Thursday, October 27, 2011

PBNS beri diskaun RM20



SELEPAS Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan bertegas tidak akan mengubah harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) terpaksa mengorbankan sebahagian penjualan tiket itu dengan memberikan potongan RM20 kepada hanya RM30 saja mulai hari ini.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan potongan itu selepas mengadakan mesyuarat dengan pegawai PBNS di Seremban malam tadi, susulan bantahan pelbagai pihak terutama penyokong setia skuad itu yang mahukan PBNS campur tangan terhadap langkah FAM menaikkan harga tiket perlawanan akhir itu kepada RM50 berbanding hanya RM30, tahun lalu.


Menurutnya, pengurangan itu dibuat demi kepentingan peminat dan penyokong skuad Hoben Jang Hoben yang membantah keras kenaikan itu, bagi membolehkan mereka membanjiri stadium Shah Alam, Sabtu ini, untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan Negeri Sembilan.

“Kebiasaannya PBNS akan memperoleh kira-kira 35 peratus daripada hasil jualan tiket perlawanan akhir itu tapi dengan memberikan pengurangan sebanyak RM20 daripada harga sebenar tiket ini iaitu RM50, bermakna PBNS tidak akan memperoleh apa-apa keuntungan daripada penjualan tiket itu nanti.


“Tapi demi kepentingan peminat, PBNS terpaksa melakukan pengorbanan ini dan berharap ia akan membuahkan hasil dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.


“Bagi mereka yang sudah membeli tiket pada harga RM50, boleh mendapatkan kembali wang sebanyak RM20 daripada kaunter tiket dengan menunjukkan bukti pembelian, bagaimanapun pengurangan itu hanya kepada mereka yang membeli tiket di Negeri Sembilan saja,” katanya.

0 comments: