Wednesday, November 16, 2011

SUKAN SEA - Malaysia bolot 9 Emas

  
Noraseela Mohd. Khalid mengibarkan Jalur Gemilang selepas memenangi pingat emas dalam acara 400 meter berpagar Sukan SEA XXVI di Stadium Jakabaring, Palembang, semalam.


JAKARTA – Tiada lagi sasaran yang tersasar, sebaliknya beberapa acara luar jangkaan menyumbang pingat emas tidak diduga untuk membolehkan Malaysia menunai hasil paling banyak selepas lima hari Sukan SEA XXVI berlangsung dengan menggondol sembilan emas, semalam.

Ketika Sukan SEA berbaki tujuh hari lagi, kontinjen negara sudah hampir separuh menghambat sasaran 45 emas yang diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN), berterima kasih kepada renang yang akhirnya menamatkan kemarau emas dengan menggondol tiga kejuaraan menerusi Siow Yi Ting, Khoo Cai Lin dan Kevin Yeap.

Terjun juga tidak menghampakan apabila menjadi penyumbang emas Malaysia dengan menambah dua lagi semalam manakala olahraga terhutang budi dengan dua atlet veteran, Noraseela Mohd. Khalid dan Roslinda Samsu.

Dua lagi emas Malaysia dihadiahkan ratu menembak, Nur Suryani Mohamed Taibi dan jaguh memanah, Cheng Chu Sian.

Di kolam renang, Cai Lin menebus kekecewaan gagal mempertahankan emas acara kegemarannya 400m gaya bebas dengan merampas gelaran 800m.

Bagi Yi Ting pula, kempen untuk mempertahankan tiga emas yang dimenangi di Laos 2009 bermula baik apabila mengekalkan kejuaraan 100m kuak dada wanita dengan masa 1:10.55s, mengalahkan rakan sepasukan sendiri, perenang remaja berusia 16 tahun, Christina Loh (1:10.57s).

Tiada dalam senarai sasaran, Kevin Yeap mengejutkan banyak pihak apabila merangkul emas bonus 400m gaya bebas lelaki dengan catatan 3:55.07s.

Terjun sudah memperoleh lima daripada enam emas yang disasarkan. Tambahan dua emas hadir menerusi penerjun muda, Cheong Jun Hoong dalam 3m papan anjal wanita individu serta bintang platform, Bryan Nickson Lomas dalam 10m individu lelaki.

Kedua-dua acara itu menyaksikan kita berada dalam kelas yang tersendiri dengan menguasai kedudukan 1-2.

Olahraga berjaya memenuhi sasaran enam emas yang ditetapkan, namun itu tidak melepaskan mereka terlepas kontroversi dan dikritik. Kejayaan Noraseela mempertahan gelaran 400m lari berpagar dengan masa 57.41 dan kemenangan Roslinda dalam lompat bergalah (4.20m) sedikit mengimbangi insiden memalukan melibatkan kuartet 4x400m lelaki.

Selepas melakar kejutan dengan muncul juara menerusi kategori B kelmarin, rangkaian Muhammad Yunus Lasaleh, Sehzuan Ahmad Rosely, P. Yuvaraaj dan S. Kannathasan kempunan menaiki podium gara-gara tiket penerbangan pulang ditempat awal dan mereka terpaksa berlepas beberapa jam sebelum upacara bermula.

Chu Sian pula melakar kejuaraan hatrik recurve individu lelaki apabila memenangi emas untuk temasya ketiga berturut-turut dengan mengetepikan rakan senegara, Khairul Anuar Mohamad 6-2.

Biarpun diceriakan dengan sembilan emas pada hari kelima temasya, peminat badminton dikecewakan dengan kekalahan 3-1 Malaysia kepada tuan rumah, Indonesia pada perlawanan berpasukan lelaki akhir.

Berita kurang menggembirakan turut diterima dari venue yang menjadi harapan kita, boling apabila hanya satu perak dan satu gangsa dirangkul. Apa yang membuatkan kem negara sedikit ralat, Sin Li Jane cuma dipisahkan dua pin daripada pemenang emas, Cherie Tan dari Singapura.

Gimnastik pula gagal menetapi sasaran dua emas apabila sekadar meraih dua perak menerusi aparatus individu wanita menerusi Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Eli Ellina Azmi dalam palang bertingkat serta batang titian.

Tamat hari kelima, Malaysia menokok sembilan emas, sembilan perak dan 12 gangsa untuk mengumpul 22 emas keseluruhan, 22 perak dan 35 gangsa. Kita masih menghuni tangga kelima di belakang tuan rumah diikuti Thailand, Vietnam dan Singapura. – Utusan

0 comments: