Tuesday, May 15, 2012

Nazmi janji yang terbaik di Portugal


 SEPANG - Bintang muda bola sepak negara Muhammad Nazmi Faiz Mansor berjanji akan melakukan yang terbaik pada sesi pemilihan kelab Divisyen 1 Portugal, S.C Beira-Mar, minggu ini.

Dia yang telah berlepas ke Portugal berkata, jika terpilih menyertai kelab tersebut, ia bakal menjadi inspirasi kepada sukan bola sepak negara.

Namun tegasnya, sesi pemilihan tersebut pastinya mencabar selain perlu mempamer kesemua kemahiran dimiliki termasuk tahap kecergasan yang tinggi.

"Saya sangat bersedia untuk melalui semua cabaran di sana dan akan berikan seratus-peratus pada sesi pemilihan. Ini juga satu penghormatan buat saya kerana terpilih.

"Pada masa ini saya juga sudah dapat mengatasi masalah tidak dapat beraksi sepanjang 90 minit selepas mendapat rawatan di Institut Sukan Negara baru-baru ini," kata Nazmi.

Sementara itu, bapa Nazmi, Mansor Mustapha yang mengiringi anaknya ke Portugal, Mansor Mustapha berharap Nazmi mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di negara Eropah sepanjang proses pemilihan.

"Saya harap pemilihan ini bakal membuka peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi di liga Eropah.

"Saya nampak peluang untuk terpilih ada, cuma Nazmi perlu lebih kuat menghadapi cabaran di sana kerana proses pemilihan lebih sukar," kata Mansor.

********************

0 comments: