Friday, March 16, 2012

Harimau Muda kini fokus Liga S





ASPEK kecergasan pemain akan menjadi agenda utama jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Albirex Niigata dalam saingan Liga Singapura (Liga S), Ahad ini.

Ia ekoran Kim Swee hanya mempunyai tempoh tidak sampai tiga hari bagi membuat persiapan rapi menjelang perlawanan tersebut selepas skuad bimbingannya itu tunduk 0-3 kepada Syria dalam aksi penutup tirai Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Raja Abdul- lah, Amman, Jordan malam kelmarin.

Meskipun masa dilihat agak singkat, Kim Swee terpaksa memikirkan percaturan ‘luar biasa’ dengan kadar segera bagi memastikan momentum kemenangan skuad Harimau Muda dalam saingan Liga S dapat diterus- kan selepas berjaya mengutip enam mata maksimum setakat ini.

Sebelum ini, Harimau Muda menewaskan Gombak United dan Tanjung Pagar United, masing-masing dengan keputusan 2-0 dan 3-0.

Menurut Kim Swee, pertemuan menentang Albirex Niigata merupakan ujian yang cukup penting bagi menilai kemampuan sebenar anak-anak buahnya.

“Saya sempat menyaksikan persembahan Albirex ketika menewaskan Woodlands sebelum ini dan mereka merupakan pasukan yang hebat.

“Justeru, saya mahu barisan pertahanan kami memberikan tumpuan penuh kepada dua penyerang Albirex (Yasuhiro Yamakoshi dan Toshikazu Soya) pada perlawanan itu nanti,” kata Kim Swee baru-baru ini.

Terdahulu, dalam aksi kelmarin, dua gol Syria diledak oleh Mardek Mardkian pada minit ke- 48 dan ke-67 sebelum Omar Al Suma melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Meskipun memberikan saingan pada awal permainan, corak pantas skuad Olimpik negara dilihat mulai goyah setelah Mohd. Fadhli Shas diperintah keluar padang pada minit ke-53 oleh pengadil dari Iran, Mohsen Torki gara-gara dikatakan sengaja memijak Mohamad Daas.

Disebabkan itu, Kim Swee terpaksa ‘mengorbankan’ arkitek berbakat, Nazmi Faiz Mansor untuk digantikan dengan Shahrul Saad bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd. Fadhli.

Namun, ia masih belum cukup untuk mengekang cabaran skuad Hitham Jatal yang begitupun sekadar menempah slot playoff setelah peneraju kumpulan, Jepun mudah membenam cabaran Bahrain dengan keputusan 2-0 dalam satu lagi aksi kumpulan di Tokyo kelmarin.

Dengan keputusan itu, skuad Olimpik negara sekadar menamatkan saingan di tempat tercorot tanpa sebarang mata, manakala Jepun (15 mata), Syria (12 mata) dan Bahrain mengutip sembilan mata.

Dalam pada itu, Kim Swee turut berharap kecederaan pemain tengah, Gary Steven Robat pulih segera supaya dapat diturunkan apabila menentang Albirex nanti.

“Walaupun khidmat Gary masih belum pasti diturunkan, kami tetap berazam untuk mencatatkan kemenangan ketika menentang Albirex nanti,” katanya.

0 comments: