Tuesday, December 20, 2011

Harimau Muda tunjuk taring

 
THAMIL ARASU turut mencipta nama sebagai penjaring pada aksi Malaysia menentang Central South Mariner di Sydney, Australia semalam. Malaysia menang 4-1. 


BAGAIKAN harimau yang kelaparan.Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan prestasi skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee yang tampil garang untuk membelasah Central South Mariner 4-1 pada perlawanan persahabatan terakhir mereka di bumi Australia semalam.

Tewas pada aksi kedua kepada pasukan yang sama di Sydney pada 14 Disember lalu nyata tidak mematahkan semangat skuad remaja negara itu, malah mereka tampil dengan rentak yang lebih bertenaga dan terancang.

Dua gol daripada Ahmad Hazwan Bakri dan satu gol masing-masingnya dijaringkan oleh Ahmad Fakri Saarani dan A. Thamil Arasu sudah cukup untuk membuktikan betapa mereka inginkan kemenangan sebelum kembali ke tanah air hari ini.

Kehadiran Mohd. Muslim Ahmad yang baru pulih daripada kecederaan betis turut memberikan impak kepada benteng pertahanan negara dalam mengekang asakan pasukan tuan rumah.

Bagi Kim Swee, dia merupakan individu paling gembira dengan kemenangan tersebut kerana ia dicapai dengan gaya yang sungguh memberangsangkan.

Menurutnya, semua pemain beraksi cemerlang dan mereka betul-betul mempergunakan kelebihan yang ada pada diri masing-masing.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi semua pemain. Barisan serangan pada hari ini (semalam) amat berjaya terutama Hazwan yang telah menjaringkan dua gol. Fakri dan Thamil juga tidak mengecewakan saya.

“Sebenarnya kami memiliki banyak peluang untuk menambah jaringan ketika menentang Central South Mariner pada babak kedua perlawanan namun nasib tidak menyebelahi kami.

“Saya sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh skuad ini. Ini menunjukkan satu keputusan sangat positif yang dilihat sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi Liga Singapura dan kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 22 tahun pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Sydney semalam.

Selain dua kejohanan penting itu, Kim Swee juga menegaskan beliau mahu membina satu pasukan yang lebih mantap untuk jangka masa panjang dalam menghadapi saingan temasya Sukan SEA 2013 Myanmar kelak.

“Sudah tentu kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap prestasi pemain muda ini untuk terus membina satu pasukan yang lebih kuat bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Dengan pendedahan perlawanan bermutu tinggi seperti ini, saya amat mengharapkan pemain dapat memanfaatkan segala pengalaman dan peluang untuk terus tampil dengan aksi terbaik dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menentang Bahrain pada tahun depan.

“Paling mustahak, mereka harus mengekalkan konsistensi dalam corak dan rentak permainan masing-masing,” katanya.

0 comments: