Thursday, May 3, 2012

Sime Darby Impi Juara




GOMBAK - "Alang-alang sudah ke final, kami mahu menjulang Piala FA. Kami tidak akan lepaskan peluang ini,".

Itu ikrar jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria selepas kejutan pasukannya mara ke perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan pada 19 Mei ini.

Pasukan berstatus kelab yang beraksi dalam Liga Perdana itu melakar sejarah muncul kelab pertama ke final Piala FA selepas menang 2-1 secara agregat ke atas juara bertahan, Terengganu.

Menjelang perlawanan akhir 19 Mei ini, Ismail mengidamkan satu lagi kejutan, iaitu menjulang trofi Piala FA.

Biarpun awal-awal lagi ramai melihat sukar Sime Darby menyaingi kehebatan Kelantan, Ismail tetap optimis dan tidak mahu langkahan ke perlawanan akhir berakhir tanpa sebarang kejayaan.

"Kita sudah ke final, jadi alang-alang sudah melangkah ke tahap ini, kami mahukan kejuaraan.

"Saya mahu semua pemain mencuba yang terbaik walaupun sedar Kelantan sebuah pasukan yang bagus dan berada pada tangga yang baik dalam Liga Super," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Disiplin dan sikap positif merupakan faktor yang membantu kejayaan Sime Darby mengatasi juara bertahan, Terengganu dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir.

Selepas mengejutkan Terengganu 2-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Sime Darby mengikat skuad Mat Zan Mat Aris tanpa jaringan pada pertembungan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Keputusan itu membolehkan Sime Darby ke final dengan agregat 2-1.

Ismail bersyukur dengan kejayaan yang tidak diduga itu walaupun tiada siapa meletakkan harapan untuk sebuah pasukan yang baru ditubuhkan dua tahun lalu, mara ke final.

"Pemain mengikut apa yang saya arahkan dengan mereka cukup berdisiplin setiap masa, terutama ketika bertahan.

"Pemain juga menampilkan perwatakan yang cukup kuat mahu menang sehingga penghujung perlawanan. Inilah yang membawa kami mencipta kejayaan bersejarah ini," katanya.

0 comments: