Tuesday, January 17, 2012

Selangor Hormat Felda United


ASRARUDDIN (jersi merah) antara tonggak yang menjadi sandaran Selangor pada aksi menentang Felda United hari ini.




ADA sesuatu yang bermain di kotak hati pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjelang pertemuan menentang Felda United bagi aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka petang ini.

Bukan aksi bermain sebelah petang yang merunsingkan beliau, sebaliknya ‘muslihat’ yang bakal diterjemahkan pengendali The Settlers, E. Elavarasan lebih menjadi agenda utama Irfan.

Menurut Irfan, beliau yakin kesebelasan pemain utamanya tidak berdepan masalah beraksi pada waktu petang kerana pengalaman itu sudah diasimilasikan pemain dalam beberapa perlawanan pra-musim sebelum ini.

Begitupun katanya, sikap terlalu yakin barisan pemain Gergasi Merah dikhuatiri ‘makan tuan’ ketika perlawanan itu nanti, justeru beliau mahu anak buahnya tidak mengambil mudah cabaran pasukan lawan yang pastinya bagaikan ‘harimau terluka’ gara-gara dibelasah ‘bekas majikan’ Irfan, Terengganu dengan keputusan 0-3 sebelum ini.

“Saya tidak anggap beraksi di sebelah petang merupakan masalah utama kami, sebaliknya lebih berwaspada dengan ancaman Felda United yang pastinya lebih garang setelah dimalukan Terengganu.

“Justeru, saya harap pemain Selangor dapat memanfaatkan ‘kemurungan’ Felda United dan berterusan mencatatkan kemenangan bermakna,” katanya kepada Kosmo!

Irfan dijangka mengekalkan kesebelasan utamanya dalam dua perlawanan sebelum ini apabila penjaga gol, Norazlan Razali dijangka menggalas tugas sebagai penjaga gawang utama, manakala Ramez Dayoub, Nasriq Baharom dan P. Gunalan dijangka mengemudi benteng pertahanan Merah Kuning.

Barisan tengah Gergasi Merah pula besar kemungkinan dijana oleh arkitek berbakat, Safiq Rahim bersama Amirulhadi Zainal dan Azidan Sarudin, manakala kapten, Amri Yahyah dan K. Soley dijangka mengetuai jentera serangan Selangor.

Ketika ditanya mengenai pemain import ‘sakit’, Lelo Mbele yang mungkin terpaksa digugurkan gara-gara kurang cergas pada perlawanan sebelum ini, Irfan begitupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

0 comments: