Monday, February 13, 2012

Izham Perlukan Masa - kim swee

IZHAM (belakang) antara penjaga gol muda negara yang semakin mempamerkan kematangan.

PERSEMBAHAN goyah penjaga gol Harimau Muda, Izham Tarmizi Roslan ketika membenam cabaran Gombak United 2-0 dalam aksi sulung Liga Singapura (Liga S) baru-baru ini sedikitpun tidak meresahkan pengendali pasukan, Ong Kim Swee.

Walaupun Izham dilihat agak gugup dalam perlawanan itu, Kim Swee sebaliknya yakin pemain kelahiran Terengganu itu akan mempamerkan aksi yang lebih matang sejajar dengan peningkatan usianya selepas ini.

Malah tanpa berselindung, Kim Swee juga yakin Izham bakal menjadi penjaga gol No. 1 negara menggantikan Khairul Fahmi Che Mat satu hari nanti jika kekal berdisiplin serta mempamerkan persembahan konsisten setiap kali ditugaskan menjaga gawang negara.

“Harus diingat betapa usia Izham masih muda, baharu sahaja berusia 21 tahun.

“Saya percaya peluang beraksi dalam Liga S akan mematangkan corak permainan Izham sekali gus mengambil alih tugas penjaga gol No. 1 negara daripada Khairul Fahmi selepas ini,” kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Lahir pada 24 April 1991, Izham yang mempunyai ketinggian 1.75 meter merupakan penjaga gol utama negara bagi mengharungi saingan Liga S selepas Khairul Fahmi atau Apek membuat keputusan untuk kekal bersama Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Disebabkan itu, tugas Apek yang sering menggalas tanggungjawab selaku kapten kini digalas oleh pemain paling senior dalam skuad Harimau Muda, Mahali Jasuli sementara Affize Faisal Mamat dan Irfan Fazail pula dilantik sebagai penolong kapten.

Selain Izham, seorang lagi penjaga gol Harimau Muda ialah Shahril Saari.

Dalam pada itu, ketajaman penyudah penyerang muda, Thamil Arasu yang berjaya meledak satu gol ketika menentang Gombak United tempoh hari juga mengundang pujian Kim Swee.

“Saya harap Thamil dapat mengekalkan permainannya yang konsisten sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada saya di bahagian serangan selepas Syahrul Azwari Ibrahim dan Ahmad Hazwan Bakri masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Aksi kedua Harimau Muda dalam saingan Liga S ialah menentang Tanjung Pagar United di Stadium Yishun pada 2 Mac depan, selain berdepan Jepun bagi aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Februari depan yang begitupun dilihat tidak ubah seperti pelengkap jadual perlawanan selepas tewas dalam keempat-empat perlawanan sebelum ini.

0 comments: