Thursday, May 3, 2012

Usah Megan Benam Sri Lanka

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan skuad Harimau Malaya supaya tidak terlalu bermegah dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Sri Lanka pada satu aksi persahabatan, baru-baru ini.

Sebaliknya beliau mahu rentak kemenangan diteruskan pada tiga perlawanan persahabatan akan datang iaitu melayan kunjungan Filipina pada 1 Jun dan dua aksi timbal balik dengan musuh ketat, Singapura yang mengecewakan kita pada pusingan kelayakan Piala Dunia tahun lalu pada 8 dan 12 Jun

"Saya tidak berkesempatan menyaksikan perlawanan tempoh hari kerana menghadiri satu majlis di Pahang.

"Tetapi kita jangan terlalu berasa megah dengan kemenangan ini.

"Ia hanyalah satu lagi perlawanan, pemain harus terus menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya.

"Pemain perlu terus mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan akan datang, tidak kira siapa lawan yang dihadapi.

"Saya harap mereka sedar dengan kehendak ini, ia adalah penting untuk persiapan menjelang saingan Piala AFF Suzuki pada penghujung tahun ini. Pemain perlu teruskan berlatih dengan kesungguhan tinggi," kata Tengku Abdullah, yang mengulas keputusan positif pasukan bimbingan Datuk K.Rajagobal pada aksi minggu lalu.

0 comments: