Thursday, November 3, 2011

Harimau Muda Tanpa Gary dan Wan Zack Haikal


Annuar Musa memberi perangsang kepada pemain-pemain bawah 23 negara ke Sukan SEA dalam pertemuan di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.


KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Sukan SEA bakal kehilangan khidmat Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Noor apabila kedua-dua nama mereka digugurkan daripada 20 pemain ke Sukan SEA Indonesia akibat masalah kecederaan sementara Baddrol Bakhtiar dinamakan sebagai ketua pasukan.

Ketiadaan mereka berdua sebaliknya membuka ruang kepada jurulatih, Ong Kim Swee yang mengambil Mohd. Nazmi Faiz dan Yong Kuong Yong untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh dua tonggak utama Harimau Muda itu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, misi skuad negara tetap sama iaitu mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Laos, dua tahun lepas.

‘‘Memandangkan ktia sebagai juara bertahan, kita memang tiada pilihan kecuali mempertahankan pingat emas yang kita menangi memandangkan pelbagai persiapan dan latihan kita telah dilakukan.

‘‘Tanpa mengambil kira siapakah lawan kita sama ada Singapura, Thailand atau Indonesia, kita perlu mendapatkan kemenangan dan saya yakin misi mempertahankan pingat emas di Jakarta mampu digapai,” katanya.

Turut hadir pada majlis pengumuman pemain ke Sukan SEA itu ialah Naib Presiden FAM dan pengurus pasukan, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Antara pemain lain yang turut digugurkan ialah penjaga gol, Mohd. Zamir Selamat, Muhd Affizie Faisal Mamat dan Nazirul Naim Che Hashim.

Sementara itu, Kim Swee berkata, ketiadaan Gary dan Wan Zack tidak menggusarkan dirinya kerana masih mempunyai banyak pilihan pemain yang mampu bermain di barisan tengah.

‘‘Dalam senarai pemain yang saya bawa, beberapa pemain mampu berada di bahagian tengah seperti Ahmad Fakri Saarani, Syahrul Azwari dan Baddrol Bakhtiar walaupun bermain di barisan serangan di samping Wan Zaharul Nizam mampu berada di posisi sayap kiri.

‘‘Saya tidak fikir kekuatan skuad negara akan terjejas biarpun kita tidak membawa Gary dan Wan Zack,” katanya.

Dia juga berkata antara sebab memilih Baddrol sebagai ketua pasukan adalah kerana pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa dan mampu membimbing pemain-pemain muda yang berada dalam skuad.

‘‘Baddrol mempunyai apa yang saya mahukan selaku ketua pasukan, selain mempunyai pengalaman, dia juga berkeupayaan memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda dan ada kualiti kepimpinan,” katanya yang turut menamakan Khairul Fahmi Che Mat selaku penolong ketua pasukan.

Skuad bola sepak akan membuka tirai berdepan Singapura pada perlawanan sulung Kumpulan A, Isnin depan.
- Utusan

0 comments: