Monday, February 27, 2012

Arsenal Belasah Spurs, Man U hampir dimalukan

LONDON – Dua jadual Liga Perdana Inggeris semalam menampilkan dua perlawanan dramatik dengan Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membelasah musuh sejiran, Tottenham 5-2 di Emirates, manakala Manchester United pula mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Norwich di Carrow Road.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Arsenal tersentak seawal minit minit keempat menerusi Louis Saha, sebelum kedudukan itu digandakan setengah jam kemudian oleh bekas penyerang Gunners, Emmanuel Adebayor yang menyempurnakan sepakan penalti Gareth Bale dijatuhkan Laurent Koscielny.

Apabila disangka maruah skuad bimbingan Arsene Wenger terus tercalar, terutamanya selepas tersingkir daripada Piala FA malah juga di ambang penyingkiran dari Liga Juara-Juara selepas dibelasah AC Milan 4-0 minggu lalu, mereka bagaikan ‘mati hidup semula’.

Kebangkitan tuan rumah dimulakan oleh Bacary Sagna dan Robin Van Persie pada babak pertama sebelum gawang Spurs terus dibolosi tiga lagi gol, dua daripada Theo Walcott dan Tomas Rosicky tidak ketinggalan menyumbang satu dalam pesta gol tersebut.

Di Norwich, Ryan Giggs menyambut penampilan ke-900 untuk United dengan meledak gol lewat kemenangan yang mungkin menjadi penentu kejuaraan buat pasukannya musim ini.

Tiga mata penting yang dikutip United di tempat lawan bermakna Red Devils terus menghidu rapat dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Jaringan Giggs dihasilkan menerusi penyudah jarak dekat selepas menyambut hantaran lintang kemas dari Ashley Young.

Terdahulu, seorang lagi veteran, Paul Scholes memberikan jaringan pendahuluan seawal minit ketujuh namun Norwich bangkit untuk menguasai perlawanan dan usaha mereka mengasak kubu lawan menghasilkan pulangan setimpal apabila rembatan kaki kiri Grant Holt pada minit ke-83 dilihat mampu menjejaskan peluang United memburu kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun, gol yang dijaringkan Giggs mengubah kesudahannya.

0 comments: