Thursday, March 15, 2012

FAM tuntut FIFA minta maaf




PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya secara rasmi menuntut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meminta maaf berhubung tindakan bekas ketua pegawai keselamatannya, Chris Eaton yang mendakwa pegawai FAM terbabit mengatur perlawanan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, surat berkenaan sudah dihantar menerusi penghantaran kurier, faks dan e-mel, kelmarin.
“Surat yang ditandatangani sendiri Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) dihantar kepada FIFA dengan tujuan meminta mereka memohon maaf di atas tuduhan yang dilemparkan Eaton itu.
“Kami beri masa dalam seminggu dua ini untuk FIFA memberi maklum balas terhadap surat berkenaan,” kata Azzuddin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi semalam.

Eaton sebelum ini membuat kenyataan kepada sebuah akhbar di Singapura pada 16 Februari lalu bahawa terdapat pegawai FAM terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan dan sehari kemudian dia terus meletak jawatan.

Namun selepas didesak memberi penjelasan, dia akhirnya hadir ke Wisma FAM pada 5 Mac lalu tetapi pada pertemuan itu, Eaton terus kekal berahsia tanpa mahu mendedahkan siapa pegawai FAM yang dimaksudkan itu.

Ditanya apakah tindakan lanjut FAM jika FIFA tidak memberi reaksi balas terhadap surat berkenaan, Azzuddin berkata: “Kita lihat dahulu apa maklum balas FIFA. Terlalu awal untuk beritahu apa tindakan susulan.”

0 comments: