Tuesday, November 15, 2011

Kuartet 4x400m cipta kejutan



PALEMBANG – Datang bersama kontroversi dan langsung tidak diletak harapan, kuartet 4x400 meter lelaki negara melakar kejutan terbesar pada penghujung cabaran hari ketiga Sukan SEA XXVI apabila menghadiahkan pingat emas paling tidak diduga di Stadium Olahraga Jakabaring.

Kombinasi Muhammad Yunus Lasaleh, Sehzuan Ahmad Rosely, P. Yuvaraaj dan S.Kannathasan pada awalnya tidak disenaraikan ke Sukan SEA dan hanya mendapat tempat dalam kontinjen pada saat akhir, mengetepikan segala ujian dengan menggondol emas menerusi catatan masa 10.47s.

Malaysia, yang kali terakhir memenangi emas 4x400m lelaki pada Sukan SEA Korat 2007, menumpaskan Filipina dan Thailand.

Malah, ia merupakan emas kedua yang hadir daripada lapangan olahraga semalam selepas Lee Hup Wei sebelum itu mengotakan janjinya untuk mempertahankan kejuaraan lompat tinggi lelaki menerusi lompatan sederhana, 2.15m, jauh daripada catatan terbaiknya, 2.27m.

Terjun pula terus menjadi sukan yang tidak menghampakan apabila menambah dua lagi emas menerusi kombinasi Yeoh Ken Nee-Bryan Nickson Lomas (3 meter papan anjal lelaki) dan Leong Mun Yee-Traisy Vivian dalam 10m platform wanita.

Selepas menokok empat emas, empat perak dan tujuh gangsa pada hari ketiga, Malaysia kini menghuni tangga kelima kedudukan pingat keseluruhan menerusi 12 emas, 14 perak dan 22 gangsa.

Indonesia terus unggul dengan 55 emas, diikuti Thailand 35, Vietnam 26 dan Singapura 18.

Biarpun diceriakan dengan empat emas, hari ketiga Sukan SEA XXVI dijejaskan dengan kegagalan bintang renang Khoo Cai Lin mempertahankan pingat emas dalam acara kegemarannya, 400m gaya bebas.

Turun sebagai sasaran, Cai Lin sekadar meraih perak dengan 4:16.54s, namun masa yang melayakkannya dia ke Sukan Olimpik dalam kategori B. Malah, perenang muda, Chan Kah Yan memberi sedikit keceriaan apabila mencipta rekod baru kebangsaan, 29.55ss dalam 50m kuak lentang wanita untuk meraih perak.

Hari ceria Malaysia turut dicemari beberapa keputusan kontroversi dalam acara karate dan taekwondo, yang menafikan hajat Malaysia untuk menambah sekurang-kurangnya dua lagi emas.

Dalam taekwondo kelas bawah 46kg wanita, Nurul Asfah Mohamed Johari kalah 5-8 kepada lawan dari Indonesia, Fransisca Valentin menerusi keputusan berat sebelah juri ketika.

Karate kumite berpasukan wanita turut menerima nasib serupa apabila kombinasi G. Yamini, Jamalliah Jamaludin dan A. Nisha kalah Indonesia 2-1.

Pungutan pingat emas negara dijangka kembali rancak hari ini, andai acara disasarkan tidak mengalami kejutan.

Olahraga mempunyai dua lagi emas untuk diburu menerusi dua bintangnya, Noraseela Mohd. Khalid (400m lari berpagar) dan Roslinda Samsu, lompat bergalah wanita.

Dalam renang, Siow Yi Ting menjadi harapan untuk menamatkan kemarau emas negara apabila turun mempertahankan kejuaraan 100m kuak dada wanita, manakala Cai Lin memperoleh peluang menebus dalam 800m gaya bebas wanita.

Boling yang mensasarkan tiga emas di Jakarta turut memulakan pemburuan dengan bermulanya acara perseorangan.

Tanpa Esther Cheah, kekuatan skuad wanita tidak tergugat, begitu juga dengan skuad lelaki yang diketuai juara berganda Sukan Asia 2010, Alex Liew.

Harapan emas juga diarah kepada menembak (Nur Suryani Mohamed Taibi dan Shahera Rahim Raja, 10m air rifle wanita) manakala badminton menjadi tumpuan peminat di Jakarta, apabila Malaysia menentang musuh tradisi, Indonesia di Stadium Istora Senayan untuk memburu emas berpasukan lelaki. – Utusan


 
Atlet terjun Yeoh Ken Nee (atas) dan Bryan Nickson Lomas memenangi pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki akhir di Pusat Akuatik Jakabaring, Palembang, semalam. – BERNAMA

0 comments: