Sunday, November 13, 2011

HOKI - Malaysia Juara benam Australia

 
Penjaga gol Malaysia, Mohd. Hazrul Faiz cemerlang menepis bola rembatan penyerang Australia, Beale Daniel pada final di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU - Muhammad Noor Faeez Ibrahim muncul wira apabila jaringan emasnya menerusi pukulan sudut penalti pada masa tambahan membolehkan Malaysia muncul juara sulung Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun - Piala Sultan Johor 2011, menundukkan Australia 3-2 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini semalam.

Perlawanan tersebut diheret ke masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 selepas tamat masa penuh perlawanan.

Selepas dikecewakan 1-2 oleh Australia dalam aksi pembukaan kejohanan, skuad projek 2013 negara itu berjaya untuk menebus kekalahan di depan kira-kira 5,000 penyokong sendiri.

Pasukan Australia terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Dylan Wotherspoon namun anak didik Mohd. Dharma Abdullah berjaya menyamakan kedudukan pada minit kedudukan pada minit ke-42 menerusi jaringan padang Mohd. Fitri Saari.

Jaringan padang Jack Wallace pada minit ke-59 hampir memastikan kemenangan Australia tetapi dinafikan oleh pukul sudut penalti kapten Muhammad Noor Faeez seminit sebelum wisel penamat dibunyikan bagi menghidupkan peluang Malaysia.

Pada kejohanan berkenaan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli untuk menyampaikan piala kemenangan kepada pasukan Malaysia.

Turut mencemar duli menyaksikan kejohanan berkenaan ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF).

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

0 comments: