 hasil jaringan Hamid Noraniyan.

Bagaimanapun, keseronokan pasukan pimpinan Esfandyar Safaei itu tidak berkekalan kerana gawang mereka bolos lagi pada minit ke-30 hasil jaringan Muhammad Firhan Ashari sebelum permainan berhenti untuk separuh masa pertama.

Babak kedua memberikan rentak lebih bertenaga kepada pasukan negara apabila Muhammad Noor Faeez dan Amir Farid masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-38 dan 61.

Thursday, May 3, 2012

Sukan Asia 2014: Emas sepak takraw dalam jangkauan

 
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) yakin pingat emas dalam jangkauan skuad negara pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan ekoran persiapan rapi yang dibuat mulai sekarang.

Presidennya, Datuk Ahmad Ismail berkata, walaupun pencapaian skuad negara tidak konsisten dalam beberapa kejohanan Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Indonesia dan Thailand beberapa bulan lepas, secara keseluruhannya prestasi mereka berada pada tahap yang membanggakan.

“Jurang yang memisahkan skuad negara dengan Thailand hanya semangat juang. Daripada segi mutu permainan dan kemahiran tidak jauh berbeza dan PSM telah melaksanakan pelbagai program jangka panjang termasuk latihan di peringkat akar umbi seperti pencarian bakat muda, kejurulatihan dan pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, barisan pemain muda akan diberikan latihan dan pendedahan secara sistematik serta peluang menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap menjelang temasya itu kelak.

Mengenai kejohanan Istaf yang akan disertai skuad negara di Singapura esok, be­liau mengakui Malaysia bakal menghadapi la­luan sukar apabila berdepan dengan beberapa pasukan terbaik dunia seperti Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Singapura dan Jepun. - Bernama.

Usah Megan Benam Sri Lanka

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan skuad Harimau Malaya supaya tidak terlalu bermegah dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Sri Lanka pada satu aksi persahabatan, baru-baru ini.

Sebaliknya beliau mahu rentak kemenangan diteruskan pada tiga perlawanan persahabatan akan datang iaitu melayan kunjungan Filipina pada 1 Jun dan dua aksi timbal balik dengan musuh ketat, Singapura yang mengecewakan kita pada pusingan kelayakan Piala Dunia tahun lalu pada 8 dan 12 Jun

"Saya tidak berkesempatan menyaksikan perlawanan tempoh hari kerana menghadiri satu majlis di Pahang.

"Tetapi kita jangan terlalu berasa megah dengan kemenangan ini.

"Ia hanyalah satu lagi perlawanan, pemain harus terus menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya.

"Pemain perlu terus mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan akan datang, tidak kira siapa lawan yang dihadapi.

"Saya harap mereka sedar dengan kehendak ini, ia adalah penting untuk persiapan menjelang saingan Piala AFF Suzuki pada penghujung tahun ini. Pemain perlu teruskan berlatih dengan kesungguhan tinggi," kata Tengku Abdullah, yang mengulas keputusan positif pasukan bimbingan Datuk K.Rajagobal pada aksi minggu lalu.

Sime Darby Impi Juara




GOMBAK - "Alang-alang sudah ke final, kami mahu menjulang Piala FA. Kami tidak akan lepaskan peluang ini,".

Itu ikrar jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria selepas kejutan pasukannya mara ke perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan pada 19 Mei ini.

Pasukan berstatus kelab yang beraksi dalam Liga Perdana itu melakar sejarah muncul kelab pertama ke final Piala FA selepas menang 2-1 secara agregat ke atas juara bertahan, Terengganu.

Menjelang perlawanan akhir 19 Mei ini, Ismail mengidamkan satu lagi kejutan, iaitu menjulang trofi Piala FA.

Biarpun awal-awal lagi ramai melihat sukar Sime Darby menyaingi kehebatan Kelantan, Ismail tetap optimis dan tidak mahu langkahan ke perlawanan akhir berakhir tanpa sebarang kejayaan.

"Kita sudah ke final, jadi alang-alang sudah melangkah ke tahap ini, kami mahukan kejuaraan.

"Saya mahu semua pemain mencuba yang terbaik walaupun sedar Kelantan sebuah pasukan yang bagus dan berada pada tangga yang baik dalam Liga Super," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Disiplin dan sikap positif merupakan faktor yang membantu kejayaan Sime Darby mengatasi juara bertahan, Terengganu dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir.

Selepas mengejutkan Terengganu 2-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Sime Darby mengikat skuad Mat Zan Mat Aris tanpa jaringan pada pertembungan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Keputusan itu membolehkan Sime Darby ke final dengan agregat 2-1.

Ismail bersyukur dengan kejayaan yang tidak diduga itu walaupun tiada siapa meletakkan harapan untuk sebuah pasukan yang baru ditubuhkan dua tahun lalu, mara ke final.

"Pemain mengikut apa yang saya arahkan dengan mereka cukup berdisiplin setiap masa, terutama ketika bertahan.

"Pemain juga menampilkan perwatakan yang cukup kuat mahu menang sehingga penghujung perlawanan. Inilah yang membawa kami mencipta kejayaan bersejarah ini," katanya.