Tuesday, October 4, 2011

Cahill dan Schwarzer tersisih lawan Harimau Malaya

Tim Cahill

SKUAD Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila jurulatih Australia, Holger Osieck tidak dapat menggunakan khidmat tonggak utama, penjaga gol Mark Schwarzer dan pemain tengah, Tim Cahill yang mengalami kecederaan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa di Canberra, Jumaat ini.

Berdasarkan laporan yang disiarkan dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Australia, Osieck terpaksa menggugurkan Schwarzer kerana mengalami kecederaan belakang sejak dua minggu lalu ketika beraksi bersama kelabnya, Fulham dan masih dirasai ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Queens Park Rangers Sabtu lalu.


Bintang Everton, Cahill pula tidak dapat bersama skuad Socceroos kerana kecederaan kakinya kembali berulang ketika beraksi menentang Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Sebagai pengganti Schwarzer, jurulatih Australia itu membawa masuk penjaga gol dari kelab Denmark, SonderjyskE, Nathan Coe untuk mengikuti latihan pusat di Sydney bermula hari ini. Osieck sebelum ini berkata, pertemuan dengan Malaysia yang dikendalikan Datuk K Rajagobal penting buatnya sebagai persediaan sebelum berdepan Oman pada 11 Oktober ini bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014.


“Saya mahu menilai kemampuan beberapa pemain lain dalam perlawanan menentang Malaysia. Perlawanan ini penting untuk saya kerana dalam perlawanan menentang Thailand dan Arab Saudi sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk menurunkan mereka.


“Saya boleh menukar sehingga enam pemain dalam perlawanan itu nanti dan saya akan mencuba beberapa taktik. Ia perlawanan penting dan kami mesti menang,” kata Osieck.

Ini adalah pertemuan ketujuh Harimau Malaya dan Socceroos selepas kali terakhir mereka berentap di Jakarta pada 1992.
-metro

0 comments: