Tuesday, January 3, 2012

Kim Swee Utamakan Kecergasan


KIM SWEE (kanan) mahukan semua pemainnya berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang saingan Liga Singapura, Februari depan.


NAMPAK gayanya, waktu 'santai' skuad Harimau Muda telah pun berakhir sebaik kembali menjalani latihan seperti biasa di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bermula hari ini.

Selepas berehat untuk tempoh yang agak lama sebaik selesai menjalani siri perlawanan persahabatan di bumi Australia awal bulan lalu, sudah tentu pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee kembali memfokuskan tahap kecergasan pemainnya yang telah 'bercuti panjang' sebelum ini.

Menurut beliau, ia sesuatu yang normal kepada mana-mana pemain yang dilihat sedikit 'berkarat' kerana sukar mengekalkan kecergasan sebaik berehat untuk tempoh yang agak lama.

"Namun, ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan memandangkan kita mempunyai masa yang mencukupi sebelum saingan Liga Singapura (Liga-S) yang bermula Februari depan.

"Justeru, tugas pertama saya nanti sudah tentu memberikan penekanan terhadap aspek kecergasan pemain sebaik menjalani latihan esok (hari ini)," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kim Swee berkata, kesemua 29 pemain termasuk Izwan Solahuddin telah dipanggil semula menjalani latihan kali ini.

Katanya, selain menyasarkan kedudukan lima pasukan terbaik bagi aksi Liga-S, beliau juga mahu kesemua pemainnya bersedia menempuh baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia selain pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 22 tahun yang bakal berlangsung Jun depan.

Malah, Kim Swee juga mahu pemainnya mempunyai mental yang cukup kuat bagi mengharungi mana-mana perlawanan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, setiap pemain harus mengekalkan fokus kepada sasaran jangka masa panjang termasuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar (2013) dan juga Sukan Asia di Korea Selatan pada 2014, selain tidak mengambil mudah cabaran mana-mana pasukan selepas ini.

"Sudah tentu, mana-mana pasukan, terutamanya dari Asia Tenggara kini bersemangat untuk mengalahkan kita selepas meraih pingat emas temasya Sukan SEA baru-baru ini.

"Jadi, saya menasihatkan pemain supaya tidak mudah tunduk dengan tekanan dalam mana-mana perlawanan antarabangsa, justeru mental pemain kena jaga," katanya.

Selain pemain lama seperti Mahali Jasuli, Izzaq Farris Ramlan, Mohamad Fadhli Mohd. Shas,Wan Zack Haikal Wan Nor, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, beberapa muka baharu juga mendapat kepercayaan Kim Swee kali ini bagi memberikan cabaran dalam saingan Liga-S termasuklah V. Kavichielvan, Mohd. Azizan Nordin, Nur Areef Kamaruddin dan Mohd. Firdaus Muhammad.

0 comments: