Tuesday, February 28, 2012

Malaysia elak jerat Filipina

ATAS kertas, Malaysia dilihat lebih kuat berbanding Filipina apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi persahabatan di Stadium Memorial Rizal, Manila malam esok, lapor NAN HIDAYAT NAN AZMIE.

Memegang reputasi selaku juara Piala AFF Suzuki 2010 serta berada dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang lebih baik berbanding Filipina, ia begitupun bukan alasan bagi anak-anak buah Datuk K. Rajagobal beraksi sambil lewa.

Duka tewas 2-3 kepada pasukan yang menghuni ranking lebih rendah - India dalam aksi persahabatan antarabangsa pada penghujung tahun lepas pastinya menjadikan skuad Harimau Malaya supaya lebih berwaspada.

Tambahan pula, anak buah Michael Weiss pastinya mahu tampil lebih garang sebagai persiapan menjelang Piala Cabaran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Nepal awal bulan depan.

"Ini merupakan persiapan awal bagi mempertahankan Piala AFF Suzuki hujung tahun ini, jadi semangat untuk menang harus ada dalam setiap diri pemain," tegas Rajagobal.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Manila semalam selepas mengadakan aksi persahabatan dengan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu Jumaat lepas.

Dalam pada itu, kehadiran penjaga gol simpanan Fulham, Neil Etheridge dalam aksi persahabatan di Manila malam esok juga pastinya menjanjikan sesuatu yang istimewa kepada peminat tempatan terutamanya ketika berdepan jentera serangan Malaysia.

Tambahan pula, persoalan sama ada Etheridge dapat membantu The Azkal pada Piala Cabaran AFC yang bermula dari 8 hingga 13 Mac itu masih belum terjawab kerana belum pasti diberikan pelepasan oleh Fulham.

Dalam Piala Cabaran AFC selama enam hari itu, Filipina diundi bersama juara bertahan, Korea Utara, India dan Tajikistan.

Monday, February 27, 2012

Butler tinggalkan Red Warriors?

KOTA BHARU - Ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler yang direhatkan buat sementara waktu oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkemungkinan besar bakal meninggalkan The Red Warriors.

Khabar angin tersebut semakin bertiup kencang apabila KAFA mengumumkan bekas pengendali UPB My Team, Bojan Hodak selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army).

Sumber dalaman KAFA pula memberitahu, jurulatih kelahiran Croatia itu dijangka mengambil alih tugas melatih pasukan Liga Super Kelantan dalam masa terdekat.

Menurut sumber itu lagi, Hodak merupakan individu yang berperanan menyusun percaturan taktikal ketika The Red Warriors menumbangkan Singapore Armed Forces (SAF) FC 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

"Bojan (Hodak) dijangka akan memangku tugas selaku ketua jurulatih sepanjang Butler direhatkan. Buat masa ini, KAFA belum memutuskan kedudukan Butler selaku ketua jurulatih Kelantan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Hodak sebelum ini pernah melatih My Team selama tiga tahun bermula 2006, sebelum berhijrah ke Phom Penh Crown FC di Liga Kemboja selama enam bulan pada musim 2011-2012.

Pencapaian terbaik Hodak ialah membantu kelab China , Shandong Luneng Taishan FC muncul naib juara Piala FA di negara berkenaan.

KAFA sebelum ini mengumumkan Butler 'direhatkan' untuk tempoh masa yang tidak ditetapkan dipercayai berikutan kritikan jurulatih tersebut berhubung pengambilan pemain import yang mengundang rasa kurang senang di kalangan pengurusan persatuan tersebut.

Arsenal Belasah Spurs, Man U hampir dimalukan

LONDON – Dua jadual Liga Perdana Inggeris semalam menampilkan dua perlawanan dramatik dengan Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membelasah musuh sejiran, Tottenham 5-2 di Emirates, manakala Manchester United pula mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Norwich di Carrow Road.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Arsenal tersentak seawal minit minit keempat menerusi Louis Saha, sebelum kedudukan itu digandakan setengah jam kemudian oleh bekas penyerang Gunners, Emmanuel Adebayor yang menyempurnakan sepakan penalti Gareth Bale dijatuhkan Laurent Koscielny.

Apabila disangka maruah skuad bimbingan Arsene Wenger terus tercalar, terutamanya selepas tersingkir daripada Piala FA malah juga di ambang penyingkiran dari Liga Juara-Juara selepas dibelasah AC Milan 4-0 minggu lalu, mereka bagaikan ‘mati hidup semula’.

Kebangkitan tuan rumah dimulakan oleh Bacary Sagna dan Robin Van Persie pada babak pertama sebelum gawang Spurs terus dibolosi tiga lagi gol, dua daripada Theo Walcott dan Tomas Rosicky tidak ketinggalan menyumbang satu dalam pesta gol tersebut.

Di Norwich, Ryan Giggs menyambut penampilan ke-900 untuk United dengan meledak gol lewat kemenangan yang mungkin menjadi penentu kejuaraan buat pasukannya musim ini.

Tiga mata penting yang dikutip United di tempat lawan bermakna Red Devils terus menghidu rapat dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Jaringan Giggs dihasilkan menerusi penyudah jarak dekat selepas menyambut hantaran lintang kemas dari Ashley Young.

Terdahulu, seorang lagi veteran, Paul Scholes memberikan jaringan pendahuluan seawal minit ketujuh namun Norwich bangkit untuk menguasai perlawanan dan usaha mereka mengasak kubu lawan menghasilkan pulangan setimpal apabila rembatan kaki kiri Grant Holt pada minit ke-83 dilihat mampu menjejaskan peluang United memburu kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun, gol yang dijaringkan Giggs mengubah kesudahannya.

Penerjun Cemerlang Lagi

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad terjun kebangsaan, Yang Zhuliang membuktikan dia adalah perancang strategi yang bijaksana, apabila membantu Malaysia meraih satu lagi tiket Sukan Olimpik pada Piala Dunia FINA di London semalam.

Kuota ketiga bagi disiplin seirama yang juga kesembilan keseluruhan buat kontinjen Malaysia itu diperolehi menerusi Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong, biarpun digandingkan buat kali pertama dalam aksi 3 meter papan anjal seirama wanita.

Acara itu biasanya diwakili gandingan Leong Mun Yee-Wendy Ng yang pernah merangkul pingat perak Sukan Asia 2010 dan emas Sukan SEA tahun lalu, namun keputusan Zhuliang mempertaruhkan Pandelela-Jun Hoong kali ini ternyata tepat.

Mereka berdua berganding mantap untuk mencatat kutipan mata keseluruhan300.90, dan menduduki tempat keenam pada final.

Seperti dijangka, pasangan China sukar digugat apabila meraih emas menerusi He Zi-Wu Minxia dengan mengumpul 345.30 mata, menewaskan Jennifer Abel-Emilie Heymans dari Kanada (321.90) dan Tania Cagnotto-Francesca Dallape dari Itali (317.40).

Kejayaan menduduki tempat keenam itu sekaligus membolehkan Malaysia menempah satu daripada baki empat slot terakhir bersama Itali, Amerika Syarikat dan Ukraine.

Terdahulu, China, Kanada dan Australia telah pun mengesahkan tiket lebih awal ketika Kejohanan Dunia di Shanghai tahun lalu manakala tuan rumah, Great Britain diberi kuota automatik bagi melengkapkan senarai lapan negara bertanding di temasya London.

Kemampuan skuad terjun negara meraih tiga kuota seirama dalam sekelip mata adalah tidak diduga memandangkan tiada pasangan seirama dari Malaysia pernah layak dalam sejarah Olimpik.

Dua lagi tiket telah diraih awal oleh Huang Qiang-Bryan Nickson Lomas (3m papan anjal seirama lelaki) dan Pandelela-Mun Yee (10m platform seirama wanita).

Lebih membanggakan, Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia selain gergasi China, mempunyai perwakilan dalam disiplin seirama di Olimpik London.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong memuji persembahan cemerlang Pandelela-Jun Hoong.

"Pada Kejohanan Dunia di Shanghai lalu, Mun Yee-Wendy sekadar menduduki tempat ke-10 dan kami merasakan peluang mereka untuk layak di Piala Dunia agak sukar.

"Jadi kami mencuba kombinasi baru dengan menggandingkan Pandelela-Jun Hoong. Sebenarnya ia adalah satu pertaruhan kerana Pandelela sudah sekian lama tidak berlatih dalam acara papan anjal.

"Saya amat bangga dengannya. Dia telah diminta menumpukan perhatian un tuk meraih tiket dalam dua acara seirama dan misi itu dilaksanakan dengan sempurna.

"Pujian juga kepada Jun Hoong kerana cemerlang memberikan kita tiket dalam 3m papan anjal individu," katanya.

Sementara itu, Bryan Nickson Lomas gagal mencipta satu lagi sejarah peribadi apabila terlepas pingat gangsa 10m platform individu lelaki gara-gara melakukan terjunan buruk pada cubaan terakhir.

Bryan yang hanya menghasilkan 36.30 mata pada terjunan akhir terpaksa berpuas hati di tangga kelapan daripada 12 penerjun.

Friday, February 24, 2012

Malaysia Belum Sah Tuan Rumah Piala Suzuki AFF



HASRAT skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF, November ini bakal terjejas apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang pada awalnya dijadual menjadi gelanggang rasmi saingan peringkat kumpulan kemungkinan terpaksa ditutup bagi tujuan baik pulih bumbung yang kini mengalami kerosakan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad selepas dimaklumkan pihak pengurusan stadium, Kompleks Sukan Negara (KSN). Situasi itu tampak merugikan kepada pasukan kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal yang mengharapkan sokongan padu Ultras Malaya bagi misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat kali pertama pada 2010.
Namun Azzuddin berkata, pihaknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian agar hak penganjuran bersama Thailand tahun ini tidak akan dilepaskan begitu saja. “Stadium ini bukan di bawah kawalan FAM, kita hanya boleh merayu dan mendapatkan pertimbangan sewajarnya daripada pihak kerajaan,” katanya.

Ini kali kedua Malaysia mendapat hak selaku penganjur piala paling berprestij di rantau ini selepas menjadi tuan rumah bersama Vietnam pada 2004 yang menyaksikan skuad negara menamatkan kempen di tempat ketiga.

Ternyata masalah dialami FAM ini memberikan perkhabaran gembira buat Persekutuan Bola Sepak Filipina yang menyatakan minat menjadi tuan rumah pada Disember 2010, namun mesyuarat Ahli Majlis AFF pada 19 Februari 2011 memutuskan untuk memberikan hak penganjuran kempen peringkat kumpulan kepada Malaysia dan Thailand.

Masalah ini juga kini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. “Saya akan melihat perkara ini kerana belum mendapat maklumat terperinci apakah baik pulih itu membabitkan struktur bumbung atau ia boleh ditangguhkan kerana ia juga membabitkan prosedur kewangan,” katanya.

SNBJ yang turut ditutup pada pertengahan tahun lalu bagi memberi laluan kepada kerja baik pulih trek menjadi saksi kejayaan skuad negara apabila menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan final pertama sebelum tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada aksi kedua.
Namun Malaysia tetap berjaya menjulang kejuaraan pertama sejak Piala AFF diperkenalkan pada 1996 menerusi agregat 4-2.

Thursday, February 23, 2012

Zaquan Adha tidak mahu sia peluan

Zaquan Adha


PENYERANG Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Zaquan Adha Abd Radzak tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal untuk kembali menyarung jersi negara.

Selepas tersisih lebih setahun kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang berulang sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu berharap kelibatnya sepanjang sesi latihan kali ini mampu memikat hati Rajagobal untuk diturunkan menentang Sabah esok serta perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina, Rabu depan.


“Jurulatih (Rajagobal) mengingatkan saya supaya bersaing dengan pemain lain untuk kembali merebut tempat dalam skuad negara. Saya melihatnya sebagai persaingan yang sihat.

“Saya kini memberikan tumpuan untuk mendapatkan tahap diperlukan apabila beraksi bersama skuad negara kerana ia berbeza apabila beraksi pada peringkat kelab.


“Setakat ini kecergasan saya memang pada tahap terbaik namun penting untuk saya menyarung jersi negara bagi memulihkan tahap keyakinan,” katanya yang kali terakhir beraksi untuk skuad negara ketika menentang kelab Qatar pada 2010.


Ketiadaan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (gambar) yang terlepas aksi bersama skuad negara kali ini kerana kecederaan perlu dimanfaat sepenuhnya sekiranya Rajagobal mahu menggandingkannya bersama Safee Sali di jentera serangan.

“Terpulang kepada jurulatih untuk menentukannya namun saya sedar ada pemain lain yang turut bersaing untuk merebut tempat di jentera serangan seperti Abdul Manaf (Mamat) dan Ahmad Shakir (Ali),” katanya.


Selain beraksi di posisi serangan, bekas pemain Negeri Sembilan itu turut diletakkan sebagai pemain sayap kanan bersama ATM musim ini selain sudah meledak dua gol.

Kita Bukan Tandingan Jepun

Pemain Malaysia, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyekat gerakan pemain Jepun, Genki Haraguchi pada perlawanan Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jepun mengotakan janjinya untuk menang besar apabila membenam Malaysia 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam saingan Kumpulan C kelayakan Olimpik, semalam.

Walaupun bermain dalam tekanan, skuad Samurai Biru tetap menampilkan permainan yang tersusun dengan tidak mempersiakan peluang gol.

Sebaliknya, kekalahan besar itu menunjukkan betapa masih banyak yang perlu diperbaiki oleh skuad bawah 23 tahun jika mahu memberikan saingan di pentas Asia.

Kerapuhan benteng pertahanan dan kurang kreativiti dalam mencipta gerakan gol menjadi punca kepada kekalahan besar Malaysia kepada Jepun.

Namun peminat perlu bersikap realistik dengan kekalahan besar kepada Jepun, yang mana ia membuktikan bola sepak negara memerlukan lebih banyak pendedahan pada masa depan.

Kekalahan semalam juga menjadikan Malaysia kekal tanpa sebarang mata dan sudah pasti akan menghuni tangga tercorot kumpulan, sekali pun jika mampu mencatat sebarang kemenangan ketika bertemu Syria dalam perlawanan terakhir nanti.

Kemenangan semalam adalah yang keempat buat Jepun dan terus memberikan saingan kepada Syria dalam usaha mengejar slot automatik ke London 2012 selaku juara kumpulan.

Skuad Takashi Sekizuka mendahului 2-0 pada babak pertama melalui jaringan Hiroki Sakai pada minit ke-35 dan Yuya Osako pada minit ke-45.

Samurai Biru mengukuhkan kedudukan dengan dua lagi gol pada babak kedua menerusi Genki Haraguchi (minit ke-55) dan Manabu Saito (minit ke-60).

Di hadapan 15,000 penonton, skuad Ong Kim Swee berjaya mengimbangi serangan bertali arus Jepun setakat minit ke-34, sebelum Jepun membuka tirai jaringan akibat kerapuhan benteng pertahanan negara.

Ketika barisan tengah negara sibuk merencana serangan, Jepun bijak merampas bola dan melakukan serangan balas pantas ketika bahagian pertahanan belum bersedia.

Hasilnya, pertahanan Jepun, Hiroki Sakai yang tidak dikawal mudah menolak masuk ke dalam gawang negara yang ternganga .

Pasukan pelawat yang amat memerlukan kemenangan besar semakin bersemangat selepas detik itu apabila menambah jaringan kedua 10 minit selepas itu melalui Yuya Osako yang melakukan tandukan menewaskan Khairul Fahmi yang sebelum itu cemerlang menyelamatkan dua percubaan awal Jepun.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia bagaikan sudah hilang semangat untuk memberikan saingan dan Jepun sekali lagi terus menggempur kubu negara berpunca daripada sepakan silang Sakai, Genki Haraguchi mudah menghukum kesilapan Khairul Fahmi yang gagal menjangka dengan baik hantaran Sakai sebelum melepaskan rembatan separuh voli pada minit ke-55.

********************

Kami ucapkan tahniah kepada semua pemain Harimau Muda kerana sampai ke tahap ini, kita satu-satunya pasukan dari asia tenggara yang layak ke pusingan ini,

Tahniah juga kepada semua penyokong yang hadir ke stadium kerana anda tetap memberi sorakan gemuruh walaupun pasukan kita ketinggalan.

Wednesday, February 22, 2012

Malaysia Layak Ke Piala Dunia




SKUAD bola sepak negara memastikan tiket ke saingan Piala Dunia Universiti yang julung kalinya diadakan di Abu Dhabi tahun depan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand menerusi penentuan penalti 4-3, semalam.

Selepas menamatkan saingan perit peringkat kumpulan di tangga tercorot, anak buah Aminuddin Hussin jelas lesu dengan membiarkan Thailand mendominasi permainan, malah kombinasi pemain sayap Adisak Kanu dan penyerang Narat Patchaya hampir meletakkan Thailand di depan pada minit keenam tetapi rembatan melepasi palang negara yang dikawal Norhadi Ubaidillah. Gawang negara akhirnya bocor pada minit ke-30 menerusi perancang tengah, Pathomchai Seaisakuls yang bijak meloloskan diri ke kawasan penalti sebelum menewaskan Norhadi. Situasi hampir sama berlaku pada babak kedua tetapi kekasaran Adisak terhadap Arman Fareez Mohd Ali membuatkan pengadil dari Taiwan, Kao Jungfang melayangkan kad merah.

Kelebihan itu digunakan sepenuhnya pemain negara yang menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi kapten, T Reuben selepas mendapat hantaran baik Fahrul Razi Kamaruddin.

“Pemain lambat panas kerana mereka mengkaji corak permainan lawan terlebih dulu,” kata penolong jurulatih, Richard Scully. “Dan selepas dapati ada kelemahan pada kawasan tengah, barulah kita ambil kesempatan itu.

“Sekarang kita sudah layak berada di ranking 9-12 yang menjadi sasaran sebelum ini dan akan melakukan yang terbaik apabila menentang Ukraine atau Republik Czech selepas ini.

“Yang penting, kemenangan ini juga melayakkan kita ke Piala Dunia Universiti tahun depan,” katanya.

Monday, February 13, 2012

SENARAI NAMA PENJARING LIGA SUPER 2012



SENARAI NAMA PENJARING LIGA SUPER

7 Gol:- Zairo Annuar Zailani ( T-Team ).

5 Gol :- Francis Forkey Doe (Terengganu),Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

4 Gol:- , Shakir Ali (N.Sembilan), Jean Emmanuel Effa Owana (N.Sembilan)

3 Gol:- Mohd Fauzan Dzulkifli (PKNS), Michael Kubala (Perak), Badhri Radzi (Kelantan), Ashari Samsuddin (Terengganu),Khyrill Muhymeen (Kedah), Shahril Ishak (Lions XII)

2 Gol :- Faiz Subri (T-Team), K.Ravindran (Sarawak), Safiq Rahim (Selangor), Akhmal Rizal Ahmad Rakhli (Perak), Mahmoud Ghadar (Kelantan), Mickael Joseph Nicoise (PKNS), Michael Baird (Sabah),Danny Antwi (Kelantan), Azi Sharil (Johor FC), Riduwan Maon (Johor FC),Azrul Ahmad (Felda United),Vedran Muratovic (Sarawak),Shahdan Sulaiman (Lions XII), Helmi Rameli (PKNS),Sharudin Yakup (Sabah)

1 Gol :- Amirulhadi Zainal (Selangor), Raimi Mohd Noor (Felda United), Yong Kuong Yong (Felda United), Farderin Kadir (Felda United), Hairol Mokhtar (Sarawak), Zamri Morshidi (Sarawak), Kalle Sone (Sarawak), Baihakki Khaizan (Lions XII), Hariss Harun (Lions XII), Zachariah Simukonda (T-Team), Ismail Faruqi (Terengganu), Bobby Gonzales (Sabah), Fauzan Abdullah (Kuala Lumpur), Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), Afiq Azmi (Kuala Lumpur), Shahrom Kalam (Perak), Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Lazar Popović (Perak), Ramez Jamal Dayoub(Selangor), Azidan Sarudin (Selangor), K.Gurusamy (Selangor), Muhamad Khaironnisam Sahabudin Hussain (Johor FC), Shazwan Zainon (Johor Fc), Khairul Ismail (Johor Fc), Shukor Adan (Negeri Sembilan), Shahruain Abu Samah (N.Sembilan),Mohd Firdaus Faudzi ( Felda United),Bojan Petric (T-Team), Firdaus Azizul ( N.Sembilan),Rudie Ramli (PKNS),Mohd Faizal Abu Bakar (Kedah),Jasazrin Jamaluddin (Johor FC),Haris Safwan Mohd Kamal (Johor FC),Asri Chu Chu (Sarawak)

Izham Perlukan Masa - kim swee

IZHAM (belakang) antara penjaga gol muda negara yang semakin mempamerkan kematangan.

PERSEMBAHAN goyah penjaga gol Harimau Muda, Izham Tarmizi Roslan ketika membenam cabaran Gombak United 2-0 dalam aksi sulung Liga Singapura (Liga S) baru-baru ini sedikitpun tidak meresahkan pengendali pasukan, Ong Kim Swee.

Walaupun Izham dilihat agak gugup dalam perlawanan itu, Kim Swee sebaliknya yakin pemain kelahiran Terengganu itu akan mempamerkan aksi yang lebih matang sejajar dengan peningkatan usianya selepas ini.

Malah tanpa berselindung, Kim Swee juga yakin Izham bakal menjadi penjaga gol No. 1 negara menggantikan Khairul Fahmi Che Mat satu hari nanti jika kekal berdisiplin serta mempamerkan persembahan konsisten setiap kali ditugaskan menjaga gawang negara.

“Harus diingat betapa usia Izham masih muda, baharu sahaja berusia 21 tahun.

“Saya percaya peluang beraksi dalam Liga S akan mematangkan corak permainan Izham sekali gus mengambil alih tugas penjaga gol No. 1 negara daripada Khairul Fahmi selepas ini,” kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Lahir pada 24 April 1991, Izham yang mempunyai ketinggian 1.75 meter merupakan penjaga gol utama negara bagi mengharungi saingan Liga S selepas Khairul Fahmi atau Apek membuat keputusan untuk kekal bersama Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Disebabkan itu, tugas Apek yang sering menggalas tanggungjawab selaku kapten kini digalas oleh pemain paling senior dalam skuad Harimau Muda, Mahali Jasuli sementara Affize Faisal Mamat dan Irfan Fazail pula dilantik sebagai penolong kapten.

Selain Izham, seorang lagi penjaga gol Harimau Muda ialah Shahril Saari.

Dalam pada itu, ketajaman penyudah penyerang muda, Thamil Arasu yang berjaya meledak satu gol ketika menentang Gombak United tempoh hari juga mengundang pujian Kim Swee.

“Saya harap Thamil dapat mengekalkan permainannya yang konsisten sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada saya di bahagian serangan selepas Syahrul Azwari Ibrahim dan Ahmad Hazwan Bakri masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Aksi kedua Harimau Muda dalam saingan Liga S ialah menentang Tanjung Pagar United di Stadium Yishun pada 2 Mac depan, selain berdepan Jepun bagi aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Februari depan yang begitupun dilihat tidak ubah seperti pelengkap jadual perlawanan selepas tewas dalam keempat-empat perlawanan sebelum ini.

Sejarah Tercipta




RATU pecut negara, Fatehah Mustapa mencipta sejarah dalam sukan lumba basikal tanah air.

Dia muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang berakhir di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Sorakan padu penyokong Malaysia yang memenuhi velodrom tersebut berjaya menyuntik semangat pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu untuk melakukan henjutan bertenaga pada 50 meter terakhir sekali gus mengejutkan pelumba pilihan, Lee Wai Sze dari Hong Kong.

Fatehah, 23, memenangi emas acara tersebut dengan catatan masa 11.672 saat menewaskan pelumba China, Xu Yulei di tempat kedua dan Wai Sze di tempat ketiga.

Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu juga menyumbang pingat perak dalam acara pecut wanita elit dan gangsa dalam 500m ujian masa wanita elit.

“Sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini dan berasa sangat puas kerana berjaya menebus kehampaan dalam acara pecut dua hari lepas,” kata Fatehah semalam.

"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada ibu dan bapa saya serta John (Beasley, jurulatih) yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada saya.

“Emas ini juga ditujukan kepada semua penyokong Malaysia yang hadir di velodrom ini kerana sorakan dan sokongan padu mereka telah banyak menyuntik semangat saya,” katanya.

Menurut Fatehah, strateginya untuk berada di belakang pelumba Hong Kong, Wai Sze nyata berhasil kerana pelumba yang mendahului perlumbaan tersebut semalam, Xu Yulei lebih memberi tumpuan kepada Wai Sze dan memberi kelebihan kepadanya untuk menyerang secara mengejut.

"Sebelum perlumbaan, John ada beri arahan supaya mengekori belakang Wai Sze kerana dia paling kuat dalam acara ini dan ternyata strategi itu berhasil kerana pelumba China terpaksa memberi tumpuan kepada pelumba Hong Kong itu.

“Jadi, ia satu kelebihan buat saya untuk melakukan serangan mengejut dan terus membuat henjutan sekuat hati sehingga ke garisan penamat,” kata Fatehah.

Fatehah kini hampir pasti beraksi di pentas Sukan Olimpik 2012 London kerana selepas kejayaan ini menyaksikan dia berada di tempat kedua dalam pungutan pelumba Asia di belakang pelumba China.

Selepas ini dia akan menyertai siri Trek Piala Dunia Klasik di London, 17 hingga 18 Februari ini bagi mengumpul mata ke Olimpik.

Friday, February 10, 2012

Apek tak layan gosip liar

 


KOTA KINABALU - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang dilanda pelbagai kontroversi menjelaskan beliau hanya mahu fokus terhadap karier bola sepak berbanding gosip liar berkaitan dirinya.

Beliau menegaskan mahu memberi tumpuan kepada kerjayanya berbanding melayan sebarang 'isu luar padang'.

"Saya tidak mahu komen perkara luar.

"Saya hanya nak fokus kepada permainan," katanya kepada Utusan Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Khairul Fahmi atau Apek memberitahu, apa pun juga isu gosip yang timbul tidak sama sekali menjejaskan tumpuannya dalam kariernya.

Ini terbukti pada perlawanan Kelantan menentang Sabah dalam Liga Super di sini kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Pada perlawanan itu, Apek membuktikan kemampuannya apabila berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada trio penyerang tuan rumah yang diketuai Michael Baird.

Nasib turut menyebelahi Apek apabila pemain gantian, Leopold Alfonso Otong gagal menyudahkan hantaran Baird pada masa kecederaan meskipun telah melepasi perangkap off-said.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Peter Butler menyifatkan keputusan tanpa jaringan itu adil setelah dua peluang gol terbaik Kelantan gagal disempurnakan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamed Gadar minit ke-12 dan 85.

"Kita sia-siakan dua peluang paling menarik. Tetapi, secara keseluruhannya, ia satu keputusan adil buat kedua-dua pasukan, saya tidak kecewa.

"Saya gembira berkongsi mata (dengan Sabah) dan pulang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dan kami semakin bertambah baik," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Butler turut memuji semangat juang pasukan tuan rumah yang bermain baik sehingga mampu mengekang penyerang Red Warriors daripada menjaringkan sebarang gol.

"Kami harus menghormati pemain Sabah yang mempunyai semangat juang tinggi.

"Malah mereka juga telah memaksa kami bekerja keras menjaga kubu Kelantan malam ini (semalam)," ujarnya.

Bagi jurulatih Sabah, Justin Ganai, pemainnya telah memberi persembahan terbaik meskipun gagal meraih mata penuh seperti yang diharapkan.


************************

Wednesday, February 8, 2012

Kontroversi Mematangkan Apek



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyifatkan kontroversi yang melanda penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek (gambar) merupakan sebahagian daripada proses mematangkan pemain berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penjaga gol No. 1 negara itu perlu diberikan peluang secukupnya untuk dia kembali ke kehidupan yang sebenar.

"Apek sedang melalui satu proses di mana beliau sedang menempuhi tempoh masa yang akan mematangkan diri beliau sendiri. Sebab itu kita kena bagi ruang secukup-cukupnya kepadanya untuk kembali ke landasan kehidupan sebenarnya.

"Kita kena akui dia menjadi popular dalam masa yang singkat dan segala tindak-tanduknya mendapat perhatian ramai termasuk orang-orang muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda pengaja gol terbaik Asia itu.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pemilik butik, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau 'Leuniey' tampil menafikan ada hubungan dengan Apek.

Malah, gadis berkulit putih itu turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa tonggak utama pasukan bola sepak Kelantan itu menjadi punca dia memutuskan ikatan pertunangan dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.

Annuar memberitahu, beliau percaya segala kontroversi yang melanda penjaga gol berusia 23 itu sebelum ini tidak bermaksud mempunyai niat yang tidak baik memandangkan Apek bukanlah seorang individu yang memberi masalah sama ada di luar mahu pun di dalam padang.


 ****************************

 Kami pelik kenapa media cuba buat gosip kepada pemain bola sepak negara kita, seperti nazmi pun terkena dengan gosip-gosip liar. Jika reputasi mereka jatuh yang jadi mangsa skuad negara kita juga..hurm..



Sekian

Sunday, February 5, 2012

Nazmi Playmaker dalam pembikinan

NAZMI (tengah) antara pemain paling kreatif dalam skuad Harimau Muda meskipun bertubuh kecil.



PERMATA bola sepak dalam pembikinan. Mungkin pujian itu paling sesuai buat pemain tengah skuad Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Bertubuh kecil tidak menghalangnya untuk beraksi cemerlang, malah dia memiliki kekuatan yang menakjubkan.

Boleh dikatakan bahawa Nazmi antara pemain yang kreatif dalam skuad bimbingan Ong Kim Swee sekarang dan atas faktor tersebut, dia sering menjadi pilihan dalam kesebelasan utama.

Paling menarik, Nazmi bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya dan gaya permainannya mengingatkan peminat tempatan terhadap gaya permainan bekas pemian tengah negara pada era 70-an, Abdah Alif.

Abdah yang menyinar sebagai pemain tengah satu ketika dahulu, juga memiliki susuk tubuh badan yang kecil tetapi memiliki gaya permainan yang mempesonakan.

Nazmi bukan setakat memiliki kelajuan, tetapi juga memiliki gaya kawalan yang kemas dan bijak melakukan hantaran bagi mencipta ruang kepada rakannya untuk menghasilkan gol.

Selain itu, Nazmi juga memiliki tendangan padu menggunakan kedua-dua belah kakinya.

Aksi paling menarik pernah dipamerkan pemain yang berasal dari Kuala Lumpur ini adalah pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, November tahun lalu.

Kelibatnya cukup terserlah apabila menjadi antara watak penting dalam membantu skuad negara mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

Selepas itu, kecemerlangannya terus terbukti apabila menghasilkan jaringan pembukaan daripada jarak 30 meter ketika menentang Bahrain pada 27 November lalu pada aksi kelayakan Olimpik peringkat Kumpulan C zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, jaringan emasnya itu tidak mampu membantu Harimau Muda menewaskan Bahrain yang menang 3-2 pada perlawanan tersebut.

Hari ini, Nazmi bakal diberi peranan yang sama apabila Harimau Muda turun menentang Bahrain pada aksi kedua Kumpulan C dan impiannya adalah untuk mematikan langkah lawan mereka itu yang mengecewakan mereka pada aksi pertama sebelum ini.

Kelincahan serta kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Nazmi ketika beraksi di padang itu telah menarik perhatian beberapa kelab Eropah antaranya Cardiff City yang sudah mula memasang impian untuk mendapatkan khidmatnya.

Nazmi juga tercalon dalam 'lima pemain muda ASEAN’ yang kelab Eropah harus memberikan perhatian seperti yang dilaporkan dalam laman web www.goal.com baru-baru ini.

Selain Nazmi, empat lagi yang tercalon termasuk Teerasil Dangda dari Thailand, Kyaw Ko Ko (Myanmar), Andik Vermansyah (Indonesia) dan Le Cong Vinh (Vietnam).

Namun bagi Nazmi, dia mengaku teruja dan gembira apabila beberapa kelab Eropah berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Menyingkap perjalanan karier bola sepak Nazmi, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil ini mula bergiat aktif ketika berusia 17 tahun.

Kebolehan yang ada padanya menyaksikannya menerima panggilan daripada jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Ong Kim Swee untuk menyertai latihan bagi menghadapi Sukan SEA di Jakarta tahun lalu.

Bermula dari saat itu, kariernya terus berkembang dan kini menjadi antara pemain utama dalam skuad kendalian Kim Swee itu.

Apa yang menarik tentang perjalanan karier bola sepak Nazmi ialah dia tidak pernah mewakili pasukan Kuala Lumpur dalam saingan liga tempatan.

Ketika menjejak kaki ke SSBJ, dia diserapkan dalam skuad Harimau Muda B sebelum dinaikkan pangkat menganggotai Harimau Muda yang kini sedang menggalas cabaran negara pada pusingan kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan C zon Asia.

Harapan Nazmi hanya satu iaitu membantu skuad negara layak ke Olimpik selain bercita-cita mahu menjadi pemain profesional yang berjaya.

*********************



Saturday, February 4, 2012

Nazmi Tekad Harumkan Negara

 NAZMI (kiri) menghalang pemain Syria pada perlawanan kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 23 November tahun lalu.



MUHAMMAD Nazmi Faiz Mansor.Nama yang tidak asing bagi peminat-peminat setia negara, apabila menyaksikan pemain yang cukup menyinar ketika membantu negara di dalam mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada November lalu.

Jaringan pembukaan dari jarak 30 meter ketika menentang Bahrain pada 27 November lalu juga masih jelas terpahat di ingatan penyokong meskipun tewas 2-3 pada aksi Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kepintaran permata baharu negara ini mengekang ancaman jentera serangan lawan, selain pantas menjana gerakan serangan di tengah padang ternyata menjadi aset yang paling utama bagi pemain kelahiran Kuala Lumpur ini.

Kini, kelibat Nazmi mulai diintai oleh beberapa kelab Eropah antaranya Cardiff City yang sudah mula memasang impian untuk mendapatkan khidmatnya.

Lebih manis, Nazmi yang tercalon di dalam lima pemain muda ASEAN yang kelab Eropah harus memberikan perhatian pada jendela perpindahan pemain Januari ini daripada www.goal.com, jelas menggambarkan pemain negara memiliki kelas yang tersendiri.

Turut mengiringi Nazmi, Teerasil Dangda dari Thailand, Kyaw Ko Ko (Myanmar), Andik Vermansyah (Indonesia) dan Le Cong Vinh (Vietnam).

Namun bagi Nazmi, yang mengakui teruja dan gembira apabila beberapa kelab Eropah berminat untuk mendapatkan khidmatnya, menyedari perjalanan sebagai pemain bola sepak masih jauh.

Katanya, dia sentiasa melakukan yang terbaik ketika beraksi di atas padang dan berusaha untuk mengharumkan nama negara yang kekal tersemat di dalam jiwanya.

"Saya gembira dan teruja apabila beberapa kelab Eropah cuba mendapatkan khidmat saya. Setiap pemain impikan untuk beraksi pentas yang lebih tinggi demi karier dan negara.

"Beraksi di negara Eropah bukan sahaja perlukan kekuatan dari segi fizikal dan mental, malah pemain harus lebih mendalami corak permainan serta beraksi secara kreatif.

"Tetapi, saya tidak mahu cepat melatah. Perjalanan saya sebagai pemain bola sepak baharu sahaja bermula tetapi jika mendapat peluang sedemikian, saya mahu melakukan dengan cara yang profesional.

"Buat ketika ini, saya masih pemain Harimau Muda dan berazam untuk kekal fokus bersama pasukan di dalam membantu negara untuk menjuarai beberapa kejohanan utama kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Nazmi ketika ini bersama pasukan Harimau Muda di Manama, Bahrain bagi perlawanan menentang negara itu bagi aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional Manama, esok.

**********************


good luck nazmi

Friday, February 3, 2012

Contohi Safee Sali




PEMAIN bola sepak di negara ini wajar mencontohi kejayaan penyerang sensasi Harimau Malaysia, Mohd. Safee Sali yang berjaya mendapat kontrak bernilai lebih RM2 juta bersama kelab Pelita Jaya FC (Pelita Jaya) di Indonesia.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar kecil) bertitah, kejayaan Safee dalam memperoleh kontrak tersebut merupakan satu lembaran baharu dalam sejarah bola sepak Malaysia.

“Saya harap kejayaan Safee ini dicontohi oleh pemain-pemain negara kita. Malah inilah yang kita harapkan iaitu setiap pemain perlu mempunyai aspirasi, visi dan semangat untuk pergi lebih jauh.

“Bukan sahaja bermain untuk negara tetapi untuk bermain di peringkat lebih tinggi. Ini akan memberi manfaat kepada (mutu bola sepak) negara,” titah baginda di Kuantan semalam.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pembinaan Tiga Buah Jambatan di Sungai Lembing

di Kuantan.

Kontrak baharu bernilai RM2 juta tersebut bagi tempoh dua tahun menjadikan Safee pemain bola sepak Malaysia yang bertaraf jutawan.

Pakej lumayan ditawarkan Pelita Jaya kepada penyerang kebangsaan itu merangkumi gaji, bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah-faedah lain.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pemain kebangsaan itu, Tengku Abdullah berharap perjalanan karier Safee sebagai pemain bola sepak dapat diteruskan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya nasihat dia teruskan karier dia sebagai seorang pemain yang mahu ke peringkat lebih tinggi dan harus bermain di Eropah.

“Saya tidak tahu tahap liga itu

di Indonesia, namun saya tahu dia sudah memiliki semuanya dan sedikit sebanyak bina kemahiran di sana," titah Tengku Abdullah.

****************


Sekian

Thursday, February 2, 2012

Safee Yakin Bersama Pelita Jaya

JAKARTA – Biarpun terus kekal bermain dengan kelab Pelita Jaya FC, namun peluang untuk Safee Sali bermain dengan skuad kebangsaan tidak pernah tertutup.

Menurut Safee yang yang menyambung kontrak selama dua tahun lagi dengan kelab itu, beliau yakin dapat terus bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia, walaupun Liga Super Indonesia (ISL) yang disertai Pelita Jaya sekarang berdepan kemungkinan diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Sekalipun FIFA mengharamkan ISL, kelab Pelita Jaya tidak diharamkan. Pelita Jaya boleh bermain dalam mana-mana liga yang di rantau ini, contohnya ia boleh bermain di Liga Malaysia, di Liga Singapura.

“Pemain juga tidak diharamkan. Jadi saya boleh bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika di temui selepas acara pengumuman penyambungan kontraknya dengan Pelita Jaya FC di sini semalam.

Safee yang berusia 28 tahun juga memberitahu, beliau akan bersama rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Malaysia tidak lama lagi ke Australia untuk bermain dalam perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi.

Penyerang kebangsaan itu juga optimis, kemelut yang berlaku berkaitan ISL dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dapat diselesaikan dengan baik kerana ia merupakan masalah dalaman.

ISL berdepan dengan kemungkinan diharamkan oleh FIFA kerana menjalankan liga bola sepak secara tersendiri dan tidak diiktiraf oleh PSSI.

“Sebetulnya saya tidak mempunyai masalah dengan FIFA dan dengan PSSI untuk bermain dengan skuad kebangsaan Malaysia.

“Memang saya fikirkan hal itu kerana bermain dengan skuad kebangsaan merupakan pertimbangan saya yang utama untuk memilih dan membuat satu keputusan, jadi saya lihat di kelab Pelita Jaya ini, saya tidak mempunyai masalah itu dan saya akan tetap bermain di Pelita Jaya,” tambahnya.

Safee menegaskan, beliau tidak ragu-ragu dengan keputusannya itu kerana dalam keadaan apa sekalipun beliau tetap boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

“Kalau saya diharamkan oleh FIFA, itu baru saya tak boleh bermain untuk skuad kebangsaan,” tegas Safee.

Sementara itu, Safee menjelaskan, alasan utama kenapa dia memilih untuk kekal bermain dengan Pelita Jaya FC ialah bertitik tolak kepada hasratnya untuk mengembangkan kariernya ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kelab Pelita Jaya FC memiliki pelan jangka panjang yang menawarkan beliau peluang beraksi di luar negara.

“Saya melihat mereka betul-betul komited untuk menghantar pemain yang berprestasi tinggi untuk bermain di tahap lebih tinggi di luar negara. Sebenarnya Pelita Jaya menawarkan kontrak tiga tahun dan saya hanya mahu memanjangkan kontrak selama satu tahun sahaja lagi, tetapi setelah pihak saya mengadakan perbincangan yang panjang, kami mengambil jalan tengah iaitu menyambung kontrak selama dua tahun lagi,” jelas Safee.

Pada masa sama, keputusan itu juga dibuat sebagai menghargai kehendak Pelita Jaya FC yang cukup berminat dengan khidmatnya.

“Memang ada banyak tawaran dari kelab luar negara tetapi saya memilih untuk di sini (Pelita Jaya FC).

“Terima kasih kepada pengurusan Pelita Jaya FC yang masih mengharapkan saya di sini. Pelita Jaya FC banyak membantu perkembangan karier saya dan saya senang sekali,” kata Safee yang turut diteman ayahnya, Sali Mian dan ibunya, Maripah Husin.

Selain faktor itu, khidmat jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Rachmad Darmawan membimbing Pelita Jaya FC juga menambah keyakinan Safee.

Bagi pengurus pasukan Pelita Jaya FC, Lalu Mara Satria Wangsa, persetujuan menyambung kontrak Safee membuktikan penyerang Malaysia itu memiliki keperibadian yang menawan.

“Komitmen dan kesetiaan Safee kepada Pelita Jaya FC sangat saya hargai. Biarpun banyak tawaran datang kepadanya sama ada dari Eropah mahupun Malaysia, namun Safee putuskan untuk bersama Pelita Jaya FC,” kata Lalu Mara. – Utusan

Safee Sali Jutawan..!!

Safee Sali bersama ibu dan ayahnya


JAKARTA - Kontrak baru bernilai lebih RM2 juta yang ditandatangani Safee Sali dengan kelab Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun akan datang menyenaraikan pemain itu sebagai pemain bola sepak Malaysia bertaraf jutawan.

Tawaran kontrak bernilai RM2 juta itu juga sekali gus menyaksikan kenaikan sekali ganda nilai tahunan kontrak Safee bagi tempoh dua musim akan datang itu.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai AS$150,000 (RM456,000) untuk tempoh setahun.

Pakej lumayan yang ditawarkan oleh Pelita Jaya FC kepada pemain kebangsaan Malaysia itu merangkumi gaji, bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah-faedah lain.

Sebagai pemain import bagi kelab yang berasal dari Jakarta ini juga, Safee diberi penghormatan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

Menurut pengurus Safee, Zakaria Rahim, pengurusan Pelita Jaya FC juga menjanjikan pakej tambahan iaitu mengukuhkan imej pemain tersebut menerusi peluang muncul sebagai jurucakap produk-produk iklan di seluruh Indonesia.

"Pelita Jaya FC akan mendapatkan kontrak iklan daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran," kata Zakaria kepada wartawan ketika ditemui selepas majlis pengumuman Safee kekal bersama Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun lagi di sini, semalam.

Selain Safee, hadir sama pada majlis pengumuman tersebut ialah pengurus besar pasukan, Iwan Budianto dan pengurus pasukan, Lalu Mara.

Pada masa sama, Zakaria berkata, Pelita Jaya FC juga komited untuk mencari ruang dan peluang kepada Safee serta rakan sepasukannya untuk bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus.

Antara kelab-kelab yang dimiliki penuh oleh Pelita Jaya Cronus selain Pelita Jaya di Indonesia ialah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012.

Tidak ketinggalan CS Vise di Belgium, kelab Divisyen 2 Liga Belgium dan SAD Uruguay - sebuah kelab pembangunan pemain remaja di Uruguay.

Pelita Jaya FC juga mempunyai hubungan yang amat akrab dengan beberapa kelab lain di dunia seperti lima buah kelab di Liga Brazil yang antaranya Flamengo FC.

Sementara di Eropah pula, antara kelab yang mempunyai hubungan baik dengan Pelita Jaya FC ialah Ajax Amsterdam FC di Belanda.

Pelita Jaya Cronus juga pernah memiliki sebuah kelab Liga Perdana Inggeris iaitu Leicester City FC tetapi telah menjual pemilikan.

Perkembangan karier pemain berusia 28 tahun itu bersama Pelita Jaya FC turut membuka ruang kepadanya sebagai Duta Sekolah Bola Sepak Pelita Jaya di Sawangan, Jawa Barat, Indonesia.

Sementara untuk jaminan masa depannya pula, pengurusan sedang berbincang untuk membolehkan Safee diberi sejumlah unit pemilikan saham dalam Akademi Bola Sepak milik Pelita Jaya FC.

Akademi tersebut mempunyai sebanyak 600 pelajar di Jakarta sahaja selain memiliki rangkaian cawangan di daerah lain di Indonesia.

Selain Pelita Jaya, Safee juga ada mendapat beberapa tawaran lain antaranya Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand.

Khidmat Safee juga diperlukan oleh empat pasukan bola sepak dari Malaysia termasuk Kelantan FA, Negeri Sembilan FA, Johor FC dan Johor FA selain pasukan Selangor FA yang sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja untuk Safee kembali kepangkuan mereka.

Sebelum ini, laporan turut menyebut, Safee menerima pelawaan dari pemilik Cardiff City FC untuk bermain di sana tetapi harus melalui proses bermain bersama kelab di Eropah yang mempunyai afiliasi dengan Cardiff City untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun dulu.

Menurut Zakaria lagi, keputusan yang dibuat oleh Safee untuk terus kekal dengan Pelita Jaya FC selepas berfikir dengan semasak-masaknya dengan mengambil kira pelbagai aspek dan risiko. - UTUSAN

 ******************

Taniah Safee Sali..!!!

Wednesday, February 1, 2012

Safee ditawar gaji RM118,000

 Safee Sali


JAKARTA - Seandainya Safee Sali memilih untuk kekal bersama kelab Pelita Jaya, pemain berkenaan bakal menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan.

Tawaran gaji lumayan itu merangkumi faedah-faedah lain seperti kenderaan, pemandu peribadi serta penginapan yang diterima Safee.

Spekulasi mengenai mengenai ganjaran berkenaan serta persetujuan pemain berusia 27 tahun itu untuk terus bersama Pelita Jaya bagi tempoh dua tahun akan datang dilaporkan oleh akhbar tempatan, Warta Kota.

Atas kertas, kontrak Safee selama setahun dengan kelab Pelita Jaya berakhir semalam (31 Januari).

Menjawab spekulasi itu, pengurus Safee, Zakaria Rahim berkata, segala tanda tanya mengenai kedudukan penyerang sensasi negara akan diumumkan kepada media hari ini.

Menurut Zakaria, persoalan mengenai sama ada Safee berminat menyambung kontrak dengan Pelita Jaya serta tawaran lumayan itu akan dijelaskan pada sidang media itu.

Beliau bagaimanapun, tidak menafikan atau mengiakan bahawa jumlah gaji lumayan itu telah ditawarkan oleh Pelita Jaya buat Safee.

"Saya serahkan kepada media untuk membuat spekulasi Safee bakal dibayar Rupiah 350 juta jika bersama Pelita Jaya.

"Kalau sekalipun dibayar dengan gaji sedemikian, saya fikir itu merupakan satu penghormatan buat Safee kerana ia seiring dengan kualiti beliau sebagai pemain bola sepak asing di Indonesia," kata Zakaria kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Selain Pelita Jaya yang mahu mengekalkan khidmat Safee, pemain itu juga dipancing empat pasukan Liga Malaysia iaitu dua dari selatan tanah air, satu dari pantai Timur dan satu lagi di Lembah Klang.

Tidak ketinggalan, Safee turut diintai kelab dari Thailand, Muangthong United FC.

Pelita Jaya difahamkan sangat berminat untuk mengekalkan Safee berikutan potensi penyerang itu boleh membantu memperkukuhkan kedudukan kelab berkenaan dalam Liga Super Indonesia.

Menurut Zakaria lagi, bukan mudah untuk Safee membuat keputusan mengenai masa depannya itu kerana banyak pertimbangan yang harus dilakukan terlebih dahulu.

Safee bagaimanapun, jelas Zakaria, sudah begitu selesa dengan kedudukannya di Pelita Jaya selain semakin gembira dengan kehidupan di Jakarta.

Kata Zakaria, Safee juga sudah memiliki hubungan yang baik dengan pemain-pemain sepasukan serta sangat disenangi di kalangan rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta.

Sementara itu, Safee ketika dihubungi pula berkata, beliau akan menjawab semua tanda tanya itu hari ini.

"Jemput datang ke sidang media hari ini. Saya akan jawab semua soalan yang selama ini menjadi tanya tanya ramai," jelas pemain kebangsaan itu lagi. - Utusan


***********************

 Kami dari SUKAN KITA berharap Safee Sali bijak memilih masa depan untuk kariernya.., difahamkan Safee Sali akan kekal di Pelita Jaya