Tuesday, October 25, 2011

Shukor tidak rela kempunan lagi



SEREMBAN – Kapten pasukan Negeri Sembilan, Muhamad Shukor Adan tidak mahu kempunan lagi, sebaliknya menanam tekad untuk membawa semula piala berprestij itu ke negeri beradat, kata kapten pasukan, Muhamad Shukor Adan.

Kata Shukor, selepas tiga kali berturut-turut bermain di pentas akhir Piala Malaysia, sudah pastinya mereka lebih senang digelar pasukan underdog untuk bertemu Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

‘‘Alhamdulillah berjaya ke perlawanan akhir tiga kali berturut dan ia bukan perkara yang mudah tetapi kita sudah melakukan yang terbaik. Apabila berpeluang ke aksi akhir sudah tentu kita mahu membawa pulang piala keramat ini ke negeri beradat ini.

‘‘Pada masa yang sama kita juga melihat Terengganu adalah pasukan yang sempurna, perjalanan pasukan ini juga konsisten ketika berdepan pelbagai cabaran dan mereka akhirnya ke pentas akhir.

‘‘Inilah saat yang diidamkan oleh mana-mana pasukan serta memiliki piala berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelas Shukor, Negeri Sembilan dengan Terengganu dilihat memiliki keseimbangan yang sama biarpun lawan nampak garang apabila berjaya membenam Selangor dan Kelantan.

Sebagai kapten pasukan, Shukor juga mahu semua pemain memberi perhatian seratus peratus dan komitmen penuh dalam mengekalkan prestasi.

‘‘Hampir kesemua pemain sudah mempunyai pengalaman bermain di pentas final, mereka juga sudah siap sedia dari segi mental dan fizikal. Kita bermain sebagai satu pasukan dan mahu mengulangi kenangan manis seperti tahun 2009,” katanya.
-UTUSAN

0 comments: