Friday, November 25, 2011

Harimau Muda kembali lengkap

 





KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee mempunyai beberapa sebab untuk tersenyum menjelang perlawanan getir menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Pertama, tiga tonggak utama, Syahrul Azwari Ibrahim, Fadhli Shas dan Irfan Fazail dijangka cergas untuk kembali memperkuatkan kesebelasan utama dalam misi mengutip tiga mata penuh.

Hanya kemenangan mampu menghidupkan peluang kita untuk setidak-tidaknya merebut kedudukan naib juara Kumpulan C.

“Syahrul, Irfan berkemungkinan besar dapat diturunkan dan Fadhli yang tidak bermain menentang Syria kerana demam, patut tiada masalah untuk beraksi Ahad ini,” kata Kim Swee yang akhirnya boleh menarik nafas lega selepas mengharungi jadual padat Sukan SEA dan menghadapi kekangan masa untuk membuat persiapan menentang Syria, kelmarin.

Rehat selama tiga hari merupakan peluang terbaik untuk seluruh skuad terutama sebilangan pemain yang terpaksa beraksi dalam dua perlawanan tegang berturut-turut dalam tempoh kurang dari 48 jam.

Bagi Kim Swee, dia sendiri juga mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan dan percaturan taktikal lebih rapi berbanding ketika bertemu Syria.

“Saya tiada peluang untuk bermimpi pun,” keluhnya merujuk kepada masalah kekangan masa.

Bagaimanapun persembahan bertenaga di luar jangkaan daripada kesebelasan terbaik yang dapat diturunkan kelmarin, telah membangkitkan keyakinan dalam dirinya bahawa peluang mengejutkan Bahrain adalah cerah dengan adanya skuad yang lebih lengkap dan cergas.

Aksi menakjubkan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor yang membuat penampilan sulung selepas lebih dua bulan tidak bermain, mendapat pujian Kim Swee.

“Saya agak terkejut Wan Zack mampu beraksi dengan sempurna sepanjang 90 minit permainan, ia satu keadaan yang agak luar biasa untuk seorang pemain yang diketepikan bagi tempoh panjang.

“Ini menunjukkan sepanjang tempoh dia tidak berlatih bersama kami, dia sendiri telah bersungguh-sungguh membuat latihan untuk mengembalikan sentuhan dan kecergasannya. Saya rasa sikap seperti ini patut dicontohi semua pemain,” jelasnya.

Sementara itu, Kim Swee juga mengharapkan lebih ramai penonton membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memberi kekuatan tambahan kepada pasukannya.

Beliau mengakui, kejayaan menumpaskan Indonesia pada final Sukan SEA XXVI, Isnin lalu menukar senario bola sepak negara.

Justeru, beliau berharap peminat terus memberi sokongan untuk anak-anak buahnya berdepan Bahrain. “Saya amat terharu dengan semangat penyokong yang setia bersama kami walaupun tewas 0-2 kepada Syria, mereka tidak berganjak dari tempat duduk. Kami akan membalas sokongan anda pada Ahad ini,”’’ katanya lagi.

1 comments:

hafiz mason said...Best Blogger Tips[Reply to comment]Best Blogger Templates

yeah,teruskan kegemilangan skuad harimau muda kita,mari kita beramai2 memenuhi stadium pada hari Ahad ni