Friday, November 11, 2011

Baddrol bakar semangat rakan-rakan sepasukan

BADDROL (kiri) akui percaturan Kim Swee memberi kesan kepada corak permainan Thailand.
JAKARTA - Kejayaan menewaskan Thailand di Stadium Gelora Bung Karno kelmarin ternyata menyuntik sema- ngat barisan Harimau Muda bagi meneruskan momentum sedia ada.

Biarpun menerima kritikan ekoran prestasi hambar ketika seri dengan Singapura pada aksi sulung Kumpulan A (Isnin lalu), ia sedikit pun tidak melunturkan semangat anak-anak buah Ong Kim Swee untuk bangkit de- ngan rentak lebih bertenaga.

Hasilnya, mereka berjaya meraih tiga mata berharga apabila membenam Thailand 2-1 menerusi jaringan kapten Baddrol Bakhtiar dan Izzaq Faris Ramlan.

Bagi Baddrol, percaturan Kim Swee menguatkan jentera tengah Harimau Muda telah memberi kesan kepada corak permainan Thailand.

"Perlawanan menentang Thailand memang berbeza ketika kami bertemu Singapura pada aksi pembukaan lalu. Jadi, para pemain sudah mendapat rentak permainan dan dapat menyesu- aikan diri dengan keadaan padang dan cuaca.

"Para pemain juga telah mengikut setiap arahan daripada jurulatih sehingga membolehkan kami mencapai kemenangan ke atas Thailand semalam (kelmarin)," kata Baddrol semalam.

Biarpun berjaya menumbangkan Thailand, Baddrol tetap mahu rakan- rakan sepasukannya berwaspada ketika berdepan Kemboja, Ahad ini dan Indonesia pada 17 November.

"Masih ada kelemahan yang perlu kami perbaiki lagi menjelang pertemuan dengan Kemboja dan Indonesia.

"Saya yakin jurulatih sudah mempu- nyai percaturan tersendiri bagi menghadapi kedua-dua perlawanan itu nanti.

"Yang penting, para pemain mengikut setiap arahannya," katanya yang turut menjadi tonggak skuad negara ketika meraih emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Ditanya barisan pemain kendalian Kim Swee dengan 'skuad emas' di Laos, Baddrol berkata: "Tidak banyak bezanya. Saya lihat semua pemain bersemangat untuk memburu kejayaan.

"Para pemain muda negara mempu- nyai bakat yang tinggi dan mereka juga bersaing secara sihat bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama," katanya.

Antara pemain muda yang mendapat kepercayaan Kim Swee bagi menggas cabaran skuad Harimau Muda pada temasya kali ini termasuk Muhd. Nazmi Faiz Mansor, 17, dan Syahrul Azwari Ibrahim, 18.

0 comments: