Monday, November 7, 2011

Harimau Muda Buru 3 Mata





SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara tidak mempunyai pilihan lain selain mengutip tiga mata penuh menjelang sepak mula aksi Kumpulan A menentang Singapura pada Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini.

Jurulatih skuad B-23 negara, Ong Kim Swee berkata, sudah menjadi lumrah dalam setiap kejohanan, aksi pada perlawanan pertama adalah sangat penting buat mana-mana pasukan sekalipun dan tidak terkecuali anak-anak buahnya itu.

Katanya, kemenangan pada pertemuan menentang Singapura itu penting bagi menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk terus memberikan saingan sehingga tamat kempen peringkat kumpulan.

“Namun, apa yang lebih penting adalah fokus pemain-pemain dalam perlawanan menentang Singapura itu. Bukan 100 peratus tetapi saya mahu pemain-pemain memberikan fokus 200 peratus.

“Saya juga tidak mahu mereka memandang mudah perlawanan tersebut kerana ia hanya akan mengundang padah kepada pasukan.

“Perlawanan kali ini juga adalah peluang terbaik buat skuad negara untuk menebus kekecewaan ketika tewas di tangan Singapura pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 yang lalu,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta, Indonesia semalam.

Ditanya mengenai peluang anak-anak buahnya untuk mencatatkan kemenangan sulung pada pertemuan menentang Singapura itu, Kim Swee berkata: “Bukan cara saya untuk bercakap besar dalam mana-mana perlawanan yang dihadapi.

“Begitupun, saya lihat skuad negara mempunyai kualiti jika dibandingkan dengan Singapura.

“Namun, seperti saya katakan tadi, kita tidak boleh menandang mudah kemampuan Singapura. Ini kerana, setiap kali Singapura berdepan skuad negara, mereka pasti akan berjuang habis-habisan.

“Sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan muslihat serta pergerakan pemain Singapura,” ujar Kim Swee.

Dalam pada itu, skuad negara menerima perkhabaran gembira apabila Kim Swee mengesahkan bahawa dua pemain perancang, Mohd. Irfan Fazail dan K. Gurusamy sudah kembali pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan masing-masing.

“Sebelum ini, Irfan bergelut dengan masalah kecederaan lutut manakala Gurusamy pula hamstring.

“Kedua-dua pemain itu sudah boleh diturunkan. Namun, untuk Irfan saya perlu membuat pemantauan kerana kecederaan yang dialaminya sebelum ini adalah kecederaan berulang.

“Jadi... saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya kerana bimbang kecederaannya itu akan berulang kembali,” tambah Kim Swee.

Pada Sukan SEA kali ini, skuad negara tampil selaku juara bertahan selepas menamatkan kemarau selama dua dekad apabila berjaya memenangi pingat emas pada edisi dua tahun di Vientiane, Laos.

0 comments: