Monday, September 12, 2011

Safee Sali pengganti Craig Bellamy ??



MUNGKIN agak keterlaluan jika dikatakan penggempur berbisa Harimau Malaya, Safee Sali bakal pengganti Craig Bellamy di Cardiff City.

Impian itu dilihat cukup besar untuk digalas Safee yang akan menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan England tersebut kira-kira dua minggu bermula hari ini hingga 27 September.

Bagaimanapun, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, penyerang sensasi skuad kebangsaan itu akan berusaha menampilkan prestasi terbaik bagi memikat hati panel pemilihan Cardiff.

Jelasnya, jika gagal menyarung jersi Cardiff musim ini, Safee tetap tidak akan berputus asa untuk kembali mencuba nasib pada musim depan.

“Itu semua bergantung kepada sejauh mana keazaman Safee sendiri untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi selepas menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya dari Selangor sebelum ini.

“Kita harus berpijak di bumi nyata, kekosongan jentera serangan Cardiff selepas penghijrahan Bellamy (ke Liverpool) bukan bermakna peluang Safee terbuka luas kerana mereka masih mempunyai rangkaian penyerang yang hebat-hebat dari Scotland, Wales, Perancis dan juga dari England sendiri.

“Saya harap peminat Safee tidak kecewa dan terus mengecam beliau sekiranya tidak terpilih memandangkan Safee akan berusaha memberikan yang terbaik, selain benar-benar bersyukur dengan ujian pemilihan yang ditawarkan Cardiff,” kata Zakaria kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, Safee kini telah bersedia 100 peratus daripada aspek mental dan fizikal setelah menjalani latihan intensif selama beberapa hari bersama Pelita Jaya sebelum ini.

SAFEE bertekad menampilkan prestasi terbaik ketika sesi pemilihan di Cardiff.

“Cuma pada masa sama, saya lihat Safee masih tertanya-tanya mengenai bentuk latihan, cara pemilihan, faktor cuaca dan corak permainan yang pastinya berbeza daripada apa yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Namun, saya yakin ia tidak akan mendatangkan masalah kepada Safee yang pastinya akan cepat menyesuaikan diri sebaik berada di sana selama dua minggu selepas ini,” katanya yang akan turut menemani Safee ke Cardiff.

Safee dijangka berlepas ke Cardiff City dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.35 pagi tadi selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikannya, Pelita Jaya bagi menjalani sesi pemilihan tersebut.

Selain Safee, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim juga dilaporkan akan turut menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama tiga minggu pada hujung Oktober depan.

Bagaimanapun, ketika ini Safiq mahu mengekalkan konsentrasi membantu Selangor dalam misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 terlebih dahulu.

-kosmo

Saturday, September 10, 2011

Skuad Elit Takraw dicemaskan oleh Korea Selatan

KUALA LUMPUR - Skuad elit negara terpaksa berhempas pulas sehingga lima set sebelum mampu menjinakkan Korea Selatan 3-2, kelmarin tetapi mungkin bertemu kembali musuh barunya itu dalam separuh akhir Siri Super I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), hari ini.

Regu Syazwan Husin (Noor Azman Hamid), Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman menang perit 15-13, 4-15, 13-15, 15-12, 15-3 sebelum turut menumpaskan Laos 3-0 (15-10, 15-9, 15-8) sekali gus menjuarai Kumpulan B di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.

Kejayaan 'mahal' ini turut membawa mereka yang dibimbing buat sementara oleh Ahmad Jais Baharun ke suku akhir dengan menentang naib juara Kumpulan C, Indonesia sementara Korea Selatan bertemu juara kumpulan sama, Myanmar dalam kedua-dua perlawanan sebelah pagi.

Jika Noor Azman begitu hambar dalam perlawanan akhir Piala Dunia, Julai lalu, tekong utama Syazwan pula kali ini didapati mengecewakan sehingga terpaksa digantikan rakannya itu pada penghujung set kedua menentang Korea Selatan.

Musuh ketat kita, Thailand yang juga juara Piala Dunia di Kuala Lumpur, mendapat laluan percuma selaku tuan rumah dari peringkat Kumpulan A dan hanya akan menunggu naib juara Kumpulan D, Filipina dalam suku akhir, pukul 12 tengah hari waktu Malaysia.

Pasukan Gajah Putih yang diterajui jurulatih berpengalaman sejak 1995, Kamol Tankimhong juga dikatakan kekal dengan barisan juara dunianya iaitu Kriangkrai Kaewmian, Siriwat Sakha, Anuwat Chaichana, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee.

Dibimbing Md. Fikri Md. Nor, skuad wanita negara pula mempamerkan semangat juang dan peningkatan permainan yang luar biasa sebelum hanya menyerah dengan lima set, 2-3 kepada Jepun (kelmarin) dan Myanmar (pagi semalam) dalam perlawanan Kumpulan A Siri Super I.

Gandingan Noor Fairuz Azizan, Rahilah Harun (Nurrashidah Rashid) dan Siti Norzubaidah Wahab disekat Jepun 14-16, 8-15, 15-12, 17-16, 8-15 manakala Fairuz, Nurul Shahera Mukhtar dan Norzubaidah dihampakan Myanmar 10-15, 15-13, 15-11, 9-15, 11-15.

Dua kekalahan itu menyekat laluan Malaysia ke separuh akhir sementara Myanmar mengiringi tuan rumah yang juga juara dunia dan mendapat laluan percuma untuk bertemu sama ada Vietnam atau Korea Selatan dari Kumpulan A.

Friday, September 9, 2011

43 Pemain Skuad Hoki Ais Terbunuh


Pemain pasukan Salavat Yulaev Ufa (kanan) dan Atlant dari wilayah Moscow bertafakur memperingati tragedi pesawat terhempas yang mengorbankan 43 orang termasuk pemain hoki ais kelab Lokomotiv Yaroslavl, kelmarin. - Reuters


MIAMI - Sukan hoki ais terkejut dan bersedih apabila melalui 'hari malang' ekoran pesawat yang membawa pemain kelab Rusia, Lokomotiv Yaroslavl terhempas kelmarin dan membunuh 43 orang dan hanya dua yang terselamat.

"Ia merupakan tragedi terburuk buat komuniti sukan hoki ais yang melibatkan banyak pemain dari pelbagai negara," kata presiden Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa, Rene Fasel dalam kenyataan pada laman web www.iihf.com.

Pesawat tersebut membawa pemain pasukan Liga Hoki Benua (KHL) untuk satu perlawanan di ibu negara Belarus, Minsk apabila ia terhempas beberapa kilometer dari lapangan terbang Tunoshna, berhampiran Yaroslavl, 250 kilometer di utara Moscow.

Jurulatih dan pemain skuad Lokomotiv berasal dari beberapa negara termasuk Republik Czech, Slovakia, Sweden dan Kanada.

Pemain Republik Czech, Jan Marek, Karel Rachunek dan Josef Vasicek pemain kebangsaan yang memenangi kejohanan Dunia enam turut terbunuh.

Pegawai berkata, penjaga gol Lokomotiv dari Sweden, Stefan Liv juga terbunuh.

Jurulatih Lokomotiv, Brad McKrimmon dari Kanda, yang baru menyertai kelab itu, antara yang turut terbunuh. - Reuters