Tuesday, May 8, 2012

HOKI : malaysia jumpa India di Separuh Akhir

MELAKA - Skuad hoki negara mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mudah membenam Jepun 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Kejohanan Piala Remaja Asia 2012 di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini, semalam.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu selepas membelasah Iran 6-1 dan Korea Selatan 6-3, membolehkan skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj bertemu naib juara Kumpulan B, India dalam saingan separuh akhir Khamis ini.

Dalam perlawanan separuh akhir yang lain juara Kumpulan B, Pakistan akan berdepan naib juara Kumpulan A, Korea Selatan.

Aksi skuad 2013 negara dibantu oleh kehadiran kira-kira 5,000 penyokong mengibarkan Jalur Gemilang dan paluan gendang nyata menyemarakkan semangat pemain negara.

Di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan pemain negara mempamerkan aksi paling ampuh berdepan dengan semangat kental pemain negara matahari terbit itu.

Begitupun, skuad Malaysia dikejutkan dengan jaringan seawal minit keempat apabila pemain Jepun, Suguru Hoshi mudah menolak masuk gol pembukaan menewaskan penjaga gol, Mohammad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.

Tersentak dengan jaringan awal itu skuad 2013 negara terus menggandakan asakan menerusi dua pukulan sudut penalti yang diperolehi pada minit kesembilan dan ke-13, namun gagal disudahi dengan jaringan penyamaan.

Namun, peluang hadir pada minit ke-14 apabila ketua pasukan hoki negara, Muhammad Noor Faeez Ibrahim mudah menolak masuk pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol Jepun, Kusano Daisuke bagi mengikat kedudukan 1-1.

Jaringan penyamaan itu menjadikan permainan semakin rancak dengan serangan bertali arus di atur kedua-dua pasukan namun kedudukan seri 1-1 menamatkan saingan separuh masa pertama.

Pada minit ke-46, Malaysia mempunyai peluang untuk mencipta jaringan, namun pukulan kencang Rosli Muhamad Ramadhan sekadar mengenai tiang gol sebelah kiri ketika penjaga gol Jepun sudah tertewas ketika itu.

Bagaimanapun, Jepun memperolehi jaringan kedua pada minit ke-49 melalui pukulan sudut penalti tetapi dibatalkan pengadil.

Pada minit ke-57, Malaysia memecah kebuntuan apabila memperoleh gol kedua jaringan Mohamad Syamin Mohd. Yusof menerusi tolakan mudah dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan.

Gol ketiga skuad negara dijaringkan oleh Faizal Saari tiga minit sebelum tamat.

Sementara itu, dalam perlawanan terdahulu, Pakistan muncul juara Kumpulan B selepas membelasah Sri Lanka 14-0 manakala India muncul naib juara selepas menewaskan China 2-1.

Kedua pasukan terikat dengan tujuh mata selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan, namun Pakistan mempunyai kelebihan jaringan berbanding India untuk muncul juara Kumpulan B.

0 comments: