Friday, November 11, 2011

Skuad Dulu , Sekarang Banyak Persamaan

JAKARTA - Skuad bola sepak kebangsaan Sukan SEA XXVI sehebat 'skuad emas' bimbingan K. Rajagobal di Laos dua tahun lalu, kata ketua pasukan Baddrol Bakhtiar.

Menurut Baddrol, kemampuan skuad bimbingan Ong Kim Swee dibuktikan dengan menumbangkan Thailand 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.

Baddrol, antara pemain skuad emas di Laos ketika ditanya mengenai perbandingan dengan skuad pada Sukan SEA kali ini berkata: "Tidak banyak jauh bezanya. Semua pemain bersemangat untuk memburu kejayaan.

"Para pemain muda mempunyai bakat yang tinggi dan mereka juga bersaing secara sihat bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.''

Antara pemain muda yang mendapat kepercayaan Kim Swee bagi menggalas cabaran skuad Harimau Muda pada temasya kali ini termasuklah Muhd. Nazmi Faiz Mansor, 17, dan Syahrul Azwari Ibrahim, 18.

Kemenangan penuh bermakna ke atas Thailand di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin ternyata menyuntik semangat barisan Harimau Muda bagi meneruskan momentum kemenangan selepas dikritik ekoran prestasi hambar ketika seri dengan Singapura pada aksi sulung Kumpulan A Sukan SEA 2011 pada Isnin lalu.

Tambah Baddrol, percaturan Kim Swee menguatkan jentera tengah Harimau Muda pada perlawanan kelmarin memberi kesan positif.

"Pemain sudah mendapat rentak permainan pada perlawanan kedua berbanding aksi pembukaan.

''Para pemain juga mengikut setiap arahan daripada jurulatih sehingga membolehkan kami mencapai kemenangan ke atas Thailand semalam (kelmarin)," ujar Baddrol.

Namun, katanya, masih ada kelemahan yang perlu perbaiki menjelang pertemuan dengan Kemboja dan Indonesia.

"Saya yakin jurulatih sudah mempunyai percaturan tersendiri bagi menghadapi kedua-dua perlawanan itu nanti. Yang penting, para pemain mengikut setiap arahan," tambahnya. - Utusan

0 comments: