Monday, March 19, 2012

Harimau Muda kempunan

PEMAIN Harimau Muda, Gary Robbat (kiri) berebut bola dengan pemain Albirex Niigata FC, Keisuke Matsui pada perlawanan Liga Singapura di Stadium Yishun, malam tadi.

Hajat lakar kemenangan ketiga dalam saingan Liga S tak kesampaian

MISI Harimau Muda untuk melakar kemenangan ketiga dalam saingan Liga Singapura (Liga S) tidak kesampaian selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam pertembungan menentang Albirex Niigata di Stadium Yishun, Singapura, malam tadi.

Walaupun menguasai perlawanan namun keberkesanan barisan serangan yang diterajui Wan Zack Haikal Wan Nor bergandingan bersama Syahrul Azwani Ibrahim buntu mencipta gol biarpun memiliki beberapa peluang untuk merungkai jaringan sebaliknya Albirex Niigata yang hadir selaku pasukan pelawat mencemaskan gawang gol Harimau Muda seawal minit kelapan menerusi tandukan Toshikazu Sova yang sempat ditangkap kemas penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Harimau Muda menyusun strategi menerusi gerakan solo Wan Zack Haikal pada minit ke-11 selepas bijak memperdaya dua pertahanan Albirex Niigata namun bola rembatan leret dari luar kotak penalti begitu lemah mudah buat penjaga gol, Takuma Ito menangkap kemas.

Wan Zack Haizal terus bertindak mengancam kubu Albirex Niigata dan bola rembatan deras dari jarak 25 meter pada minit ke-16 menyebabkan Ito terpaksa merebahkan badan untuk menepis bola namun Nazirul Naim Che Hashim agak jauh untuk menyambar bola ketika pintu gol sudah terbuka luas.

Albirex Niigata yang sering diasak oleh Harimau Muda kembali mengatur serangan dan pada minit ke-39 percubaan deras Musashi Okuyama dari luar kotak penalti tepat ke arah gol namun Izham Tarmizi sempat menepis dan pantas menangkap bola.

Bersambung babak kedua, jurulatih Ong Kim Swee melakukan rombakan dengan memasukkan D Saarvindran dan mengeluarkan Nazirul Naim. Saarvindran menjadi duri dalam daging buat Albirex Niigata apabila minit ke-61 larian pantasnya sukar dibendung pertahanan Albirex Niigata namun bola hantaran pemain itu kepada Irfan yang bertindak merembat bola deras dari luar kotak penalti terkena pertahanan pasukan pelawat ketika bola tepat menuju ke arah pintu gol.

0 comments: