Sunday, February 5, 2012

Nazmi Playmaker dalam pembikinan

NAZMI (tengah) antara pemain paling kreatif dalam skuad Harimau Muda meskipun bertubuh kecil.



PERMATA bola sepak dalam pembikinan. Mungkin pujian itu paling sesuai buat pemain tengah skuad Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Bertubuh kecil tidak menghalangnya untuk beraksi cemerlang, malah dia memiliki kekuatan yang menakjubkan.

Boleh dikatakan bahawa Nazmi antara pemain yang kreatif dalam skuad bimbingan Ong Kim Swee sekarang dan atas faktor tersebut, dia sering menjadi pilihan dalam kesebelasan utama.

Paling menarik, Nazmi bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya dan gaya permainannya mengingatkan peminat tempatan terhadap gaya permainan bekas pemian tengah negara pada era 70-an, Abdah Alif.

Abdah yang menyinar sebagai pemain tengah satu ketika dahulu, juga memiliki susuk tubuh badan yang kecil tetapi memiliki gaya permainan yang mempesonakan.

Nazmi bukan setakat memiliki kelajuan, tetapi juga memiliki gaya kawalan yang kemas dan bijak melakukan hantaran bagi mencipta ruang kepada rakannya untuk menghasilkan gol.

Selain itu, Nazmi juga memiliki tendangan padu menggunakan kedua-dua belah kakinya.

Aksi paling menarik pernah dipamerkan pemain yang berasal dari Kuala Lumpur ini adalah pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, November tahun lalu.

Kelibatnya cukup terserlah apabila menjadi antara watak penting dalam membantu skuad negara mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

Selepas itu, kecemerlangannya terus terbukti apabila menghasilkan jaringan pembukaan daripada jarak 30 meter ketika menentang Bahrain pada 27 November lalu pada aksi kelayakan Olimpik peringkat Kumpulan C zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, jaringan emasnya itu tidak mampu membantu Harimau Muda menewaskan Bahrain yang menang 3-2 pada perlawanan tersebut.

Hari ini, Nazmi bakal diberi peranan yang sama apabila Harimau Muda turun menentang Bahrain pada aksi kedua Kumpulan C dan impiannya adalah untuk mematikan langkah lawan mereka itu yang mengecewakan mereka pada aksi pertama sebelum ini.

Kelincahan serta kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Nazmi ketika beraksi di padang itu telah menarik perhatian beberapa kelab Eropah antaranya Cardiff City yang sudah mula memasang impian untuk mendapatkan khidmatnya.

Nazmi juga tercalon dalam 'lima pemain muda ASEAN’ yang kelab Eropah harus memberikan perhatian seperti yang dilaporkan dalam laman web www.goal.com baru-baru ini.

Selain Nazmi, empat lagi yang tercalon termasuk Teerasil Dangda dari Thailand, Kyaw Ko Ko (Myanmar), Andik Vermansyah (Indonesia) dan Le Cong Vinh (Vietnam).

Namun bagi Nazmi, dia mengaku teruja dan gembira apabila beberapa kelab Eropah berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Menyingkap perjalanan karier bola sepak Nazmi, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil ini mula bergiat aktif ketika berusia 17 tahun.

Kebolehan yang ada padanya menyaksikannya menerima panggilan daripada jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Ong Kim Swee untuk menyertai latihan bagi menghadapi Sukan SEA di Jakarta tahun lalu.

Bermula dari saat itu, kariernya terus berkembang dan kini menjadi antara pemain utama dalam skuad kendalian Kim Swee itu.

Apa yang menarik tentang perjalanan karier bola sepak Nazmi ialah dia tidak pernah mewakili pasukan Kuala Lumpur dalam saingan liga tempatan.

Ketika menjejak kaki ke SSBJ, dia diserapkan dalam skuad Harimau Muda B sebelum dinaikkan pangkat menganggotai Harimau Muda yang kini sedang menggalas cabaran negara pada pusingan kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan C zon Asia.

Harapan Nazmi hanya satu iaitu membantu skuad negara layak ke Olimpik selain bercita-cita mahu menjadi pemain profesional yang berjaya.

*********************



0 comments: