Thursday, February 2, 2012

Safee Yakin Bersama Pelita Jaya

JAKARTA – Biarpun terus kekal bermain dengan kelab Pelita Jaya FC, namun peluang untuk Safee Sali bermain dengan skuad kebangsaan tidak pernah tertutup.

Menurut Safee yang yang menyambung kontrak selama dua tahun lagi dengan kelab itu, beliau yakin dapat terus bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia, walaupun Liga Super Indonesia (ISL) yang disertai Pelita Jaya sekarang berdepan kemungkinan diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Sekalipun FIFA mengharamkan ISL, kelab Pelita Jaya tidak diharamkan. Pelita Jaya boleh bermain dalam mana-mana liga yang di rantau ini, contohnya ia boleh bermain di Liga Malaysia, di Liga Singapura.

“Pemain juga tidak diharamkan. Jadi saya boleh bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika di temui selepas acara pengumuman penyambungan kontraknya dengan Pelita Jaya FC di sini semalam.

Safee yang berusia 28 tahun juga memberitahu, beliau akan bersama rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Malaysia tidak lama lagi ke Australia untuk bermain dalam perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi.

Penyerang kebangsaan itu juga optimis, kemelut yang berlaku berkaitan ISL dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dapat diselesaikan dengan baik kerana ia merupakan masalah dalaman.

ISL berdepan dengan kemungkinan diharamkan oleh FIFA kerana menjalankan liga bola sepak secara tersendiri dan tidak diiktiraf oleh PSSI.

“Sebetulnya saya tidak mempunyai masalah dengan FIFA dan dengan PSSI untuk bermain dengan skuad kebangsaan Malaysia.

“Memang saya fikirkan hal itu kerana bermain dengan skuad kebangsaan merupakan pertimbangan saya yang utama untuk memilih dan membuat satu keputusan, jadi saya lihat di kelab Pelita Jaya ini, saya tidak mempunyai masalah itu dan saya akan tetap bermain di Pelita Jaya,” tambahnya.

Safee menegaskan, beliau tidak ragu-ragu dengan keputusannya itu kerana dalam keadaan apa sekalipun beliau tetap boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

“Kalau saya diharamkan oleh FIFA, itu baru saya tak boleh bermain untuk skuad kebangsaan,” tegas Safee.

Sementara itu, Safee menjelaskan, alasan utama kenapa dia memilih untuk kekal bermain dengan Pelita Jaya FC ialah bertitik tolak kepada hasratnya untuk mengembangkan kariernya ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kelab Pelita Jaya FC memiliki pelan jangka panjang yang menawarkan beliau peluang beraksi di luar negara.

“Saya melihat mereka betul-betul komited untuk menghantar pemain yang berprestasi tinggi untuk bermain di tahap lebih tinggi di luar negara. Sebenarnya Pelita Jaya menawarkan kontrak tiga tahun dan saya hanya mahu memanjangkan kontrak selama satu tahun sahaja lagi, tetapi setelah pihak saya mengadakan perbincangan yang panjang, kami mengambil jalan tengah iaitu menyambung kontrak selama dua tahun lagi,” jelas Safee.

Pada masa sama, keputusan itu juga dibuat sebagai menghargai kehendak Pelita Jaya FC yang cukup berminat dengan khidmatnya.

“Memang ada banyak tawaran dari kelab luar negara tetapi saya memilih untuk di sini (Pelita Jaya FC).

“Terima kasih kepada pengurusan Pelita Jaya FC yang masih mengharapkan saya di sini. Pelita Jaya FC banyak membantu perkembangan karier saya dan saya senang sekali,” kata Safee yang turut diteman ayahnya, Sali Mian dan ibunya, Maripah Husin.

Selain faktor itu, khidmat jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Rachmad Darmawan membimbing Pelita Jaya FC juga menambah keyakinan Safee.

Bagi pengurus pasukan Pelita Jaya FC, Lalu Mara Satria Wangsa, persetujuan menyambung kontrak Safee membuktikan penyerang Malaysia itu memiliki keperibadian yang menawan.

“Komitmen dan kesetiaan Safee kepada Pelita Jaya FC sangat saya hargai. Biarpun banyak tawaran datang kepadanya sama ada dari Eropah mahupun Malaysia, namun Safee putuskan untuk bersama Pelita Jaya FC,” kata Lalu Mara. – Utusan

0 comments: