Wednesday, November 2, 2011

MB Terengganu Harap Irfan Bakti Kekal Bimbing Skuad Penyu Musim Depan


 KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berharap Irfan Bakti Abu Salim akan menimbang semula keputusan meninggalkan Terengganu, sebaliknya terus membimbing Skuad Penyu musim depan.

Beliau akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) dan jurulatih kelahiran Kelantan itu bagi mendapatkan kepastian.

Ahmad berkata beliau dimaklumkan PBSNT ada menawarkan kontrak kepada jurulatih berusia 60 tahun itu bagi tempoh dua musim lagi, namun ditolak.

"Saya akan berbincang dengan kedua-dua belah pihak mengenai perkara ini dan saya berharap jurulatih itu terus dapat berkhidmat dengan pasukan Terengganu kerana beliau telah banyak membawa kejayaan kepada pasukan ini," katanya.

Ahmad berkata beliau tidak bermaksud untuk campur tangan dalam hal itu, namun khidmat Irfan Bakti dilihat amat diperlukan di Terengganu bagi meneruskan tradisi kecemerlangan sukan bola sepak negeri berkenaan.

"Saya berpuas hati dengan khidmat dan pencapaian yang ditunjukkan beliau sepanjang membimbing pasukan Terengganu dan saya berharap beliau akan kekal bersama Terengganu untuk tahun depan," katanya.

Untuk rekod, Irfan Bakti yang membimbing Terengganu selama dua musim, berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga kedua Liga Super, selain memenangi Piala FA musim ini.

Semalam, jurulatih itu mengumumkan akan meninggalkan Terengganu apabila kontraknya berakhir 31 Nov ini.

Sementara itu, Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh membuat pengumuman rasmi berhubung pengunduran Irfan Bakti, yang dikatakan akan berhijrah ke Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih kelab Liga Perdana Mat Zan Mat Aris ditawarkan menjadi Ketua Jurulatih Terengganu, menggantikan Irfan Bakti.

0 comments: