Thursday, October 27, 2011

Negeri Sembilan Terbayang Menjadi Juara



Pemain Negeri Sembilan giat berlatih di dalam hujan semalam, sebagai persediaan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu, Sabtu ini. -



SEREMBAN - Pemain tonggak Negeri Sembilan mula membayangkan untuk membawa Piala Malaysia pulang ke bumi adat pepatih, sekali gus mengulangi saat manis ketika bergelar juara 2009.

Pemain tidak mahu hampa seperti tahun lalu apabila pulang sebagai naib juara, sebaliknya bertekad untuk mempamerkan aksi terhebat bagi menjinakkan Terengganu pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain versatil, S.Kunalan mahu memusnahkan cita-cita besar skuad Penyu yang mengidamkan kejuaraan berganda musim ini.

Namun, pemain sayap kebangsaan itu yang memiliki kelincahan mengakui bahawa memburu kemenangan ke atas pasukan pantai Timur itu bukan tugas mudah.

"Saya begitu teruja untuk aksi final tiga tahun berturut. Apabila sampai pada peringkat ini (final) tidak ada perkara yang difikirkan lagi, memberi komitmen yang tinggi serta tumpuan sepenuhnya pada perlawanan," katanya.

Bagi penyerang muda, Shahurain Abu Samah yang kerap mengukir nama sebagai penjaring dalam kempen Piala Malaysia musim ini, dia optimis dengan prestasi serta komitmen rakan sepasukan.

Katanya, pengalaman beraksi pada final dua kali bertemu pasukan hebat, Kelantan membuatkan dia lebih matang untuk menghadapi jiran bekas juara musim lalu.

Sepanjang kempen Piala Malaysia, Shahurain menjaringkan enam gol dengan purata satu gol setiap perlawanan.

"Saya telah bersedia untuk final kali ini dan memasang impian untuk menang. Tidak fikir untuk menjaringkan gol sebaliknya akan membantu rakan seperjuangan bagi catat kemenangan.

"Berdepan Terengganu satu tugas berat tetapi tetap yakin semua pemain Negeri Sembilan bersemangat dan siap sedia untuk bermain di hadapan ribuan penyokong di Shah Alam nanti.

"Tahun ini Negeri Sembilan belum mendapat sebarang gelaran atau piala, diharapkan piala keramat dapat mengembali semangat pemain," katanya.

Dalam pada itu, Hairuddin Omar yang dikenali Hai-O berkata, empat pemain lawan iaitu Joseph Kalang, Manaf Mamat, Abd. Hadi Yahya dan Ashaari Shamsudian akan diberi perhatian kerana mereka merupakan pemain yang berbahaya dalam melancarkan serangan.

Katanya, perlawanan final mempunyai aura yang tersendiri, perlawanan yang berbeza dengan perlawan biasa di mana kedua-dua pasukan mempunyai matlamat yang satu iaitu mahu menjadi juara.

-utusan

0 comments: