Saturday, December 17, 2011

Kim Swee : Harimau Muda Hayati Ilmu di Bumi Australia

BARISAN pemain skuad Harimau Muda harus sentiasa memiliki sikap untuk meningkatkan gaya permainan masing-masing bagi menjamin keyakinan diri.


“HAYATI segala ilmu yang diperoleh di bumi Australia bagi membantu mematangkan gaya permainan masing- masing.”

Demikian peringatan jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) kepada anak-anak buahnya yang ketika ini sedang berada di Australia bagi mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan di sana.

Menurut Kim Swee, mereka (pemain) sendiri akan rugi jika tidak memanfaatkan sepenuhnya segala pengalaman serta ilmu yang diperoleh daripada tiga aksi persahabatan di bumi kanggaru itu.

Meskipun perlawanan persahabatan itu sekadar dilabel sebagai aksi pemanas badan sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 zon Asia peringkat Kumpulan C, namun Kim Swee tetap mahukan anak-anak buahnya memandang serius dengan apa yang mereka lalui di negara tersebut.

“Jika mahu berjaya, pemain perlu bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baharu selain menggunakan setiap peluang yang ada bagi meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.

Menurutnya, tiada ruang buat pemainnya untuk berasa selesa kerana banyak lagi cabaran lebih getir perlu dihadapi selepas ini.

Harimau Muda akan beraksi dalam Liga Singapura (Liga S) yang bermula pada Februari tahun depan.

Justeru katanya, amat penting buat semua pemain untuk mengekalkan prestasi masing-masing pada tahap terbaik.

Sejak berada di Australia, skuad Harimau Muda sudah mengharungi dua aksi persahabatan yang menyaksikan mereka menang 3-0 pada perlawanan pertama menentang kelab Sydney FC, Selasa lalu.

Begitupun, anak-anak buah Kim Swee itu tewas 0-1 kepada Central South Mariner pada perlawanan kedua.

Mereka akan sekali lagi menentang Central South Mariner pada aksi ketiga dan terakhir hari ini sebelum pulang ke tanah air keesokan harinya.

“Pemain-pemain menjalani sesi latihan mengikut persiapan biasa, cuma kami rehat semalam (kelmarin) sele- pas menentang Central South Mariner.

“Apabila mengharungi permainan yang bermutu tinggi seperti ini, saya mahu semua pemain mengambil peluang dan memanfaatkan pengalaman sebelum beraksi menentang Bahrain pada aksi kelayakan Olimpik kelak.

“Namun saya percaya, cabaran sebenar bakal menanti pasukan kami apabila beraksi di Liga Singapura pada Februari depan serta Kejohanan AFC bawah 22 tahun pada Jun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Sydney semalam.

Jelasnya, beliau tidak mahu meletakkan sebarang harapan dan tekanan kepada pemain pada aksi perlawanan persahabatan itu, sebaliknya memberi tumpuan untuk menilai kemampuan semua pemain.

Tambahnya, apa yang lebih mustahak, setiap pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama nanti dapat mengekalkan rentak dan corak permainan yang telah diterapkan.

0 comments: