Friday, July 6, 2012

FAM bertindak pelik..!!!



HASRAT melihat skuad B-22 negara layak ke
pusingan akhir Piala Asia B-22 2013
menggantikan Myanmar yang melanggar
peraturan menurunkan pemain lebih umur
musnah gara-gara keengganan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan bantahan rasmi.

Malah, pendirian FAM itu
mungkin bakal memakan diri sendiri apabila
dikhabarkan jurulatih skuad B-22 negara, Ong
Kim Swee mahu meletak jawatan kerana
kecewa tidak mendapat sokongan majikan
sendiri. Namun Kim Swee yang dihubungi malam tadi,
enggan mengulas lanjut kerana masih bercuti.

Selepas tempoh 48 jam berakhir 7 petang
semalam, Setiausaha Agung FAM, Datuk
Azzuddin Ahmad mengesahkan sekretariatnya
tidak menghantar sebarang surat bantahan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Kami tidak boleh semata-mata membuat
bantahan menggunakan bukti-bukti daripada
pihak ketiga (media) atau laman-laman web.
Selepas meneliti senarai pendaftaran AFC,
kami dapati memang terdapat nama sama tetapi mereka individu berbeza. “Jadi FAM
tidak mempunyai bukti kukuh untuk membuat
bantahan.
Penjelasan lanjut akan diberikan
pada sidang media khas esok (hari ini),” kata
Azzuddin ketika dihubungi, semalam.

Perbandingan profil penyerang Myanmar,
Kaung Si Thu yang sebenarnya sudah berusia
25 tahun dalam laman web rasmi kelabnya,
Yangon United seperti disiarkan Berita Harian
semalam serta biodata umur sebenar kapten
Myanmar, Kyaw Zayar Win iaitu 24 tahun dalam laman web rasmi Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa (FIFA) nampaknya belum
cukup meyakinkan FAM.

Malah terbaru,
senarai pemain untuk aksi Piala Singapura
menemukan kelab Zayar Win, Kanbawza FC
bertemu Loyola Meralco Sparks di Singapura malam tadi, turut tertulis umur Zayar Win, 24
tahun.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex
Soosay turut menyatakan pihaknya sedia
melakukan siasatan andai menerima bantahan
FAM sambil menganggap isu penipuan umur
sebagai serius.

“Sesiapa yang langgar peraturan mesti dihukum. Kredibiliti
kejohanan bawah umur mesti dijaga dan AFC
tegas dalam perkara ini. Tapi semua kena ikut
prosedur. Jika ada bantahan, kita akan rujuk
ke Jawatankuasa Tatatertib AFC dan terpulang
kepada mereka melakukan bentuk siasatan,” jelas Soosay ketika dihubungi,
semalam.

Wednesday, July 4, 2012

Harimau Muda Gagal Raih Slot Automatik

Rozaimi Abdul Rahman (kiri) menjaringkan gol tunggal skuad negara menerusi penalti ketika menentang Myanmar pada Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Myanmar, malam tadi.

**********************

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak remaja negara memilih jalan sukar untuk layak secara automatik dan mungkin tidak dapat beraksi pada Piala Asia Bawah 22 tahun apabila tewas 1-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kelayakan kepada Myanmar, semalam.

Harapan untuk melihat skuad bimbingan Ong Kim Swee mara secara automatik bersama Korea Selatan disekat oleh Myanmar yang ternyata beraksi lebih baik di hadapan kira-kira 23,000 penonton sendiri di Stadium Pusat Latihan Remaja, Yangon.

Ini bermakna skuad Harimau Muda mempunyai tiga peluang yang amat tipis untuk turut mengiringi Korea Selatan dan Myanmar ke Piala Asia Bawah 22 tahun, pertama perlu menunggu perlawanan di antara Oman dan India dalam aksi terakhir Kumpulan A awal pagi ini.

Sekiranya kedua-dua pasukan, yang sekarang ini mengumpul tujuh mata mencatat keputusan seri, Malaysia sudah sebelah kaki menjadi pasukan ketiga terbaik untuk mengiringi juara dan naib juara ketujuh-tujuh kumpulan ke saingan akhir Piala Asia Bawah 22 tahun pada 2013.

Selepas melepasi peluang pertama ada satu lagi peluang perlu ditunggu iaitu aksi Kumpulan E melibatkan Australia, Jepun, Indonesia, Singapura, Macau dan Timor Leste. Jika pasukan tempat ketiga kumpulan ini gagal memungut mata mahupun jaringan melebihi daripada Malaysia, maka anak buah Kim Swee masih mampu ke temasya yang kali pertama diadakan itu.

Akhir sekali adalah menunggu sama ada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengambil tindakan ke atas tuan rumah yang dikatakan membariskan pemain melebihi had umur. Namun setakat ini belum ada kenyataan rasmi mahupun bantahan telah dibuat.

Berbalik kepada aksi malam tadi, Myanmar yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Park Seong Hwa di depan pada minit ke-33 selepas Kyi Lin melakukan hantaran pendek di hadapan pintu gol Malaysia dan mudah disudahkan Kaung Shi Tu menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Ketinggalan 0-1 menyaksikan pasukan kebangsaan cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua, namun keghairahan menyerang mengundang padah apabila Myanmar berjaya menambah gol kedua sekali lagi melalui Shi Tu pada minit ke-52.

Malaysia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-64 melalui pemain gantian Ahmad Hazwan Bakri bagaimanapun percubaan pertamanya berjaya ditepis penjaga gol, Kyaw Zin Pyho sebelum rembatan susulan pula tersasar keluar.

Selepas melakukan asakan bertubi-tubi dan gagal menemui sasaran Malaysia berjaya memperoleh sepakan penalti pada masa kecederaan dan ia berjaya disempurnakan oleh Rozaimi Abd. Rahman sebelum perlawanan tamat dengan keputusan Myanmar menang 2-1.

Keputusan lain menyaksikan Korea Selatan mengalahkan Vietnam 2-0, manakala Taiwan menang tipis ke atas Filipina 2-1. Korea Selatan muncul juara kumpulan dengan memungut 13 mata dan mengekalkan rekod bersih tidak pernah tewas dan seri sekali.

Begitu juga dengan Myanmar yang belum tewas kecuali seri sekali 0-0 ketika bertemu Korea Selatan Khamis lalu. Myanmar muncul pasukan kedua terbaik berkongsi mata dengan Korea Selatan namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Malaysia pula muncul pasukan ketiga terbaik dengan mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kali tewas. Sebelum ini pada aksi pembukaan 23 Jun lalu Malaysia tewas tipis 3-2 ketika bertemu Korea Selatan.

**********************



Sekian.