Thursday, January 30, 2014

Kim Swee Risau




KUALA LUMPUR - Beberapa bekas pemain Harimau Muda A yang memilih haluan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini jarang diberikan peluang untuk beraksi bersama pasukan masing-masing, lantas timbul persoalan adakah keputusan mereka itu tepat?

Situasi itu jelas membingungkan pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee (gambar), yang risau terhadap persiapan Sukan Asia 2014 apabila ramai pemain utamanya kini berdepan prospek kehilangan kecergasan bagi menghadapi perlawanan berbentuk kompetitif.

Bukan berniat mahu mengkritik polisi mana-mana pasukan, beliau berharap pemainnya yang kini sekadar memanaskan bangku simpanan bersama pasukan atau kelab masing-masing dapat diturunkan dengan lebih kerap selepas ini bagi memastikan kesinambungan prestasi mereka tidak terjejas.
Malah dia memberi mesej yang jelas kepada penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail (Johor Darul Ta'zim), A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri (Selangor) supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap sesi latihan pasukan masing-masing dan bukan hanya menunggu peluang seperti menanti bulan jatuh ke riba.

"Mungkin masih terlalu awal kerana baru tiga perlawanan Liga Super berlangsung tetapi sebenarnya saya sudah mula rasa bimbang terhadap persiapan skuad Bawah 23 tahun ke Sukan Asia 2014 jika trend ini (pemain memanaskan bangku simpanan) berterusan.

"Mereka sahaja pemain Bawah 23 tahun yang kita ada buat masa ini, jika mereka tidak bermain dengan kerap, siapa lagi yang saya hendak harapkan untuk bersama saya di Incheon nanti, adakah anda lihat pemain-pemain Bawah 23 tahun lain yang mampu menonjol seperti mereka?
"Saya tidak menyalahkan pasukan yang mereka wakili kerana ini pilihan mereka tetapi kalau selalu duduk bangku simpanan dan hanya beberapa minit diturunkan dalam setiap perlawanan, banyak perkara boleh memberikan kesan terhadap mereka nanti iaitu daripada segi stamina permainan untuk beraksi selama 90 minit," katanya ketika dihubungi, semalam.

Izham, yang merupakan penjaga gol utama Harimau Muda A dan Sukan SEA Myanmar 2013, masih belum beraksi dalam mana-mana perlawanan dan sekadar menjadi pilihan ketiga di belakang Norazlan Razali dan Muhd. Al-Hafiz Hamzah dalam pasukan JDT.

Begitu juga ketua pasukan Harimau Muda A, Mohd. Irfan. Fazail yang masih tidak merasai nikmat bermain di pentas Liga Malaysia sementara Mohd. Fadhli Shas hanya diturunkan sebagai pemain gantian semasa pertemuan dengan T-Team dan sekadar diletakkan di bek kiri, tidak mampu menggugat tempat Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Baihakki Khaizan sebagai pertahanan tengah.

Situasi di Selangor pula memperlihatkan Thamil Arasu lebih banyak bertindak selaku pemain gantian dengan jurulatih, Mehmet Durakovic lebih cenderung meletakkan Paulo Rangel selaku penyerang tunggal manakala Ahmad Hazwan hanya diberi peluang semasa berdepan Harimau Muda C dalam pusingan pertama Piala FA.

Namun, situasi itu berbeza buat pemain sayap kiri, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang kini bertindak antara pemain utama di Kelantan sementara Mohd. Rozaimi Abd. Rahman telah menjaringkan dua gol bersama Sabah dalam saingan Liga Perdana.

Menyentuh isu yang sama, jurulatih yang berasal dari Melaka itu wal
aupun Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan akan berlangsung lapan bulan lagi, beliau mahu semua pemain berada di tahap terbaik sejak sekarang."Pendedahan dan aksi secara kompetitif setiap minggu cukup penting supaya mental serta kecergasan mereka benar-benar bersedia hinggalah Sukan Asia pada September nanti.

"Jika semua pemain berada di bawah kendalian Harimau Muda itu bukan menjadi satu masalah buat saya memantau tahap perkembangan mereka namun mereka yang bermain dalam Liga Malaysia kena sentiasa menunjukkan prestasi terbaik jika mahu diserap ke dalam skuad ke Sukan Asia," tegasnya.
-utusan

3 comments:

Cikgu Abah said...Best Blogger Tips[Reply to comment]Best Blogger Templates

pada pandangan saya..pemain harus bijak memilih pasukan..jangan utamakan wang ringgit..setiap pasukan semestinya mahukan pemain terbaik di negara ini untuk pasukan mereka..pemain yang harus memilih hala tuju masa depan mereka..

Unknown said...Best Blogger Tips[Reply to comment]Best Blogger Templates

Pemain-pemain muda yang melepasi had umur pasukan Harimau Muda A perlu giat berusaha bersaing merebut temopat dalam pasukan yang disertai mereka.

Pengedar Shaklee Klang said...Best Blogger Tips[Reply to comment]Best Blogger Templates

aah..kalau setakat wang ringgit nanti senang pasukan membuangnya...