Sunday, December 18, 2011

Hoki: Ranking skuad negara meningkat

SKUAD hoki negara berjaya memperbaiki kedudukan ranking dunia apabila melonjak satu anak tangga daripada kedudukan ke-14 kepada kedudukan ke-13 dalam senarai yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagi hujung tahun 2011 dan permulaan 2012.

Kali terakhir Malaysia berada di posisi yang sama ialah pada 2005 sebelum mengalami kemerosotan prestasi dengan silih berganti menghuni tangga ke-14 dan ke-15 dalam masa enam tahun kemudian.

Pencapaian terbaik skuad hoki negara dalam ranking dunia sebelum ini ialah menduduki tempat keempat pada tahun 1975, kelapan (2002), kesepuluh (2003) dan kesebelas (2004).

Jurulatih negara, Tai Beng Hai menjelaskan, kedudukan ranking ke-13 dunia ini adalah hasil daripada prestasi yang memberangsangkan anak-anak buahnya termasuk kejayaan memenangi pingat perak di temasya Sukan Asia 2010 dan juga pingat gangsa di Trofi Juara-Juara Asia 2011, September lalu.

"Buat kali pertama sejak beberapa tahun yang lalu, kita akhirnya berjaya memperbaiki ranking ke posisi 13 daripada 14," kata Beng Hai.

"Malah, buat kali pertama juga kita berjaya mengumpul lebih seribu mata dalam sistem kutipan mata yang diperkenalkan FIH.

"Jadi bagi saya, ini adalah bukti bahawa skuad hoki kita telah banyak meningkat dan berada dalam prestasi terbaik sejak dua tahun lepas sehingga berjaya memperbaiki kedudukan ranking dunia," jelasnya lagi ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Kejohanan Cabaran Juara-Juara I di Kuala Lumpur, semalam.

Pada kejohanan Cabaran Juara-Juara I yang berlangsung di Afrika Selatan baru-baru ini, Malaysia berjaya mencapai sasaran menduduki tempat kelima.

Ranking baharu dunia dikeluarkan oleh FIH selepas beberapa kejohanan utama antarabangsa, iaitu kira-kira tiga atau empat kali setahun sejak diperkenalkan pada 2003.

0 comments: