Wednesday, July 4, 2012

Harimau Muda Gagal Raih Slot Automatik

Rozaimi Abdul Rahman (kiri) menjaringkan gol tunggal skuad negara menerusi penalti ketika menentang Myanmar pada Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Myanmar, malam tadi.

**********************

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak remaja negara memilih jalan sukar untuk layak secara automatik dan mungkin tidak dapat beraksi pada Piala Asia Bawah 22 tahun apabila tewas 1-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kelayakan kepada Myanmar, semalam.

Harapan untuk melihat skuad bimbingan Ong Kim Swee mara secara automatik bersama Korea Selatan disekat oleh Myanmar yang ternyata beraksi lebih baik di hadapan kira-kira 23,000 penonton sendiri di Stadium Pusat Latihan Remaja, Yangon.

Ini bermakna skuad Harimau Muda mempunyai tiga peluang yang amat tipis untuk turut mengiringi Korea Selatan dan Myanmar ke Piala Asia Bawah 22 tahun, pertama perlu menunggu perlawanan di antara Oman dan India dalam aksi terakhir Kumpulan A awal pagi ini.

Sekiranya kedua-dua pasukan, yang sekarang ini mengumpul tujuh mata mencatat keputusan seri, Malaysia sudah sebelah kaki menjadi pasukan ketiga terbaik untuk mengiringi juara dan naib juara ketujuh-tujuh kumpulan ke saingan akhir Piala Asia Bawah 22 tahun pada 2013.

Selepas melepasi peluang pertama ada satu lagi peluang perlu ditunggu iaitu aksi Kumpulan E melibatkan Australia, Jepun, Indonesia, Singapura, Macau dan Timor Leste. Jika pasukan tempat ketiga kumpulan ini gagal memungut mata mahupun jaringan melebihi daripada Malaysia, maka anak buah Kim Swee masih mampu ke temasya yang kali pertama diadakan itu.

Akhir sekali adalah menunggu sama ada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengambil tindakan ke atas tuan rumah yang dikatakan membariskan pemain melebihi had umur. Namun setakat ini belum ada kenyataan rasmi mahupun bantahan telah dibuat.

Berbalik kepada aksi malam tadi, Myanmar yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Park Seong Hwa di depan pada minit ke-33 selepas Kyi Lin melakukan hantaran pendek di hadapan pintu gol Malaysia dan mudah disudahkan Kaung Shi Tu menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Ketinggalan 0-1 menyaksikan pasukan kebangsaan cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua, namun keghairahan menyerang mengundang padah apabila Myanmar berjaya menambah gol kedua sekali lagi melalui Shi Tu pada minit ke-52.

Malaysia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-64 melalui pemain gantian Ahmad Hazwan Bakri bagaimanapun percubaan pertamanya berjaya ditepis penjaga gol, Kyaw Zin Pyho sebelum rembatan susulan pula tersasar keluar.

Selepas melakukan asakan bertubi-tubi dan gagal menemui sasaran Malaysia berjaya memperoleh sepakan penalti pada masa kecederaan dan ia berjaya disempurnakan oleh Rozaimi Abd. Rahman sebelum perlawanan tamat dengan keputusan Myanmar menang 2-1.

Keputusan lain menyaksikan Korea Selatan mengalahkan Vietnam 2-0, manakala Taiwan menang tipis ke atas Filipina 2-1. Korea Selatan muncul juara kumpulan dengan memungut 13 mata dan mengekalkan rekod bersih tidak pernah tewas dan seri sekali.

Begitu juga dengan Myanmar yang belum tewas kecuali seri sekali 0-0 ketika bertemu Korea Selatan Khamis lalu. Myanmar muncul pasukan kedua terbaik berkongsi mata dengan Korea Selatan namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Malaysia pula muncul pasukan ketiga terbaik dengan mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kali tewas. Sebelum ini pada aksi pembukaan 23 Jun lalu Malaysia tewas tipis 3-2 ketika bertemu Korea Selatan.

**********************



Sekian.

0 comments: