Thursday, January 5, 2012

Nasib Safee Sali Kian Parah

KUALA LUMPUR - Masa depan Safee Sali di Indonesia semakin meruncing apabila beberapa kelab dalam Liga Super Indonesia (ISL) termasuk Pelita Jaya berdepan kemungkinan diharamkan jika enggan menyertai saingan Liga Premier Indonesia (IPL).

Ini disahkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, mengikut maklumat terkini yang beliau peroleh daripada seorang exco Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), kelab-kelab ISL tersebut diberikan tempoh dua minggu mulai 28 Disember lalu untuk beraksi dalam IPL.

"Menurut pemimpin berkenaan, beberapa kelab ISL akan diharamkan daripada beraksi oleh badan induk bola sepak negara itu jika tidak mahu bergabung dalam IPL dalam tempoh yang diberikan.

"Biarpun difahamkan kemungkinan akan diadakan kongres kira-kira sebulan lagi oleh lebih tiga perempat badan gabungan PSSI untuk mengadakan usul undi tidak percaya Djohar Arifin (Ketua Umum PSSI), itu kita fikirkan kemudian.

"Apa yang mustahak, FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa ) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) telah mengiktiraf keputusan yang diberikan oleh PSSI mengenai status ISL.

"Jadi, ISL memang akan berdepan pengharaman tidak lama lagi dan Safee memang berdepan kemungkinan tidak boleh bermain dengan skuad negara jika kelab diwakilinya diharamkan oleh PSSI, '' katanya ketika ditemui selepas sidang media Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jelas Hamidin, dia telah menghubungi Safee dan meminta pemain berusia 27 tahun itu memikirkan semasak-masaknya sama ada mahu menyambung kontrak di Pelita Jaya atau mencari haluan baru bagi memastikan masa depannya bersama skuad negara tidak terjejas.

"Mengenai kontrak, Safee, mengakui dia ada dihubungi oleh pegawai tertinggi Pelita Jaya yang sedia menawarkan kontrak selama dua tahun, namun terpulang padanya untuk membuat keputusan.

"Safee dijangka pulang ke tanah air bulan ini, mungkin seminggu atau dua minggu lagi dan akan berjumpa kami di FAM untuk memperhalusi masalah ini supaya dapat mencari keputusan terbaik masa depannya, " katanya.

Jelas Hamidin, FAM prihatin dan sedia membantu Safee jika penyerang kebangsaan itu membuat keputusan untuk kembali ke tanah air dan beraksi dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia.

"Isu sama ada dia dapat didaftarkan dalam saingan Liga Malaysia kerana tarikh pendaftaran telah ditutup, itu adalah persoalan kedua.

"Apa yang penting kita mahu menyelamatkan karier bola sepak Safee bersama skuad negara.

"Saya boleh membawa perkara itu untuk diputuskan dalam mesyuarat exco FAM dan pada yang sama merayu kepada FIFA mengenai urusan ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) Safee, " ujarnya.

0 comments: