Monday, September 5, 2011

Selangor Buru Misi 33

AMRI (enam dari kiri) bersama Mokhtar  dan wakil kelab-kelab penyokong memotong kek sebagai simbolik pelancaran Misi 33 di Padang SUK, petang semalam.
AMRI (enam dari kiri) bersama Mokhtar dan wakil kelab-kelab penyokong memotong kek sebagai simbolik pelancaran Misi 33 di Padang SUK, petang semalam.


SELANGOR melancarkan misi menjulang kejuaraan buat kali 33 dalam kempen Piala Malaysia yang kini mencecah usia 90 tahun, selepas gagal menjulang sebarang trofi Liga Malaysia, musim ini.
Dengan slogan ‘Misi 33’, Selangor yang meraih takhta kejuaraan sulung pada 1922 dan kali terakhir mengucup piala berprestij itu lima tahun lalu, tampak yakin sasaran itu mampu digapai dan bukan sekadar angan-angan kosong apabila tirai saingan disingkap, malam esok.
“Tidak mustahil, bagi saya tetap berpegang teguh dan Misi 33 adalah tidak lain membawa Piala Malaysia kembali ke pangkuan Selangor," kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad selepas melancarkan ‘Misi 33’ bersama Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Selangor fc.com dan Ultrasel (Ultras Selangor) di Shah Alam, semalam.

Selangor yang pernah dinobatkan sebagai naib juara 15 kali, diundi dalam Kumpulan D bersama Kuala Lumpur, T-Team dan Polis dengan memulakan saingan bertemu T-Team di laman lawan, malam esok.

Sementara itu kapten Merah Kuning, Amri Yahyah juga senada dengan Mokhtar dan melaungkan semangat pemain yang kini membara untuk menggalas misi besar itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok.

“Inilah satu-satunya piala yang tinggal tahun ini dan kami akan berusaha mendapatkannya. Semangat kami tidak pernah pudar walaupun pasukan lain sentiasa memberi saingan ketika berdepan Selangor.
“Kami juga sudah bersedia untuk Selasa ini (esok) dan akan mempraktikkan apa yang jurulatih (K Devan) berikan. Apa yang tinggal kini ialah mempersembahkan permainan terbaik nanti,” katanya yang berharap rakan sepasukan dapat mengembalikan era kegemilangan Gergasi Merah musim ini.
-B.Harian

0 comments: