Wednesday, November 2, 2011

Kuala Lumpur tanpa awang import

 PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak berhasrat mengambil pemain import bagi menghadapi saingan Liga M musim depan kerana berdepan dengan masalah kewangan.

Presidennya, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, KLFA masih lagi berusaha mencari penajaan secukupnya untuk membolehkan mereka menggunakan khidmat pemain import.

"Setakat ini, kita baru mendapatkan separuh penajaan," kata Astaman semalam.

Pada Julai lalu, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kebenaran kepada setiap pasukan yang beraksi dalam kempen Liga Su- per mendapatkan khidmat dua pemain im- port, masing-masing seorang dari negara ASEAN dan seorang dari negara Eropah, Afrika atau Amerika Selatan.

Astaman yang juga anggota Exco FAM berkata, walaupun Kuala Lumpur tidak dibarisi pemain import, beliau masih yakin dengan kemampuan barisan pemain sedia ada.

"Enam pemain kita pernah bermain dalam saingan Piala Presiden serta Piala Malaysia musim ini, selain lima lagi turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

"Jadi, saya tidak nampak pasukan kita akan berhadapan dengan masalah pemain," katanya.

Beliau juga berkata, KLFA tidak akan merombak pemain skuad warga kota itu selain mengekalkan jurulatih Razip Ismail.

Mengenai sasaran untuk saingan Liga Super musim depan, Astaman berkata, KLFA berharap skuad kendalian Razip dapat membaiki kedudukan setelah berada pada tangga ke-12 musim ini.

0 comments: