Monday, March 19, 2012

Selangor Waspada Ancaman Lawan

AMIRULHADI (kiri) turut mencatat nama sebagai penjaring ketika membantu Selangor menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam saingan Liga Super malam kelmarin.

SEMANGAT juang mana-mana pasukan setiap kali berdepan Selangor sememangnya 'lain macam'.

Disebabkan itu, pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim sentiasa mengingatkan pemain skuad Gergasi Merah supaya sentiasa berwaspada dalam mana-mana perlawanan terutamanya ketika berdepan pasukan bukan pilihan selepas ini.

Kejayaan membenam cabaran 'adik', Kuala Lumpur dengan keputusan 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin juga disifatkan beliau hadir tepat pada masanya bagi memulihkan semula moral pemain yang masih sukar melupakan nestapa ditunjukkan jalan keluar oleh Johor FC pada pusingan kedua Piala FA baru-baru ini.

"Ini adalah sesuatu yang normal kerana reputasi Selangor cukup besar dalam aksi tempatan, sama seperti Real Madrid dan Manchester United di pentas Eropah.

"Kesungguhan pasukan lawan mahu menewaskan Selangor terbukti berdasarkan beberapa perlawanan sebelum ini apabila pasukan kami tewas kepada pasukan yang berada di kelompok bawahan liga seperti PKNS, Felda United dan juga Kedah.

"Malah ketika mengendalikan Terengganu sebelum ini, saya juga cukup bersemangat jika dapat menewaskan Selangor, jadi sentimen ini perlu bijak dikendalikan pemain Merah Kuning jika kita berhasrat untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perlawanan kelmarin, gol jaringan Bosko Balaban, P. Gunalan dan Amirulhadi Zainal berjaya membantu Gergasi Merah mengutip tiga mata berharga sekali gus melonjak ke tangga keenam liga dengan 15 mata.

Sementara skuad ibu kota kendalian Razip Ismail pula kekal terperosok di tangga tercorot liga apabila sekadar mengutip satu mata setakat ini.

Menurut Irfan, dia berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya malam kelmarin dan mahu ia diteruskan ketika berkunjung ke Stadium Jalan Besar menentang Lions XII FC, malam esok jika berhasrat mahu kembali memberikan saingan dalam Liga Super.

"Dalam perlawanan semalam (kelmarin), saya terpaksa melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua bagi merancakkan permainan, dan percaturan saya berbaloi apabila akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan akan mengekalkan kesebelasan pemain yang sama ketika berdepan Lions XII nanti, jika ada rombakan pun saya mungkin hanya menukar satu-dua pemain," katanya.

0 comments: