Tuesday, November 29, 2011

Kelab Indonesia Lamar Baddrol dan Farizal




KUALA LUMPUR - Selepas Safee Sali, kelibat pemain negara semakin mencuri perhatian di kalangan kelab di negara seberang apabila kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya dan Persisam Putra Samarinda menyatakan tawaran secara rasmi untuk mendapatkan beberapa tonggak Harimau Malaya.

Pengurus peribadi Safee Sali, Zakaria Rahim yang dihubungi mengesahkan dua penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias, juga ketua pasukan negara pada Sukan SEA XXVI, Baddrol Bakhtiar, menjadi buruan dua kelab berkenaan.

Selain itu, menurut laporan media Indonesia, PSPS Pekanbaru turut mengintai peluang untuk melamar bintang Selangor, Safiq Rahim yang sedang menjalani latihan di Cardiff City.

"Pelita Jaya amat berminat dengan Khairul Fahmi dan Baddrol manakala Persisam Putra Samarinda yang pada mulanya mahu memikat Khairul Fahmi kini mengalihkan perhatian kepada Farizal Marlias.

"Buat masa ini, perbincangan mengenai perpindahan Baddrol dan Farizal sedang berjalan namun peluang ke sana masih belum pasti kerana mereka masih ada baki kontrak setahun.

"Namun peluang Khairul Fahmi sedikit sukar kerana melalui pertemuan saya dengan Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini, beliau masih belum bersedia melepaskan Khairul, " katanya.

Jelas Zakaria, prestasi hebat Baddrol semasa mengetuai cabaran negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini punca Pelita Jaya terpikat kepada pemain dari Sungai Petani itu.

"Wakil dari Pelita telah berjumpa dengan saya dan kami telah mengadakan perbincangan. Buat masa ini ia pada peringkat awal dan Kedah telah sedia maklum akan situasi tersebut, " katanya.

Bagi Farizal, dia berkata, pada mulanya Persisam berminat dengan khidmat Khairul Fahmi namun setelah diberikan penjelasan situasi di Kelantan, Zakaria telah mencadangkan nama Farizal sebagai pengganti dan mereka turut berminat dengan aksi yang ditunjukkan oleh penjaga gol Negeri Sembilan itu.

"Situasi Farizal juga lebih kurang sama dengan Baddrol sementara Khairul Fahmi saya rasa peluangnya agak sukar, mungkin tahun hadapan dia boleh beraksi di sana bergantung kepada baki kontrak tetapi tahun ini saya lihat agak tipis, " katanya.

Jelas Zakaria, penambahan kuota pemain import dari empat kepada lima pemain dengan dua dikhususkan kepada pemain dari benua Asia yang sebelum ini hanya satu pemain, membuka ruang pemain Malaysia beraksi di sana.

"Perkara ini baru sahaja diputuskan pada mesyuarat pengurusan pertandingan ISL baru-baru ini dan ia adalah satu berita baik kepada pemain Malaysia yang mahu beraksi di sana, " katanya.

0 comments: