Wednesday, April 4, 2012

Peluang Ariff Pasti Tiba -Kim Swee

ARIFF (tengah) tekun mendengar taklimat daripada jurulatih IBU sebelum memulakan sesi latihan di New Zealand kelmarin.


KEJAYAAN pemain muda negara, Muhd. Ariff Zulkifly memikat kelab New Zealand, Island Bay United mendapat reaksi positif pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee.

Menurut beliau, bakat yang ada pada pemain muda itu telah lama disedarinya walaupun Ariff pernah tercicir daripada skuad Harimau Muda B sebelum ini.

Begitupun katanya, masih terlalu awal untuk menyerap Ariff dalam skuad Harimau Muda memandangkan perjalanan pemain itu masih panjang.

"Sebagai jurulatih, saya sentiasa berbangga dengan kemampuan pemain muda negara yang berbakat termasuk Ariff.

"Peluang Ariff (menyertai) Harimau Muda pasti tiba suatu hari nanti, dengan syarat dia kekal berdisiplin dan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan lagi tahap permainannya selepas ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ariff yang sebelum ini dipanggil menjalani ujian percubaan bersama Akademi Bola Sepak Ole telah ditawarkan kontrak mewakili kelab Island Bay United (IBU).

Ternyata langkah berani Ariff yang juga bekas kapten skuad bawah 17 tahun negara berkelana ke New Zealand menjalani ujian percubaan bersama Ole membuahkan hasil apabila ditawar kontrak mewakili Island Bay untuk beraksi dalam Liga Perdana New Zealand Central.

Mengulas lanjut, Kim Swee menjelaskan bahawa kesungguhan yang dipamerkan pemain berusia 19 tahun itu membuktikan peluang ada di mana-mana walaupun gagal mendapat tempat dalam skuad Harimau Muda B sebelum ini.

"Persaingan merebut tempat dalam skuad muda negara sememangnya sengit kerana kita memiliki ramai pemain muda yang berbakat.

"Sebagai contoh, Khairul Fahmi (Che Mat) juga sebelum ini gagal mendapat tempat dalam skuad Harimau Muda. Kita lihat kejayaannya sekarang apabila muncul penjaga gol No. 1 negara.

"Jadi, saya percaya Ariff berada di landasan yang betul untuk memperkuatkan skuad muda negara suatu hari nanti, percayalah. Kita hanya perlu tunggu dan lihat," katanya.

Sementara itu, Ariff ketika dihubungi Kosmo! di New Zealand berkata, dia berazam untuk mempertingkatkan mutu permainannya sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Pemain skuad Piala Presiden Selangor itu kini bersedia untuk menggunakan pengalaman sepanjang beraksi di New Zealand demi membantu pasukan negara.

"Suatu penghormatan bagi saya sekiranya dapat menyarungkan jersi kebangsaan dan sudah tentu ia merupakan satu impian dan penghargaan besar apabila dapat bekerjasama dengan jurulatih, (Ong) Kim Swee.

"Saya berharap dapat beraksi dengan lebih baik bersama kelab dan pasukan kebangsaan sekiranya ditawarkan peluang," katanya.

Selain itu, Ariff juga mendapat perkhabaran gembira apabila ditawarkan peluang menjalani ujian selama dua hari bersama Liga Conference England, Luton Town FC pada 31 Mei depan.

"Saya belum pasti lagi sama ada akan menerima tawaran Luton itu kerana saya juga perlu memikirkan kos yang tinggi untuk ke sana," katanya yang mendapat tajaan Mister Potato sebanyak RM14,000 untuk ke New Zealand.

0 comments: