Sunday, September 4, 2011

Jerman Layak Euro ke 2012

 

PARA pemain Jerman meraikan kejayaan mereka menewaskan Austria yang sekali gus melayakkan mereka ke pusingan akhir Euro 2012 di Gelsenkirchen, semalam. Jerman menang 6-2. – REUTERS



GELSENKIRCHEN – Pemain perancang, Mesut Oezil menjaringkan dua gol untuk membantu Jerman menewaskan Austria 6-2, semalam untuk menjadi pasukan pertama mara ke Euro 2012.

Oezil hampir melakukan hatrik, bagaimanapun peraturan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memutuskan gol pada minit kelapan itu mempunyai sentuhan daripada Miroslav Klose, walaupun televisyen Jerman mengesahkan jaringan tersebut daripada Oezil.

Pemain Real Madrid itu gembira dapat beraksi di kampung halamannya dengan menjaringkan gol pada minit ke-23 selepas melakukan hantaran satu, dua bersama Klose sebelum Lukas Podolski menambah gol ketiga pada minit ke-28.

Marko Arnautovic membalas dengan jaringan pada minit ke-42 tetapi Oezil sekali lagi meletakkan nama sebagai penjaring selepas rehat hasil serangan balas pada minit ke-47. Martin Harnik menjaringkan satu lagi gol untuk Austria pada minit ke-51.

Jerman mengesahkan kemenangan melalui jaringan pemain gantian Andre Schuerrle dan Mario Goetze pada minit ke-84 dan 88.

Memenangi kelapan-lapan perlawanan membolehkan Jerman mengutip mata maksimum 24 mata dalam Kumpulan A. Jurulatih Jerman, Joachim Loew pada mulanya mahu meletakkan Oezil bergandingan dengan Goetze, tetapi menukar perancangan tersebut memasukkan Goetze lima minit sebelum perlawanan tamat.

Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan gol cantik menerusi sepakan voli pada minit akhir perlawanan dan dia masih sempat melakukan hantaran kepada Oezil sebelum saingan tamat, namun rembatan pemain berusia 22 tahun itu tidak menepati sasaran.

Jaringan pertama Jerman hadir selepas Emmanuel Pogatetz cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, tetapi Oezil pantas melepaskan rembatan dari sudut petak penalti sebelum terkena Klose.

“Saya tidak tahu, saya juga tidak perasan siapa yang menjaringkan gol itu. Bagaimanapun, ia tidak penting siapa yang menjaringkan gol,” kata Oezil.

Klose sekarang ini hanya kurang enam gol di belakang Gerd Mueller yang merupakan penjaring terbanyak Jerman dengan 68 gol. Jaringan Oezil pula berpunca daripada hantaran ke belakang Klose sebelum dia memperdayakan penjaga gol untuk menolak bola ke dalam pintu gol yang kosong.

Pasukan tuan rumah memperoleh gol ketiga melalui Podolski selepas menerima hantaran lintang Holger Badstuber untuk menewaskan Christian Gratzei. Arnautovic memberikan sedikit harapan kepada pasukan pelawat melalui jaringan hasil hantaran lintang Florian Klein.

Gratzei berjaya menyelamatkan percubaan Podolski sebelum rehat, namun Oezil berjaya menumpaskannya melalui percubaan jarak dekat sebaik perlawanan bersambung.

Arnautovic sekali lagi menghukum kelalaian benteng pertahanan Jerman apabila menyungkit bola kepada Harnik melepasi penjaga gol, Manuel Neuer. Penonton kelihatan tidak sabar apabila bersiul seperti bunyi wisel, walaupun permainan berbaki setengah jam lagi untuk tamat, sebelum Schuerrle dan Goetze menyambung semula keraian dengan jaringan tambahan.

Sementara itu, Itali bergelut sebelum mencatat kemenangan 1-0 ke atas Faroe Islands, kelmarin tetapi memerlukan satu lagi kemenangan untuk melayakkan diri ke Euro 2012.

Selepas penyerang Itali, Antonio Cassano meletakkan Itali di depan pada minit ke-11, Faroe melakukan dua percubaan yang mengenai palang di Stadium Torsvolli, pertama melalui rembatan jarak jauh Suni Olsen pada minit ke-24 disusuli dengan percubaan Lamhauge Holst pada minit ke-71.

Enam kemenangan dan sekali seri membolehkan Itali mendahului Kumpulan C dengan 19 mata dan mampu mara ke kejohanan yang akan dilangsungkan di Poland dan Ukraine tahun depan jika berjaya menewaskan Slovenia di Florence Selasa ini. – Agensi

0 comments: