Sunday, November 13, 2011

Saingan Kumpulan A Masih Terbuka



PEREBUTAN untuk ke separuh akhir dalam Kumpulan A saingan bola sepak di Jakarta masih terbuka luas antara empat pasukan – Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand – dan jurulatih Bawah 23 negara, Ong Kim Swee akan menurunkan kesebelasan terbaiknya apabila menentang Kemboja, hari ini.

Walaupun Kemboja dianggap pasukan belasahan dalam kumpulan maut itu selepas tewas tiga perlawanan – kepada Indonesia 6-0, Singapura 2-1 dan Thailand 4-0 – Kim Swee yakin skuad kendalian Lee Tae-Hoon itu akan berusaha mencari mata pertama hari ini.
“Kita tidak boleh pandang rendah keupayaan Kemboja walaupun mereka tewas tiga perlawanan sebelum ini. Mungkin cabarannya tidak sekuat Singapura dan Thailand, tetapi kita perlu kekalkan rentak permainan sama esok (hari ini).
“Berdasarkan perlawanan sebelum ini, kita mempunyai masalah menyempurnakan deretan peluang yang dicipta, jadi saya mahu lihat kelemahan ini diperbaiki.

“Tetapi pada masa sama, saya tidak mahu keghairahan memburu gol menyebabkan kubu kita dibolosi. Saya mungkin menggunakan perlawanan ini untuk mencuba beberapa pemain yang belum diturunkan tetapi ia bukan rombakan besar,” kata Kim Swee selepas sesi latihan semalam.

Peluang bertemu Kemboja juga memberi ruang buat jurulatih itu merehatkan beberapa pemain yang cedera tetapi dia tetap akan memastikan kekuatan seimbang seperti ketika bertemu Thailand.

0 comments: