Wednesday, January 11, 2012

Tiada hasrat tersenarai ke Piala Thomas

KUALA LUMPUR - Bekas jaguh perseorangan negara, Wong Choong Hann meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melupakan hasrat untuk menyelit namanya dalam skuad Piala Thomas yang bakal mengharungi pusingan kelayakkan di Macau bulan depan atau peringkat akhir di China Mei ini.

Naib juara Kejohanan Dunia 2003 itu merasakan sudah tiba masanya barisan pemain muda diberi peluang menimba pengalaman beraksi dalam kejohanan berpasukan berprestij itu.

Pada usia 35 tahun, Choong Hann yang menghuni ranking ke-43 dunia, masih merupakan pemain perseorangan ketiga terbaik negara di belakang Datuk Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim.

"Saya sudah beraksi dalam tujuh Piala Thomas. Kalau boleh, saya mahu terus beraksi untuk Malaysia.

"Dua tahun lalu, saya tidak keberatan untuk kembali selepas melihat ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Namun tidak kali ini. Ini kerana fizikal saya tidak mengizinkan. Lagi pun, saya fikir sudah sampai masanya untuk pemain junior dan pelapis mengambil alih tugas ini. Berilah pendedahan kepada (Liew) Daren, Mohd. Arif (Latif).

"Menang kalah tidak penting kerana pengalaman yang diraih tidak ternilai dan akan mematangkan mereka," katanya yang beraksi dalam pusingan kelayakkan Terbuka Malaysia semalam.

Kenyataan Choong Hann itu bagaimanapun tidak menampakkan sebarang petanda sama ada Daren dan Mohd. Arif sedia menggalas tugas bermain selaku perseorangan kedua dan ketiga.

Semalam, Mohd. Arif gagal mara ke pusingan pertama, dengan Choong Hann sendiri menjadi pemusnah kepada pemain yang 12 tahun lebih muda dengan kemenangan 22-24, 21-17, 21-14.

Daren pula terpaksa berhempas pulas bertarung tiga set sebelum menewaskan dua lawannya, Gurusaidutt R. M. V. dari India dan Hsueh Hsuan Yi dari Taiwan.

Begitu pun, cabaran Daren dijangka tamat hari ini apabila dipertemukan dengan Chong Wei.

Choong Hann, yang kini beraksi sebagai pemain bebas selepas meninggalkan BAM, membuktikan yang dirinya masih mampu beraksi pada tahap terbaik menerusi dua kemenangan di pusingan kelayakkan semalam.

Terdahulu, dia mudah menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-14.

Choon Hann dijadual bertemu pemain No.22 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian hari ini.

0 comments: