Thursday, December 29, 2011

Dollah Mahu Pulihkan Skuad Tok Gajah

KUALA LUMPUR - Mahu pulihkan maruah yang tercalar! Itu harapan jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh yang meletakkan sasaran mahu membawa Pahang kembali ke kancah saingan Liga Super pada musim 2013.

Biarpun tidak dibarisi pemain berstatus bintang, Dollah melaungkan amaran kepada pencabar Liga Perdana lain bahawa skuad pada tahun ini antara yang terbaik dikendalikannya sepanjang bersama Pahang tiga tahun lalu.

Tambah bekas pemain Pahang dan Selangor pada era 90-an itu, lima pemain yang dibawa masuk dari pasukan Shahzan Muda bakal menjadi senjata rahsia Pahang dalam usaha memburu kejuaraan Liga Perdana pada musim ini.

"Selepas gagal mempertahankan kedudukan dalam Liga Super musim lalu, saya mahu memulihkan kembali maruah pasukan Pahang yang tercalar dengan menjadi antara pencabar utama kejuaraan Liga Perdana.

"Walaupun tiada pemain ternama dalam pasukan ini, tetapi dengan beberapa muka baru yang dibawa masuk terutama lima bekas pemain Shahzan Muda, saya lihat skuad ini menampakkan perubahan besar dan paling mantap sepanjang saya jadi jurulatih Pahang.

"Kehadiran lima pemain Shahzan banyak memberikan peningkatan dalam pasukan yang saya sedang bentuk sekarang dan kehebatan mereka terbukti dengan membawa Pahang melangkah ke Piala Emas Raja-Raja.

"Selain mereka berlima, enam lagi pemain turut membantu Pahang dalam saingan Piala Emas Raja-Raja yang menjadikan 11 pemain semuanya, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Lima pemain Shahzan Muda yang dimaksudkan ialah Mohd. Fauzi Roslan dan Mohd. Hafiz Kamal yang bermain pada posisi penyerang selain Khairul Azwan Awang Long di bahagian pertahanan.

Manakala dua lagi pemain, Abdul Wafiy Abdul Ghafar dan Mohd. Hazuan Mohd. Daud bermain di bahagian tengah.

Menurut Dollah, walaupun sedar laluan berliku yang akan ditempuh pada musim ini dengan kehadiran 'Manchester City' Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilimpahi ramai pemain bintang selain satu lagi pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC, dia tidak gentar.

"ATM melakukan persiapan agak rapi dengan membawa masuk ramai pemain berstatus bintang tetapi saya yakin kami mampu bagi saingan," katanya.

Bagi memperkuatkan cabaran Pahang, Dollah berharap khidmat seorang lagi pemain import, Sergey Ivanov dari Rusia bakal mendapat pelepasan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun sedar ia kelihatan tipis selepas FAM bertegas menunggu April depan bagi pendaftaran kali kedua.

"Sebenarnya status Ivanov terdapat sedikit kekeliruan kerana dia memang beraksi dalam Divisyen Dua (Rusia) tetapi dipinjamkan ke Divisyen Tiga buat seketika.

"Saya optimis FAM akan benarkan Ivanov bermain selepas meneliti rayuan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), " katanya, yang akan membawa skuad Tok Gajah berkampung ke Kuala Lumpur selama beberapa hari bagi menjalani latihan mulai esok.

0 comments: